Kembara lima ‘stan’ Asia Tengah kekal semat dalam ingatan
Kembara lima ‘stan’ Asia Tengah kekal semat dalam ingatan
Turkmenistan, Uzbekistan, Tajikistan, Kyrgyzstan dan Kazakhstan tawar sejarah yang kaya serta landskap memukau
Bekas republik Soviet di Asia Tengah kekal sebagai antara destinasi pelancongan yang paling menakjubkan.
Lima negara ini termasuk Turkmenistan, Uzbekistan, Tajikistan, Kyrgyzstan dan Kazakhstan, menawarkan gabungan budaya dan pengalaman yang pelbagai, lantas menghubungkan pelancong secara langsung dengan sejarah yang kaya, landskap yang memukau dan masyarakat yang mesra.
Turkmenistan: Di sebalik tirai marmar
Sebaik sahaja mendarat di Ashgabat, terasa bak di luar realiti.
Walaupun saya membayar untuk ujian reaksi rantaian polimerase (PCR) yang wajib bagi mengesan tanda jangkitan yang aktif, tiada ujian sebenar dilakukan, menjadikan ia pengalaman pertama berdepan dengan birokrasi unik Turkmenistan.
“Selamat datang ke Ash Vegas,” ujar pemandu saya, sambil mengisyaratkan ke arah monumen marmar yang berkilauan di bawah lampu sorot petang.
Gelaran itu menggambarkan kemewahan nyata Ashgabat yang ketara.
Seperti Las Vegas, bandar ini mempesona dengan seni binanya yang terlalu megah dan pencahayaan berterusan.
Ashgabat memegang Rekod Dunia Guinness untuk ketumpatan marmar putih, mencipta sebuah landskap istana kerajaan dan patung emas.
Seni bina putih besar-besaran itu mencerminkan cita-cita seni bina negara tersebut.
Setelah berjam-jam mengharungi Padang Pasir Karakum, saya tiba di Kawah Gas Darvaza.
‘Pintu neraka’ itu kelihatan biasa pada siang hari, dengan hanya cekungan bulat dalam pasir.
Namun ketika kegelapan mula menyelubungi suasana, ia berubah menjadi tontonan luar biasa dengan api jingga menari dalam kepekatan malam, kejadian geologi yang berlaku sejak 1970-an.
Uzbekistan: Di mana sejarah hidup
Memasuki Uzbekistan terasa seperti dibawa daripada mimpi marmar ke dalam sejarah yang hidup.
Walaupun lintasan sempadan Farap terletak agak jauh, perjalanan kira-kira 1.5 jam antara pusat pemeriksaan melalui tiga perjalanan bas dengan jumlah kos kira-kira AS$1 ($1.26), ia memang berbaloi.
Bukhara serta-merta memikat hati saya.
Tidak seperti kemegahan Ashgabat, bandar Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) ini sangat meriah, dipenuhi hiruk-pikuk kehidupan.
Kompleks seni bina Islam, Poi Kalyan, mendominasi pemandangan latar langit, dengan Menara Kalyan berdiri megah.
Setinggi hampir 50 meter, seni bina ini begitu mengagumkan, berdiri di samping Masjid Kalan dan Madrasah Mir-i-Arab yang bersebelahan.
Melawati Samarkand mengayakan lagi pengalaman saya.
Registan Square, dikelilingi tiga madrasah gah, menjadikannya salah satu kompleks bandar paling memukau.
Saya menghabiskan waktu petang menghayati keindahan tiga madrasah yang berkilau dalam gelap malam, sementara corak ubin yang halus dan rumitnya terpancar jelas di bawah sinaran lampu.
Masjid Bibi Khanym mempamerkan kemegahan seni bina Samarkand pada skala epik.
Kompleks besar abad ke-15 ini berdiri bersebelahan dengan bazar Siyob yang sibuk dengan penduduk tempatan berdagang rempah, tekstil dan kraf tradisional di bawah gerbang purba.
Tajikistan: Pemandangan menakjubkan
Perjalanan sehari dari Samarkand ke Tajikistan membentangkan keindahan alam yang dramatik.
Tujuh Tasik atau Haft Kul di Fan Mountains menyajikan pemandangan memukau yang berbeza berbanding dengan keajaiban seni bina Uzbekistan dan saya berpeluang melawat empat permata pergunungan asli ini.
Nezhigon, yang terletak pada ketinggian 1,640 meter di Fan Mountains, menandakan permulaan perjalanan Tujuh Tasik melalui gaung Sungai Shing.
Tasik Soya terletak di antara tebing tinggi, sementara tasik Gushor menawarkan air jernih di bawah tebing curam.
Manakala tasik Nofin yang memanjang, terbentang lebih 2.5 kilometer.
Sewaktu jalan dari tasik ke tasik, saya terserempak perkampungan Tajik yang bertempat antara tebing, sebahagian besarnya tidak terusik oleh kemodenan.
Perhentian singkat di Panjakent Central Market Bazaar menawarkan gambaran kehidupan tempatan, di mana penjual menjual segala-galanya dari hasil segar hingga kraf tradisional di bawah kanopi berwarna-warni.
Kyrgyzstan: Nomad dan pergunungan
Kyrgyzstan menampilkan kontras dramatik.
Bishkek, dengan seni bina era Soviet, terasa hampir seperti Eropah setelah saya sudah melihat sendiri kemegahan Islam di Uzbekistan.
Taman Negara Ala-Archa menawarkan hutan belantara pergunungan yang sukar ditandingi mana-mana landskap yang pernah saya lihat.
Berjalan melalui hutan pain asli sedang air glasier mengalir dari padang ais, memberikan diri ini ketenangan setelah lelah menjelajah bandar.
Tasik Issyk-Kul membuktikan satu lagi keunggulan geografi.
Sebagai salah satu tasik masin terdalam dan terbesar dunia, air tasik tenang ini menyajikan keindahan berlatarbelakangkan pergunungan yang berbentuk kasar.
Di Karakol, dua bangunan agama bersejarah melambangkan warisan bandar yang pelbagai.
Masjid Dungan menonjol dengan pembinaannya tanpa paku, oleh Muslim Cina pada 1870-an, menggabungkan warna tradisional Cina dengan motif burung phoenix.
Gereja besar Holy Trinity Orthodox Cathedral yang menggunakan kayu, menampilkan kubah bentuk bawang berwarna-warni dan ketukangan kayu yang rumit yang menonjolkan seni bina tradisional Russia.
Kazakhstan: Kemegahan Soviet bertemu keajaiban alam
Kazakhstan menutup indah percutian saya.
Negara tersebut menggabungkan kejuruteraan Soviet dengan landskap menakjubkan.
Kedudukan unik Almaty – bandar besar berlatarbelakangkan pergunungan – mencipta persekitaran bandar yang tidak seperti mana-mana tempat lain di rantau tersebut.
Gelanggang luncur dan empangan Medeo menunjukkan kepakaran kejuruteraan Soviet pada skala besar.
Kemudahan altitud tinggi ini berfungsi sebagai perlindungan banjir dan gelanggang luncur pergunungan tinggi.
Perjalanan kereta kabel ke resort ski Shymbulak menawarkan pemandangan Gunung Tian Shan yang menakjubkan.
Lembah curam Charyn Canyon menutup tirai percutian saya.
Sering digelar sebagai ‘adik’ Grand Canyon, ia menampilkan lembah Valley of Castles yang menakjubkan, di mana hakisan menyebabkan formasi batu untuk menyerupai struktur buatan manusia.
Daya tarikan Asia Tengah tersendiri
Berkunjung ke lima negara bermakna saya dapat memandang setiap destinasi sebagai babak berbeza yang tersendiri.
Saya dapat membezakan kemegahan marmar Turkmenistan daripada sejarah hidup Uzbekistan, bagaimana tasik pergunungan asli di Tajikistan berbeza dengan warisan nomadik Kyrgyzstan dan landskap bandar-gunung yang dramatik di Kazakhstan.
Pengembaraan ke lima ‘stan’ itu membolehkan saya benar-benar menyelami budaya yang masih tidak terusik oleh arus pelancongan.
Penduduk tempatan yang beri layanan mesra, ketiadaan kesesakan di tapak-tapak utama dan warisan budaya yang kaya, mencipta pengalaman melancong yang tersendiri.
Asia Tengah tentunya mengisi kepuasan mereka yang mendambakan untuk meneroka destinasi di tidak biasa disebut-sebut, di mana setiap monumen dan landskap boleh dihayati tanpa gangguan.
Asia Tengah tentunya memenuhi kepuasan mereka yang mendambakan pengalaman meneroka destinasi yang jarang disebut, di mana setiap monumen dan landskap dapat dihayati dengan tenang, tanpa diganggu pelancong yang ramai.
Bagi mereka yang bersedia untuk meneroka destinasi di luar kebiasaan, Lima Stan menawarkan pengembaraan yang tidak lekang dek masa.
- Penulis seorang penjawat awam.

