Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kemenangan manis, besar buat filem ‘Emilia Perez’, drama ‘Shogun’

Jan 6, 2025 | 4:25 PM
Zoe Saldana, terharu apabila peranannya dalam filem ‘Emilia Perez’, sebagai peguam yang membantu ketua samseng membuat perubahan besar dalam hidup, meraih Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Filem Terbaik Muzikal atau Komedi) pada acara Anugerah Golden Globe.
Zoe Saldana, terharu apabila peranannya dalam filem ‘Emilia Perez’, sebagai peguam yang membantu ketua samseng membuat perubahan besar dalam hidup, meraih Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Filem Terbaik Muzikal atau Komedi) pada acara Anugerah Golden Globe. - Foto REUTERS

Filem dalam bahasa Sepanyol, Emilia Perez, dan drama epik bersejarah yang berlatarbelakangkan era diraja Jepun, Shogun, menang besar pada penyampaian Anugerah Golden Globe ke-82 di hotel mewah, Beverly Hilton, Amerika Syarikat, pada 5 Januari.

Emilia Perez yang disiarkan di platform penstriman Netflix, memenangi empat kategori daripada sejumlah 10 pencalonan yang diterima, iaitu Filem Terbaik (Muzikal atau Komedi), Filem Antarabangsa (Bukan Inggeris) Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Filem Muzikal atau Komedi) dan Lagu Asal Terbaik.

Filem arahan, Jacques Audiard dan lakonan Zoe Saldana, Karla Sofia Gascon, Selena Gomez dan Adirana Paz ini mengisahkan tentang seorang peguam Mexico yang ditawarkan tugas pelik membantu bos kartel dadah bersara.

Ketua samseng ini, anehnya, ingin beralih kehidupan sebagai seorang wanita, hasrat yang dipendam sekian lama.

Saldana, 46 tahun, yang dikenali sebagai pelakon filem ‘pecah panggung’, Avatar, menerima anugerah pertamanya sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, yang amat disyukuri.

“Saya rasa teruja, penuh dengan aliran adrenalina, tetapi hati saya penuh rasa bersyukur dan terima kasih.

“Keluarga saya ada bersama saya di sini... ibu, adik, suami dan anak-anak lelaki saya yang amat saya sayangi. Anda adalah segalanya buat saya.

“Saya berterima kasih diberi kepercayaan membawa peranan sebagai peguam bernama Rita yang berani dan cekal,” jelasnya mengenai peluang keemasan menjayakan filem gabungan muzikal, jenayah dan komedi itu.

Drama muslihat politik, Shogun, yang disiarkan sebanyak 10 episod di wadah penstriman Hulu dan Disney+ pula membolot kesemua empat kategori, yang dicalonkan bagi Anugerah Golden Globe – Siri Televisyen Terbaik (Drama), Pelakon Lelaki Terbaik (Siri Televisyen, Drama), Pelakon Wanita Terbaik (Siri Televisyen, Drama) dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Siri Televisyen, Drama).

Hiroyuki Sanada, 64 tahun, yang bergelar Pelakon Lelaki Terbaik; Anna Sawai, 32 tahun, selaku Pelakon Wanita Terbaik; dan Tadanobu Asano, 51 tahun, yang menjulang piala Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, menerima Anugerah Golden Globe itu buat kali pertama.

Mengenai peranannya sebagai Mariko, wanita Jepun, yang hidup tertindas dan ingin bersuara, Anna yang bermula sebagai pelakon cilik, berkata:

“Saya dapat rasakan kepedihan jiwa wanita Asia yang menderita ditindas.

“Membawakan watak Mariko membuatkan saya menyedari terdapat sebilangan wanita Jepun yang tidak menyedari mereka diperlekeh.

“Dari segi layanan sama rata antara lelaki dengan wanita, saya rasa wanita Jepun masih jauh ketinggalan.

“Saya terkejut apabila sesetengah penonton Shogun memberitahu saya drama itu mengajar mereka tentang pentingnya untuk bangkit menyuarakan hak wanita.”

Sementara itu, pelbagai detik bersejarah tercipta di pentas Anugerah Golden Globe.

Antaranya, termasuk kemenangan simbolik pelakon veteran, Demi Moore, 62 tahun, bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik (Filem Muzikal Atau Komedi), bagi filem The Substance.

Filem itu mengisahkan tentang pelakon wanita, yang namanya kian pudar, serta keinginannya mengembalikan jiwa mudanya.

“Saya masih lagi dalam keadaan terkejut kini. Saya telah lama membina kerjaya lakonan iaitu selama lebih 45 tahun.

“Namun, inilah kali pertama saya meraih kemenangan sebagai pelakon.

“Beberapa tahun lalu, saya sangka kerjaya saya sudah menemui titik noktah tetapi apabila saya membaca skrip The Substance, nampaknya tugas saya belum selesai,” jelasnya. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg