Kenali bahan berisiko dalam produk jagaan rambut, kulit

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kenali bahan berisiko dalam produk jagaan rambut, kulit

Feb 9, 2026 | 11:38 AM

Kenali bahan berisiko dalam produk jagaan rambut, kulit

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
beauty ingredients, hair care, skin care, sulphate, silicone, fragrance
Beberapa bahan berisiko yang paling biasa ditemui dalam produk penjagaan rambut dan kulit ialah sulfat, silikon, bahan pengawet dan wangian. - Foto PIXABAY

Produk syampu dan krim menjanjikan pelbagai manfaat, daripada rambut berkilau hingga kulit kekal lembap, licin dan anjal.

Namun, sejauh manakah janji itu boleh dipercayai?

Realitinya, tidak semua produk sesuai untuk setiap individu kerana setiap orang mempunyai jenis kulit dan rambut berbeza.

Demikian menurut Dewan Ahli Farmasi Lower Saxony, Jerman.

Selain itu, sesetengah bahan dalam losen dan syampu boleh mendatangkan lebih banyak mudarat berbanding manfaat kepada kulit.

Pakar turut menasihati bahawa individu yang menghidap penyakit kronik, wanita hamil atau warga emas khususnya perlu mengelakkan bahan tertentu.

Ini kerana tubuh mereka kurang berupaya memproses bahan berbahaya.

Bagi pengguna, senarai bahan produk selalunya dipenuhi istilah teknikal yang mengelirukan.

Pertama, pilih produk yang mempunyai senarai bahan ringkas dan jelas, kata ahli farmasi.

Kedua, seboleh mungkin, elak bahan tambahan yang berisiko.

Ahli farmasi turut menyenaraikan beberapa bahan berisiko yang paling biasa ditemui dalam produk penjagaan rambut dan kulit.

Sulfat

Kegunaan: Sulfat ialah bahan surfaktan yang digunakan dalam syampu untuk menghasilkan buih dan membantu menanggalkan lebihan minyak.

Masalah: Sulfat boleh mengeringkan kulit kepala dan menyebabkan kegatalan.

Individu yang mempunyai rambut nipis dan mudah gugur lazimnya lebih sensitif terhadap bahan surfaktan berbanding mereka yang mempunyai rambut tebal.

Mereka yang mempunyai kulit kepala kering juga digalak memilih syampu lebih lembut dan melembapkan, seperti produk yang mengandungi urea.

Jenis sulfat yang sering ditemui dalam produk penjagaan kulit termasuk sodium lauryl sulphate dan sodium lauryl ether sulphate.

Silikon

Kegunaan: Silikon memberi tekstur licin dan lembut dan kerap digunakan dalam produk penjagaan kulit serta rambut.

Masalah: Kesan kelicinan yang dihasilkan selalunya hanya bersifat luaran dan tidak memberi manfaat penjagaan sebenar.

Malah, silikon cenderung membentuk lapisan pada permukaan kulit.

Syampu yang mengandungi silikon juga kurang sesuai untuk mereka yang mempunyai kulit kepala berminyak kerana produk itu terlalu ‘berat’.

Bagi individu sebegitu, syampu ringan yang mengandungi zink atau asid salisilik mungkin lebih sesuai.

Jenis silikon yang sering ditemui dalam produk penjagaan kulit termasuk dimethicone, cyclopentasiloxane dan cyclohexasiloxane.

Bahan Pengawet

Kegunaan: Seperti namanya, bahan kimia ini berfungsi mengawet produk supaya ia mempunyai jangka hayat lebih panjang.

Masalah: Pengawet dalam produk penjagaan kulit boleh menjejas hormon dan menyebabkan alahan apabila terkena kulit.

Bahan pengawet yang digunakan dalam produk penjagaan rambut juga boleh menimbulkan risiko alahan dan membuat kulit kepala menjadi gatal.

Jenis pengawet yang sering ditemui dalam produk penjagaan kulit termasuk paraben (seperti propyl dan butyl paraben); bahan pelepas formaldehid (seperti imidazolidinyl urea dan DMDM hydantoin); serta methylisothiazolinone dan benzyl alcohol.

Bahan Wangian

Kegunaan: Seperti namanya, bahan wangian digunakan untuk menjadikan produk berbau harum.

Masalah: Seperti pengawet, wangian boleh menyebabkan alahan.

Individu yang mempunyai kulit dan kulit kepala sensitif khususnya disarankan mengelak produk yang mengandungi bahan wangian dan pengawet.

Individu sebegini turut disaran agar mencari produk dengan label ‘hypoallergenic’, iaitu produk tanpa bahan yang menimbulkan alahan.

Mereka yang menghidap penyakit kronik juga mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami alahan jika terkena bahan ini.

Jenis wangian yang sering ditemui dalam produk penjagaan kulit termasuk Limonene, linalool dan citral.

Justeru sebagai pengguna, usah mudah terpedaya dengan manfaat yang dijanjikan produk di pasaran.

Sebaliknya, pilih produk penjagaan kulit dan rambut secara bijak dengan menyemak senarai bahan, elak bahan berisiko dan utamakan produk yang sesuai dengan jenis kulit serta rambut. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg