Keguguran rambut bukan sekadar masalah kosmetik, ia boleh menjadi petunjuk awal bahawa ada sesuatu yang tidak seimbang dalam tubuh.
Walaupun banyak syampu, serum dan suplemen menjanjikan penyelesaian cepat, rambut menipis mempunyai pelbagai punca dan tiada satu penyelesaian ajaib.
Pakar trikologi dan presiden jenama Philip Kingsley, Cik Anabel Kingsley, berkata beliau sering bertemu dengan pelanggan yang terkejut dengan perubahan mendadak pada rambut mereka.
“Biasanya orang kehilangan sekurang-kurangnya 20 peratus daripada jumlah rambut mereka sebelum mereka menyedarinya,” katanya.
Terdapat banyak jenis keguguran rambut, serta pelbagai sebab yang berbeza.
Pakar pemakanan dan pengasas jenama suplemen rambutGlowwa, Cik Suzanne Cooper, berkata: “Ramai orang kehilangan rambut akibat stres, ketidakseimbangan hormon, masalah pencernaan atau kekurangan nutrisi.
“Oleh itu, penting untuk kita menangani kekurangan ini melalui pemakanan yang betul.”
Cik Kingsley sering melihat dua jenis keguguran rambut: pola lelaki dan wanita (terutamanya genetik) dan efluvium telogen (TE), yang berlaku akibat tekanan dalaman seperti penyakit, kekurangan nutrisi, atau masalah tiroid.
Jadi, bagaimanakah boleh anda mencegah rambut daripada menipis lebih lanjut?
Berikut adalah lima kemungkinan sebab keguguran rambut dan langkah yang boleh diambil.
Bagi wanita, menopaus menyebabkan perubahan besar kepada struktur rambut.
Penurunan tahap estrogen boleh menyebabkan rambut menjadi lebih halus dan peningkatan hormon seperti dihidrotestosteron (DHT) dalam badan boleh menyerang dan mengecilkan folikel rambut.
Rawatan preskripsi ‘minoxidil’ boleh membantu masalah itu tetapi ia boleh menyebabkan kesan sampingan seperti libido rendah, kegelisahan dan mood yang rendah.
Penyekat DHT secara semula jadi, seperti biji labu, boleh menawarkan pendekatan yang lebih baik.
“Estrogen menyokong rambut, kulit dan kulit kepala.
“Apabila tahapnya tidak stabil semasa perimenopaus, keguguran rambut berlebihan boleh berlaku dan apabila tahapnya turun dan kekal rendah, rambut akan menipis,” kata Cik Kingsley.
Seperti kulit, rambut juga berubah seiring usia, walaupun tanpa perubahan hormon.
Perubahan rambut akibat usia berbeza mengikut individu; ada yang sedikit dan ada pula yang sangat ketara.
Penipisan rambut secara semula jadi bukan sahaja disebabkan faktor genetik, tetapi juga dipengaruhi gaya hidup dan faktor persekitaran.
Kulit kepala juga menua seperti kulit wajah, jadi merawatnya dengan pembersihan lembut dan penghidratan menjadi lebih penting seiring waktu.
Pemakanan memainkan peranan besar dalam kesihatan rambut, lebih daripada yang disedari ramai orang.
Cik Cooper menegaskan bahawa menjaga pemakanan adalah langkah pertama untuk mengimbangi hormon dan meningkatkan kesihatan usus.
Makanan seperti kale, bayam dan sayuran berdaun mengandungi methylsulfonylmethane (MSM) yang membantu dalam mengurangkan keradangan darah iaitu pendorong utama keguguran rambut.
Pada usia apabila selera makan, pencernaan dan ubat-ubatan boleh mempengaruhi penyerapan nutrien, memastikan pengambilan protein, zat besi dan vitamin yang cukup adalah penting.
Stres dalam hidup tidak akan hilang seiring usia.
Bahkan, persaraan, kehilangan orang tersayang, penyakit, atau ubat baru boleh memberi kesan kepada rambut.
Keguguran rambut berlaku akibat gangguan dalaman seperti penyakit, kekurangan nutrisi, penurunan berat badan, ketidakseimbangan tiroid, stres, pembedahan atau kelahiran.
Rambut adalah penunjuk kesihatan yang baik dan sering kali menjadi bahagian pertama tubuh yang menunjukkan masalah dan pulih apabila keseimbangan dikembalikan.
Walaupun usia lanjut, tabiat harian masih mempengaruhi kekuatan rambut.
Cik Kingsley menegaskan, syampu tidak menyebabkan keguguran rambut, ia hanya menanggalkan rambut longgar di folikel.
Jarang mensyampu rambut boleh memburukkan keguguran kerana kulit kepala perlu selalu dibersihkan.
Pewarnaan dan proses mengeriting boleh melemahkan rambut.
Perapi dan rawatan boleh membantu melindungi, sementara urutan kulit kepala menyokong peredaran darah.
Walaupun beberapa perubahan pada rambut tidak dapat dielakkan, ia boleh diperlambat dengan pemakanan yang baik, pengurusan stres serta penjagaan dan rawatan kulit kepala yang betul. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg