Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Kerana CINTA, Sheikh Haikel tekad jadi lebih BAGUS

Tiga dekad berkarya, 23 tahun rumah tangga ubah hidup 'Bapa Rap SG'
Mar 13, 2022 | 05:30 AM



JUJUR dengan siapa dirinya ketika meniti usia remaja, artis hip hop legenda Sheikh Haikel Sheikh Salim Bajrai akur beliau merupakan si "anak manja mak yang payah ditangani".



Namun, onak duri dalam dunia seni serta jatuh bangun dalam perjalanan hidup di samping kasih sayang isteri, keluarga dan tokoh seni mapan yang meyakini kebolehannya menjadikan Haikel ingin jadi lebih baik pada hari esok berbanding semalam.



Iktibar yang dilalui sebagai anak seni, usahawan, anak, suami dan ayah ingin Haikel, 46 tahun, kongsi bersama penghibur generasi pelapis.



Juara Asia Bagus (1991) ketika bersama duo Construction Sight yang kini mengadili peraduan realiti Suria Berani Nyanyi? menceritakan kisah inspirasinya bersama Berita Minggu.



Soalan (S): Apakah pengertian 'Berani Nyanyi? buat Haikel selepas 30 tahun dalam industri seni?



Haikel: Saya bangga apabila dipelawa Najip Ali untuk sertai program ini. Kalau boleh nak lihat Berani Nyanyi? berkembang sampai musim kedua dan ketiga. Saya ingin terlibat dalam kesemua musim program ini!



Najip menjaga, mengajar dan menasihati saya bahkan boleh saya panggil 'bapa' saya dalam dunia hiburan.



'Orang lama' macam Najip tetap segar dengan idea baru. Berani Nyanyi? adalah idea 'original' pasukan Najip yang ketengahkan bakat seni seperti pelakon, pengacara dan cef yang dicabar menyanyi.



Pelakon boleh berlakon jadi penyanyi. Saya teringatkan filem muzikal Les Miserables. Suara mungkin tidak selunak mana tetapi lakonan 'hidup'.



Dari Berani Nyanyi?, saya sedari persada seni Singapura kita tidak ketandusan bakat berbilang kemahiran. Kita miliki kekuatan yang boleh menempatkan kita pada tahap tertinggi di peringkat serantau. Sebagai contoh, apabila Hady Mirza menang Asian Idol.



Tengok kawan lama saya dari zaman Music & Drama Company (MDC), Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Suzairhe Sumari... kagum saya dengan dirinya yang serba boleh.



Saya juga sukakan suasana positif dalam kalangan juri. Kami tidak menjatuhkan, apa lagi mengecam. Ia program santai dengan setiap daripada kami ingin lihat persada seni Singapura terus maju.



S: Anda kenali Najip dari zaman 'Asia Bagus'. Bagaimana beliau menjadi antara tunggak utama Haikel dalam seni?



Haikel: Jasa Najip takkan saya lupa. Beliau membantu tulis surat dengan mengusulkan agar saya diterima MDC yang melahirkan ramai bakat hebat Singapura, daripada Najip sendiri, pelawak Kumar hinggalah pengarah Jack Neo.



Wajahnya tak makan usia. Saya percaya pada apa yang orang tua-tua kata bahawa 'Individu yang awet muda ni biasanya baik hati'.



Sepanjang perkenalan kami, beliau tidak putus-putus menasihati saya apabila saya tersilap langkah. Ada orang mungkin berkecil hati sampai tak nak kawan lagi.



Saya terima dengan hati terbuka. Najip tak pernah marah atau mendesak saya. Dia nasihat dengan penuh keprihatinan dan kasih sayang. Katanya, hormati pentas kalau tak nak sampai ia 'makan diri' kita sendiri apabila kita main-main dalam kerja kita.



Apabila bekerja dengan 'orang lama' macam Najip dan Kumar, mereka ajar saya tentang erti ambil inisiatif, jaga amanah serta beri yang terbaik.



Sukalah saya apabila berurusan dengan orang yang tahu apa yang mereka mahukan dalam kehidupan. Tengok mereka bagus, saya pun terdorong jadi lebih bagus.



Paling berharga buat saya adalah nasihat Najip. Katanya, 'kalau saya boleh buat satu orang gembira dengan kerja seni saya bererti kerja saya beres'. Kerja penghibur bukan tentang diri saya sahaja nak kecapi kepopularan. Ia lebih daripada itu dan melibatkan masyarakat.



S: Rumah tangga bersama Anna Belle Seri Ayu Francis mencecah usia 23 tahun kini. Bagaimana beliau membakar tekad Haikel untuk jadi insan lebih baik?



Haikel: Bohonglah kalau saya kata kami tak pernah bertengkar dan semua baik-baik sahaja. Bukan mudah nak jaga hati saya, si anak manja. Saya dulu nakal, menyusahkan mak saya. Belle pula terima saya seadanya. Dia pandai jaga hati saya.



Anak lelaki saya anggap saya dan Belle pasangan pelik sebab selepas bergaduh teruk, kami boleh langsung berbual macam biasa dengan panggilan 'sayang' kalau perlu berurusan tentang perniagaan atau perkara lain yang tiada kena-mengena dengan isu pencetus perbalahan.



Belle ada cara memujuk saya. Saya pun banyak belajar erti bertolak ansur selepas berumah tangga dengannya. Dia buat saya ingin jadi lelaki lebih baik setiap masa.



Kalau cara dia memujuk tak sampai ke hati saya, dia pastikan perut saya terisi dengan dua makanan kegemaran saya, sotong hitam dan asam pedas. Dia belajar daripada arwah nenek dan ayah saya.



Apabila berada dalam 'mood' dingin, dialognya macam ni. Belle kata, 'I dah masak. You makan kalau you nak'. Saya pula jawab, 'Mestilah I nak makan sebab I cuma marahkan you tapi bukan rezeki yang you masak'!



S: Anda punya dua anak remaja berusia 18 dan 19 tahun. Bagaimana menangani cabaran membesarkan remaja?



Haikel: Kita harus lebih banyak mendengar. Zaman remaja kita dan mereka berbeza. Masalah pun berlainan. Cara berfikir pun tak sama.



Zaman saya dulu tiada Internet. Nak hurai masalah, gunakan akal fikiran sendiri. Budak-budak sekarang hidup dengan telefon bimbit 24 jam.



Mereka boleh kirim pesanan minta tolong kepada teman atau muat naik ciapan Twitter dan dapatkan pandangan orang yang tidak dikenali. Tahu-tahu nanti jadi masalah kemurungan.



Saya selalu berpesan kepada anak saya, mereka harus bijak buat pilihan kerana setiap pilihan ada timbal baliknya. Saya teringat zaman remaja saya. Selalu bawa masalah untuk mak.



Saya nak anak-anak saya tahu, buruk baik yang mereka buat, ada Allah yang melihat walau kami sebagai ibu bapa tidak nampak.



Nasihat saya buat anak lelaki saya, setiap yang dikata harus dikota. Jangan cakap sahaja tapi tak buat. Lelaki pegang pada kata-kata.



Anak perempuan pula harus jaga maruah dan harga diri. Letakkannya pada tahap yang tinggi sampai orang takut nak apa-apakan kita.



Kita sebagai ayah juga harus tunjukkan teladan yang baik. Layan isteri dengan penuh kasih sayang. Dakap anak perempuan kita dengan keprihatinan.



Beri mereka keyakinan, lelaki yang baik akan melindungi diri mereka dengan selamat. Sekurang-kurangnya mereka tak takut dan rumuskan semua lelaki berbahaya Mereka juga akan tahu jenis lelaki bagaimana yang harus mendampingi mereka dengan rasa hormat.




"Kalau budak 'rapper' sekarang suka tengok Sheikh Haikel 'rap' dan jadikan saya contoh, pastinya saya sendiri ada tokoh hiburan Singapura yang diteladani.



Mereka menghormati pentas dan penonton serta tahu amanah mereka sebagai penghibur. Justeru, saya harus berterima kasih kepada empat individu yang saya jadikan guru - Najip Ali, Kumar, Dick Lee dan mendiang Chris Ho.



Saya kenal Najip sejak zaman gemilang AsiaBagus... di ruang penyambut tamu SBC yang terbuka dan tidak berhawa dingin, banyak kerusi lipat plastik, tetap berangin dan banyak pokok serta yang lucunya ada monyet berkeliaran.



Darinya, saya kenali Kumar dan menontonnya berlawak di Boom Boom Room. Kumar memang selalu buat persiapan rapi dan spontan apabila naik pentas. Memandangkan Najip diurus Music & Movement yang diusahakan Dick Lee, maka saya bernasib baik dapat kenali Dick dan timba ilmu seni daripadanya.



Ketika menyokong rakan saya di Construction Sight, Ashidiq Ghazali, yang jadi deejay kelab malam, bertemulah saya dengan tokoh muzik Singapura, Chris Ho.



Saya selalu ingat pesan Najip, 'bapa' saya dalam dunia hiburan agar merendah hati. Pengaruh jadi artis jangan disia-siakan. Kita ada tanggungjawab dan selalulah buat baik walau kita tahu kita budak nakal yang nak jadi baik.



Katanya lagi, jangan jadi sebagus Najip, jadi lebih bagus daripada Najip. Pesan sama juga saya beri kepada anak muda, jadilah lebih baik daripada Sheikh Haikel."
- Sheikh Haikel.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >