Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Kerjaya berjaya, keluarga bahagia idaman Fuad dan Tom

Jun 27, 2023 | 02:55 PM



Suasana kekeluargaan yang sudah lama didambakan menyatukan dan membahagiakan pasangan suami isteri Fuad Rahman dan Raja Farah Afzal Raja Ikram (Tom).

Mereka ingin saling melengkapi setelah pernah mengharungi kegagalan rumah tangga sebelum ini.

Justeru, masa Fuad, 44 tahun, kini lebih dihabiskan dengan membawa Tom dan anak-anak (daripada perkahwinan Tom yang lalu), Putera Adler Iesta dan Putera Evans Ezra, bersiar-siar baik di Kuala Lumpur atau Singapura, jika tidak sibuk dengan undangan menyanyi.

Lebih menggembirakan, pasangan yang dipertemukan semula di pentas Gegar Vaganza 9 (GV9) tahun lalu setelah terpisah lama dan pernah menjalin hubungan kasih dahulu kini menanti kelahiran cahaya mata pertama mereka.


Kandungan Tom, 36 tahun, berusia sebulan, sebagaimana yang diumumkan Fuad dalam sebuah majlis pertemuan bersama peminat di Singapura pada Jumaat.

“Selepas GV9, saya dapat jumpa balik kekasih hati saya iaitu Tom. Kita rahsiakan percintaan kita. Kemudian, saya melamar dia sebelum orang lain ambil.

“Beberapa bulan lepas, isteri saya keguguran tapi alhamdulillah, dua hari lepas dia asyik alahan saja, bila pergi periksa, Alhamdulillah doktor kata dah sebulan usia kandungan,” kata Fuad.

Ketika ditemui Berita Harian di Studio Mediacorp sewaktu rakaman program Hari Raya Haji, Rayakustika 2023, Fuad melahirkan kesyukuran dapat membina hidup baru bersama seseorang yang amat memahami dirinya.


“Alhamdulillah, impak daripada GV9 itu begitu besar. Undangan untuk persembahan di Singapura dan Malaysia semakin banyak. Orang Malaysia pun boleh terima saya.

“Terharu sangat kerana sebelum ini bimbang apakah mereka boleh menerima keadaan saya yang tubuhnya ‘berconteng’ (bertatu) kerana sejarah silam dahulu.

“Di Singapura pun, orang boleh terima Tom dan suka kalau beliau menyanyi bersama saya,” jelas Fuad.

Tom juga bersyukur jodoh ada bersama Fuad dan menganggap pelantun lagu Bila Rindu itu merupakan seorang ayah yang menjaga dengan penuh kasih sayang Adler dan Evans seperti anak kandung sendiri.


“Mereka tak pernah rasa kasih sayang ayah selepas perpisahan saya dengan bapa mereka. Apabila ada ayah baru yang mereka dengan mesra panggil ‘Bapak’, mereka seronok dan senang berbual dan bermain-main dengan Fuad.

“Keluar berjalan, main papan lungsur, pergi meluncur di lautan... bersiar-siar di Universal Studios Singapore... semuanya dapat dilakukan bersama sebagai sebuah unit keluarga yang rukun. Anak-anak suka sangat sebab Fuad pandai melayan sampaikan mereka kadangkala lupa tentang ibu mereka. Mungkin sebab mereka lebih senang bergurau dengan bapak mereka ni,” ujar Tom pula.

Tom dan Fuad mendirikan rumah tangga dalam satu majlis tertutup pada 26 Februari lalu. Sebelum ini, Tom dan Fuad pernah menjalin hubungan cinta pada 2005, namun berpisah apabila Fuad ditahan dan dihukum penjara akibat penyalahgunaan dadah.

“Saya cuba cari Fuad juga pada masa itu tetapi terlambat. Dia dah masuk balik (dalam penjara),” jelas Tom.

Segala kisah lama itu ingin dibenam dan ditinggalkan jauh-jauh.

Buat Fuad, beliau mengharapkan perkahwinan ketiganya ini dan keempat buat Tom kekal hingga akhir hayat.

Menurut Tom, sejak jatuh cinta dengan kegiatan luncur air empat tahun lalu, beliau mengajak Fuad berjinak-jinak dengan sukan itu pula dan mendapati suaminya itu jauh lebih mahir meluncur air.

“Insya-Allah, penghujung tahun ini, kami rancang rakam lagu duet. Buat masa ini, agak sibuk dengan urusan persembahan di Singapura dan Malaysia serta menguruskan anak-anak yang bersekolah,” tambah Fuad.

Mengenai apa yang suka dibuat di Singapura, Tom berkata:

“Ramai yang suka sup tulang merah di Singapura tetapi Tom pula suka makan udang bakar di East Coast. Keluarga Fuad memang ‘best’, suka ajak saya dan anak-anak lepak-lepak di tempat-tempat menarik,” tambah Tom.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >