Kata-kata yang dicoret pelakon dan pengarah Malaysia Esma Daniel, di Instagram, yang ditujukan buat rakan seni Fattah Amin, menarik perhatian saya.
“Bunga bukan sekuntum. Namun jika bunga sekuntum itu terlalu harum untuk dilupakan, hargailah kenangannya,” jelas Esma bagai memujuk hati Fattah, yang berdukacita selepas berpisah dengan isteri, pelakon dan usahawan, Nur Fazura Sharifuddin, pada 7 Oktober.
Esma, 55 tahun, yang pernah melalui keretakan rumah tangga bersama pelakon Sherie Merlis, pada 1997, selepas lima tahun bersama dan mempunyai dua anak, pastinya dapat memahami remuk-redam di hati Fattah, 34 tahun.
Suatu ketika, Esma dan Sherie, seperti Fattah dan Fazura juga dianggap sebagai pasangan ideal yang sama cantik, sama padan.
Esma juga melalui satu tempoh ujian rumah tangga dan pernah berpisah dengan pengurus pemasaran, Nitra Sari Omar, selepas 14 tahun bersama dan menimang enam cahaya mata.
Sejak lama menduda, pada 2023, beliau menemui cinta bersama wanita yang jauh lebih muda, Nur Atira Mazlan, kakitangan sebuah bank.
Bagi saya, Esma mengambil jalan yang baik untuk menasihati Fattah yang sudah dianggap seperti adiknya sendiri agar tidak membiarkan kepahitan bercerai menjadi penghalang dalam meneruskan kehidupan dan mencari kebahagiaan baru.
“Amanah tetap perlu dijaga meskipun jalan hidup berubah,” ujarnya lagi.
Kata-kata semangat inilah yang perlu ada dalam memberikan harapan buat mana-mana artis yang melalui haru-biru perceraian, bukan cemuhan dan kecaman, seakan-akan kita tahu apa yang berlaku pada kehidupan sebenar sang artis.
Perceraian Fattah dan Fazura, 41 tahun, setelah tujuh tahun membina mahligai dan mempunyai seorang cahaya mata, Nur Fatima Aisya, empat tahun, mencetus banyak perbincangan netizen.
Bagaikan menonton bola sepak atau apa jua acara sukan dengan daya saingan sengit, timbul perbalahan antara Team Fattah (yang menyokong Fattah) dengan Team Fazura (yang menyebelahi Fazura).
Awalnya, ramai yang berpihak pada Fazura kerana terkesan dan tertanya-tanya mengapa cintanya dikhianati apabila timbul dakwa-dakwi bahawa Fattah curang kepada Fazura.
Selepas kes cerai mereka muktamad pada 7 Oktober, sebilangan netizen pula beralih daripada Team Fazura kepada Team Fattah, sebab tidak senang, marah dan kesal apabila Fazura buka mulut tentang tiga sebab yang membuatnya mengambil keputusan untuk menamatkan segalanya bersama Fattah.
Sebab-sebab itu termasuk dakwaan Fattah berlaku curang, demi melindungi harga dirinya dan Fatima serta sudah lama tidak bahagia apabila Fattah tidak mempedulikan dirinya yang dicaci, difitnah dan dikecam bertahun lamanya sehingga timbul pula bebanan emosi dan minda.
Timbul juga cerita Fattah tak membayar nafkah buatnya dan Fatima serta tidak memberi mereka peluang ‘rasa’ duit Raya.
Fattah pula menafikan kecurangan berlaku dan nafkah tidak diberi malahan berkata memiliki bukti wang sudah dipindahkan ke bank tetapi mungkin tidak mencukupi.
Lebih mengejutkan apabila beliau menambah masih menyimpan rahsia besar Fazura.
Pesanan pelakon, Salina Saibi, 42 tahun, yang ringkas tetapi mengandungi banyak maksud mendalam dan menarik perhatian netizen, berbunyi begini: “Woi! Dahlah tu! Diamlah!”
Seorang netizen yang bersimpati dengan Fattah berkata: “Habis aib suami dia buka. Kasihan Fattah, apalah aibkan macam tu je? Tak perlu nak buka semua tu. Tak perlu cerita kepada orang luar.
“Bukan soal berpihak kepada sesiapa tetapi dalam agama memang dilarang sebarkan aib suami isteri.”
Pelakon dan usahawan, Lana Nordin, 46 tahun, yang sama-sama menjayakan drama remaja popular, Gol & Gincu, bersama Fazura, sempat juga menasihati jelitawan itu agar mengunci mulutnya daripada pukul canang tentang sebab dirinya meminta cerai.
“Kalau matang, lebih baik awak tutup mulut awak daripada buka aib bapa kepada anak awak sendiri. Esok budak tu dah besar tengok, buat malu sahaja,” jelasnya di Instastory.
Lana mempersoal niat awal Fazura ingin bercerai secara baik tetapi akhirnya lebih mengeruhkan keadaan.
Dalam membicarakan saga ini, saya sebenarnya terkesan dan terkilan melihat cara sesetengah netizen mengulasnya dengan bahasa kesat dan andaian seakan-akan Fattah dan Fazura itu anggota keluarga atau sahabat mereka sendiri.
Sebagai seseorang yang pernah beberapa kali mewawancara Fattah dan Fazura sebelum ini, tak tergamak saya menulis sebarang andaian atau membuat penilaian sebab tidak tahu apa sebenarnya yang membuatkan rumah tangga mereka dilanda badai.
Terperasan pula komen orang yang menggelar Fazura sebagai wanita cantik tetapi bodoh kerana terlepas cakap benda-benda yang menurut orang berkenaan akan membawa timbal balik untuk dirinya sendiri.
Rasanya sebagaimana kita ini tertanya-tanya 1,001 persoalan, kita juga tidak perlu nak jaga tepi kain orang sampai sanggup mengutuk artis yang bercerai. Ada banyak saki-baki ‘daki’ kita sendiri yang perlu kita bersihkan dan bereskan.
Saya cuma berharap dalam setiap pergolakan rumah tangga itu, akan ada jalan penyelesaian yang boleh dicapai demi kebahagiaan anak-anak.
Saya sejuk hati tengok pelakon dan penyanyi kumpulan Elite, Abby Abadi, 46 tahun, dan bekas suaminya, Norman Hakim, 48 tahun, yang berbaik-baik semula meskipun masing-masing sudah mempunyai pasangan sendiri.
Abby mampu bergurau dan mesra dengan isteri Norman, Memey Suhaiza, 36 tahun.
Sejarah lama pun sudah dikuburkan dan mereka mampu menjalin ukhuwah seperti keluarga besar yang damai dan rukun.
Jadi tak perlulah ber-’team’ sana sini, ya? Cukup kita jadi Team Neutral yang tak perlu berpihak pada sesiapa dan doakan yang baik-baik sahaja.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg