Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes cerai ditunda 7 Okt: Fattah masih sayang, Fazura nekad pisah demi...

Sep 25, 2024 | 2:38 PM
Kes perceraian Nur Fazura Sharifuddin (kiri) dan Fattah Amin ditunda hingga 7 Oktober setelah Fattah tidak melafazkan talak dan percaya masih ada sinar untuk menyelamatkan rumah tangga mereka.
Kes perceraian Nur Fazura Sharifuddin (kiri) dan Fattah Amin ditunda hingga 7 Oktober setelah Fattah tidak melafazkan talak dan percaya masih ada sinar untuk menyelamatkan rumah tangga mereka. - Foto BERITA HARIAN MALAYSIA

Pelakon Fattah Amin menegaskan masih berpegang pada kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini bahawa beliau masih menyayangi Nur Fazura Sharifuddin biarpun isterinya memfailkan perceraian pada 13 September – sehari sebelum ulang tahun kelahirannya yang ke-34.

Fattah, atau nama sebenarnya, Abdul Fattah Mohd Amin, juga percaya masih ada sinar untuk menyelamatkan rumah tangga mereka, selain menjelaskan, tiada lafaz talak yang berlaku pada sebutan kes permohonan perceraian, pada 25 September.

“Saya memohon orang ramai terus mendoakan yang terbaik. Saya masih sayangkan Fazura.

“Tidak terjadi perkara itu (melafazkan talak) hari ini,” katanya ketika ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) selepas prosiding kes di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Pelakon filem, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan dan Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu berkata, segala ujian yang melanda rumah tangganya bersama Fazura adalah ketentuan Ilahi.

“Apa yang terjadi sudah takdir Ilahi. Tiga perkara yang perlu kita yakin adalah jodoh, ajal dan rezeki. Semua itu Allah sudah atur dan tetapkan bagaimana jalannya,” ujar Fattah.

Fattah yang riak wajahnya kelihatan sugul semasa membicarakan mengenai kemelut rumah tangganya berkata, beliau sempat berjumpa dengan anaknya, Nur Fatima Aisya, empat tahun, pada 24 September.

Ditanya mengenai dakwaan mengaitkan dirinya berlaku curang dan kali terakhir menghubungi Fazura, Fattah enggan memberi sebarang komen lanjut.

Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, telah menangguhkan kes perceraian pasangan selebriti itu kepada tarikh baru, 7 Oktober.

Peguam syarie mewakili Fattah Amin, Zulkifli Che Yong, memaklumkan, anak guamnya masih belum bersetuju untuk melepaskan Fazura semasa sebutan kes permohonan perceraian tersebut.

Dalam pada itu, Fazura, 41 tahun, menyerahkan penamat krisis rumah tangganya dengan Fattah kepada urusan takdir.

Memperincikan perkara itu, Fazura berkata beliau hanya mengharapkan yang terbaik demi kebahagiaan kedua-dua pihak, sama ada bercerai mahupun berdamai.

“Sebagai isteri dan ibu, sudah tentu saya mengharapkan yang terbaik, tapi saya serahkan kepada Allah kerana itulah yang terbaik,” katanya.

Pelakon drama, Andartu Kosmopolitan, itu juga enggan mengulas ketika ditanya apakah beliau masih menyayangi suaminya.

“Kalau tanya perasaan, saya tenang sahaja, alhamdulillah.

“Apa yang berlaku bukanlah perkara yang dijangka. Ini semua ketentuan Allah, jadi saya terima seadanya,” katanya lagi.

Menerusi hantaran Instagram selepas itu, Fazura nekad mahu bercerai demi maruah dan kesejahteraan hidup bersama anaknya.

Pertimbangan terperinci dan refleksi mendalam, jelasnya, telah dibuat sebelum memfailkan perceraian selepas hampir tujuh tahun bersama Fattah.

Beliau memohon orang ramai mendoakan proses perceraian yang dilaluinya berjalan lancar.

Sehubungan itu, pihak pengurusan Fazura juga bakal mengambil tindakan terhadap lima individu yang sudah dikenal pasti didakwa memfitnah pelakon itu berhubung kes perceraiannya ini.

Laporan berkaitan
Fazura kemuka tuntutan ceraiSep 13, 2024 | 7:20 PM
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg