Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes khalwat: Aliff, Ruhainies mengaku tidak bersalah

Jul 3, 2024 | 5:04 PM
Aliff Aziz
Aliff Aziz (dua dari kanan) dan Ruhainies (kanan) tidak mengaku bersalah atas pertuduhan berkhalwat dan minta dibicarakan pada tarikh yang ditetapkan iaitu 12 Oktober. - Foto BERITA HARIAN MALAYSIA

Pelakon dan penyanyi asal Singapura, Aliff Aziz, serta pelakon kontroversi, Ruhainies, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan berhubung kes khalwat pada 9 Mac ketika pertuduhan dibacakan di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, pada 3 Julai.

Aliff, 33 tahun, dan Ruhainies, 31 tahun, yang diwakili peguam Hadi Salleh dan Amirul Ashraf Ghani, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Abu Suffian Abu Yaziz.

Pendakwaan dibuat oleh Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd Nahar Mohamad dan Masroha Duki, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

“Kedua-dua individu ini hadir bersama peguam Hadi Salleh dan Amirul Ashraf Ghani.

“Kes ini disebut pada 20 Jun lalu di Mahkamah Rendah Syariah, tiada sebarang pengakuan dan tangguhan juga sudah dibuat serta dilepaskan dengan jaminan RM1,500 ($431.35) dan seorang penjamin,” kata Masroha ketika dalam dewan bicara.

Aliff mengaku tidak bersalah dan Ruhainies turut membuat pengakuan yang sama.

Prosiding diteruskan dengan perbicaraan dengan kehadiran saksi daripada pihak tertuduh.

Mahkamah menetapkan 12 Oktober sebagai tarikh seterusnya dan bon jaminan dilanjutkan sehingga ke tarikh tersebut.

Pertuduhan terhadap mereka mengikut Seksyen 27(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan Seksyen 27 (b) akta yang sama membawa kepada hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada 20 Jun, Aliff dan Ruhainies hadir di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi proses lanjutan bon jamin terhadap kes khalwat yang dilaporkan berlaku di sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur pada 9 Mac.

Selepas dibawa ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk disoal siasat, Aliff dan Ruhainies masing-masing dibebaskan dengan jaminan sekitar 2 petang hari yang sama.

Tangkapan Jawi adalah berdasarkan maklumat awam.

Pasangan selebriti yang sibuk menjalani penggambaran drama iQiyi, Terjerat, itu dilaporkan ditahan di kediaman milik Ruhainies.

Rentetan kejadian itu, Aliff dan Ruhainies masing-masing tampil memberi penjelasan menerusi hantaran Instagram (IG) berhubung kontroversi tercetus.

Aliff dan bekas isterinya, Bella Astillah, yang mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016, bercerai talak satu pada 13 Jun.

Ketika ditemui BHM, Aliff mengaku lebih banyak meluangkan masa dengan keluarga di Singapura dan berehat sebelum memutuskan untuk kembali aktif dalam bidang lakonan.

Aliff berkata tumpuan diberi kepada mengisi masa dengan berehat termasuk dalam aspek mental dan emosi.

“Kadang-kadang orang kata konon macam kitalah yang terpaling sedih... tidak begitu. Saya manusia biasa yang ada banyak kesilapan. Jadi, saya ambil masa untuk berehat secara mental dan meluangkan masa dengan keluarga.

“Ada beberapa perkara yang sedang saya usahakan untuk perlahan-lahan bina kembali semangat dan lebih akrabkan hubungan dengan keluarga.

“Kebanyakan masa saya di Singapura bersama keluarga. Saya juga berulang-alik ke Kuala Lumpur,” tambahnya.

Pada masa yang sama, Aliff memaklumkan keputusannya berehat bukanlah bermaksud tiada tawaran lakonan yang diterima.

“Berehat itu bukan bermaksud menolak dan bukannya tiada tawaran. Saya pilih untuk bertenang sekejap supaya tidak terburu-buru buat apa-apa keputusan dari segi kerjaya atau apa-apa.

“Jadi, saya lebih kepada berehat dan banyak menyanyi untuk menghiburkan hati,” katanya.

Aliff berkata beliau masih mempunyai wang simpanan untuk meneruskan kehidupan.

“Alhamdulillah, saya masih ada wang simpanan. Iyalah, sebelum ini rezeki ada dan beberapa perkara yang saya tidak dapat hendak cakap. Apa pun doakan yang baik-baik untuk saya,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg