Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kesan awal, elak keletihan: SAMH ajak ibu bapa pantau kesihatan mental anak

Dec 4, 2025 | 5:24 PM
Cik Amirah Razali sedang melakukan aktiviti bersama anaknya pada acara Families Connect yang dianjurkan SAMH pada 15 November di SAMH Space2Connect.
Cik Amirah Razali sedang melakukan aktiviti bersama anaknya pada acara Families Connect yang dianjurkan SAMH pada 15 November di SAMH Space2Connect. - Foto SAMH

Sebagai seorang guru sekolah rendah, Cik Amirah Razali, 34 tahun, sering melihat masalah yang dihadapi kanak-kanak di bilik darjah terutamanya dari sudut pandangan guru, dan bukan dari sudut seorang ibu.

Namun, setelah menghadiri acara yang dianjurkan oleh Persatuan Kesihatan Mental Singapura (SAMH), pandangannya berubah.

Beliau yang juga ibu kepada tiga orang anak, berkata program tersebut telah membuka matanya mengenai perubahan dan masalah yang dihadapi kanak-kanak masa kini, serta kepentingan mengesan dan intervensi awal.

“Ia membuka mata saya dan memberi saya sedikit pemahaman tentang emosi kanak-kanak. Sebagai ibu bapa, kita mungkin merasakan seolah-olah sudah melakukan segalanya, tetapi kita terlupa untuk bertanya sama ada mereka mempunyai masalah, atau gangguan emosi, di sekolah atau dengan ahli keluarga,” ujar Cik Amirah.

Program dua hari anjuran SAMH ini terdiri daripada forum ‘SAMH Parents Connect’ pada 8 November, dan ‘SAMH Families Connect’ pada 15 November dan telah menarik sekitar 186 peserta dewasa, remaja dan kanak-kanak.

Program ini bertujuan untuk menangani isu penting kesejahteraan mental bagi kanak-kanak dan penjaga utama mereka, dengan mewujudkan ruang terbuka dan menyokong untuk berdialog.

Semasa ucapannya pada pembukaan acara, Naib Presiden SAMH, Encik Winston Ngan, merenungkan cabaran keibubapaan moden.

Beliau menegaskan bahawa penekanan harus diberikan kepada intervensi awal dan penjagaan diri ibu bapa dalam dunia yang pesat berubah.

“Dunia telah berubah secara mendadak. Tekanan yang dihadapi oleh anak-anak kita, sama ada daripada dunia digital atau jangkaan masyarakat tidak seperti apa yang dialami oleh kita (dulu),” kata Encik Ngan.

Encik Ngan turut berkongsi data penting: cabaran kesihatan mental kini menjejas kanak-kanak seawal usia 10 hingga 14 tahun.

Selain itu, penyelidikan menunjukkan bahawa 65 peratus ibu bapa kanak-kanak yang mempunyai kebimbangan kesihatan mental turut memerlukan sokongan profesional.

“Kesihatan mental adalah tanggungjawab bersama. Kita mesti mengakui kepentingan menjaga diri kita sebagai ibu bapa dan bekerjasama untuk memecahkan stigma untuk mencari bantuan.”

Forum pada 8 November menampilkan panel Anggota Parlimen GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, Profesor Madya Tambahan dan Pakar Psikiatri Kanak-Kanak Dr. Ong Say How, seorang Ibu Cik Iris Pek, dan seorang pendidik, Cik Esther Leng.

Topik-topik yang dibincangkan panel merangkumi aspek-aspek penting keibubapaan moden, termasuk menjaga kanak-kanak dan cara menyokong anak-anak dalam menguruskan emosi mereka.

Menurut kenyataan medianya, matlamat SAMH adalah untuk mewujudkan komuniti ibu bapa yang berinformasi dan berdaya tahan yang lebih bersedia untuk mengesan tanda-tanda awal keperluan kesihatan mental anak-anak mereka sambil mengelakkan keletihan penjaga.

Festival ini diakhiri dengan Hari Keluarga pada 15 November, di Pusat SAMH Space2Connect.

Acara ini dianjurkan untuk memupuk hubungan dan sokongan sesama keluarga, menampilkan aktiviti yang menarik dan terapeutik, termasuk pengalaman seni dan drama, program kreatif dan banyak lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg