Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Program pementoran Mesra pamer projek masyarakat pelajar

Aug 30, 2025 | 8:35 PM
Dr Syed Harun Alhabsyi, People Association
Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Dr Syed Harun Alhabsyi (kanan), yang juga penasihat kedua PA Mesra, berkunjung ke pameran projek masyarakat yang dijayakan belia di bawah program pementoran ‘Mesra 60 for 60’ di ibu pejabat PA di King’s George Avenue pada 30 Ogos. - Foto PA MESRA 

Program pementoran ‘Mesra 60 for 60’ yang diterajui Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra) berakhir pada 30 Ogos dengan pameran projek masyarakat yang dijayakan belia di bawah bimbingan individu berpengalaman yang dipadankan kepada mereka.

Di bawah daya usaha kepimpinan empat bulan yang dilancarkan pada Mei itu, 60 karyawan berusia 60 tahun dan ke atas memberi bimbingan kepada 60 pelajar sekolah menengah Melayu/Islam untuk meraih kemahiran baru dalam bidang seperti pengurusan projek dan pidato awam.

Program yang merupakan sebahagian sambutan ulang tahun kemerdekaan Singapura ke-60 (SG60) itu telah memberi pelajar peluang mengambil bahagian dalam bengkel yang menawarkan pandangan berharga tentang kepimpinan masyarakat dan pembinaan masyarakat inklusif.

Lebih 150 peserta hadir di acara penutup yang diadakan ibu pejabat PA di King’s George Avenue itu yang turut dihadiri Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Dr Syed Harun Alhabsyi, yang juga penasihat kedua PA Mesra.

Menurut Dr Syed Harun, program itu bertujuan memberi belia rasa didampingi untuk meningkatkan lagi tahap dan daya kepimpinan mereka.

“Ia satu peluang untuk merealisasikan potensi mereka menyumbang kepada masyarakat selanjutnya. Program ini telah mendedahkan belia kepada hal ehwal kemasyarakatan. Saya yakin melalui program ini, belia kita dapat memupuk sikap peduli bagi keperluan masyarakat baik di masa kini dan juga masa hadapan,” katanya.

Di bawah bimbingan Majlis Mesra, pemimpin akar umbi dan mentor profesional, pemimpin muda dalam program itu telah membangunkan huraian inovatif bagi menangani keprihatinan masyarakat.

Ini termasuk isu seperti kemampanan alam sekitar, kesihatan mental, serta keharmonian kaum dan agama, kata PA dalam satu kenyataan.

Pelajar yang mengikuti program ‘Mesra 60 for 60’ antara lain berpeluang mengikuti enam sesi latihan intensif dan pengalaman amali dengan 10 Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC).

Pengalaman itu mempertingkat pemahaman mereka tentang keperluan masyarakat dan membolehkan mereka membangunkan huraian prototaip untuk jurang yang dikenal pasti.

Sebagai contoh, di Mountbatten, pelajar terlibat dalam projek masyarakat yang didorong belia dan meneroka pendekatan inovatif bagi kerja masyarakat, seperti menggunakan media sosial untuk menggalak kesukarelawanan.

Di kawasan Zhenghua yang terletak di Bukit Panjang pula, pelajar meneliti amalan hidup mampan melalui pelbagai inisiatif hijau.

Ini termasuk pengagihan makanan yang diselamatkan dan taman masyarakat atas bumbung, sambil mempelajari mengenai usaha alam sekitar yang didorong masyarakat.

Pengerusi penganjur ‘Mesra 60 for 60’, Encik Fariezan Abas, berkata pelajar membawa bersama mereka tenaga yang bersemangat kepada pendampingan masyarakat.

“Kreativiti mereka, digabungkan dengan aspirasi untuk berkhidmat, telah menghasilkan idea segar yang mengukuhkan usaha masyarakat,” katanya yang juga pengerusi MAEC Kelab Masyarakat (CC) Zhenghua.

Bagi salah seorang peserta, Alia Qaisarah Mohammad Khir, dari Sekolah Tinggi Chung Cheng (Yishun), program itu memberikannya kemahiran hidup yang amat berharga.

“Selain membangunkan kemahiran pengurusan masa, saya belajar untuk bekerjasama secara berkesan dengan rakan sebaya daripada pelbagai latar belakang.

“Program ini telah meningkatkan keupayaan saya untuk berucap di tempat awam dan memberi pengertian berharga tentang kerja masyarakat akar umbi,” kata pelajar berumur 14 tahun itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg