BRITAIN: Tanda-tanda awal penuaan lazimnya dikaitkan dengan bahagian mata atau tangan.
Namun sejak kebelakangan ini, leher muncul sebagai bahagian baru yang menunjukkan tanda-tanda penuaan.
Lebih tepat lagi, masalah penuaan di bahagian ini dikenali sebagai ‘tech neck’, iaitu kemunculan kedutan, kulit kendur dan garisan halus yang muncul lebih awal.
Ia akibat terlalu lama membongkok ke depan ketika menggunakan peranti teknologi.
Pakar runding dermatologi dari Britain, Dr Derrick Phillips, menjelaskan keadaan ini dengan berkata:
“Tech neck ialah istilah yang biasa digunakan untuk menggambarkan kesan membongkok ketika menggunakan alat teknologi seperti telefon pintar dan tablet.
“Ini termasuk kesan terhadap otot leher, serta kesan pada tekstur, penampilan dan mutu kulit.
“Gabungan postur yang buruk semasa membongkok melihat peranti dan juga kesan cahaya biru pada kulit, boleh menyumbang kepada tech neck.
“Keadaan ini boleh muncul sebagai kedutan pada kulit leher, serta garisan dan masalah tekstur kulit.”
Pakar menekankan bahawa pencegahan bermula dengan tabiat harian.
“Cuba elakkan membongkok ke depan ketika menggunakan peranti teknologi dan ini boleh membantu mengurangkan kesan pada leher,” kata Dr Phillips.
Beliau turut menekankan bahawa penggunaan krim pelindung matahari, atau Faktor Pelindung Cahaya Matahari (SPF) adalah penting untuk melindungi kulit daripada kerosakan akibat sinar suria serta tekanan oksidatif, yang boleh mempercepat penuaan.
Dermatologi kosmetik Britain, Dr Nora Jaafar, menyifatkan penyesuaian kecil pada tabiat harian kita sebagai tech hygiene (penjagaan digital).
“Meletakkan peranti pada paras mata berbanding membongkok, berehat dari masa ke masa dan sentiasa sedar akan postur tubuh boleh membawa perubahan besar,” jelas Dr Nora.
“Penyesuaian kecil ini dapat mengurangkan tekanan jangka panjang pada kulit dan otot.”
Kedua-dua pakar dermatologi itu menegaskan bahawa produk yang disapukan pada leher adalah penting.
“SPF perlu menjadi sebahagian utama dalam rutin penjagaan kulit setiap orang untuk melindungi kulit leher daripada tanda penuaan awal seperti garisan halus, kedutan dan hiperpigmentasi,” jelas Dr Phillips.
“SPF tidak boleh diabaikan kerana kerosakan akibat sinar ultraungu (UV) adalah penyumbang utama kepada pemecahan kolagen,” tambah Dr Nora.
“Bahan aktif seperti retinoid merangsang pembaharuan kulit, peptida menyokong proses pembaikan kulit dan antioksida seperti vitamin C melindungi daripada kerosakan radikal bebas.”
Mungkin perkara penting yang perlu diingat adalah, ‘tech neck’ bukan sekadar masalah kulit.
Tabiat selalu membongkok ke depan menimbulkan garisan halus, kulit kendur, dan ketegangan otot leher.
Pendekatan terbaik adalah menggabungkan penjagaan kulit, postur baik dan menjalani rawatan profesional, kata Dr Nora. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg