Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kesan terapi tradisional holistik alat muzik oud

Dec 4, 2025 | 3:27 PM
Dari gitar moden ke alat muzik purba, oud, Encik Azrin Abdullah kini pengamal dan pendidik alat muzik tradisional bersama Sri Mahligai, bergabung dengan Persatuan Perubatan Warisan melayu (PPWM) untuk berkongsi tentang oud sebagai rawatan pelengkap.
Dari gitar moden ke alat muzik purba, oud, Encik Azrin Abdullah kini pengamal dan pendidik alat muzik tradisional bersama Sri Mahligai, bergabung dengan Persatuan Perubatan Warisan melayu (PPWM) untuk berkongsi tentang oud sebagai rawatan pelengkap. - Foto oleh FOTOFEIGN VISUALS

Seperti kebanyakan anak muda, Encik Azrin Abdullah lebih cenderung bermain gitar pada usia muda dan telah belajar memetik gitar seawal usia enam tahun.

Apabila beliau mencecah usia remaja, minatnya beralih ke muzik genre rock dan metal. Namun, sejak diperkenalkan dengan alat muzik oud pada lewat 90-an, hati beliau terpaut. Sejak itu, Encik Azrin, 49 tahun, bergiat aktif mendalami seni muzik Melayu.

“Dari umur muda, saya memang tertarik dengan bunyi yang dihasilkan dari petikan oud yang hanya didengar dalam program di televisyen. Saya cuba meniru cara permainan dan bunyiannya dengan gitar tapi tidak pernah tercapai,” kata Encik Azrin, yang juga merupakan salah seorang pengasas kumpulan Sri Mahligai, yang memberi tumpuan kepada pengenalan dan pembelajaran muzik Melayu.

Pada 6 Disember, Encik Azrin bergabung dengan Persatuan Perubatan Warisan Melayu (PPWM) dalam mengetengahkan dan berkongsi tentang alat muzik oud sebagai rawatan terapi kesihatan holistik bagi sebuah bengkel ‘Healing through Sound & Soul : The Therapeutic Power of the Oud’.

“Saya pernah membaca beberapa artikel mengenai penggunaan alat muzik seperti oud, qanun, nay, dan sebagainya di hospital dan tempat penjagaan pesakit di negara-negara Timur Tengah.

“Mereka telah menggunakan kaedah ini sejak mengkaji penulisan filosuf seperti Al Kindi, Al Farabi, dan Ibn Al-Arabi.

“Walaupun tidak banyak, tetapi hasil kajian mengenai penggunaan kaedah muzik dalam terapi menunjukkan kesan positif pada pesakit-pesakit yang didedahkan pada muzik,” terang Encik Azrin.

Warisan oud dalam perubatan

Presiden PPWM, Encik Zainal Abidin Abdul Rahman, 76 tahun, menerangkan bahawa oud, yang perkataan asalnya bermaksud ‘kayu’ atau ‘ranting mudah lentur’, telah lama dihargai kerana bunyinya yang berbeza dan ekspresif.

Menurut beliau, oud sering digunakan untuk meluahkan emosi dan kedamaian dalam muzik Arab klasik, serta pernah diiktiraf dalam hospital-hospital Islam purba (Bimaristan) sebagai sebahagian rasmi daripada rawatan terapeutik.

“Oud dan alat muzik lain telah dimainkan sekurang-kurangnya selama seribu tahun dalam masyarakat Muslim. Pada zaman Uthmaniyah, muzik seperti ini dimainkan di hospital dan tempat awam kerana kesannya yang menenangkan,” kata Encik Zainal, yang ingin melihat pendekatan rawatan terapi menggunakan muzik diamalkan di institusi perubatan dan penjagaan dengan lebih meluas.

PPWM adalah sebuah pertubuhan yang berdaftar sejak 14 Februari 2022 dan kini mempunyai lebih 30 anggota. Ia ditubuhkan untuk menyusun semula, merasmikan, dan mempromosikan Perubatan Warisan/Tradisional Melayu sebagai rawatan pelengkap.

“Konsep terapi muzik bukanlah perkara baru; ia mempunyai asas yang kukuh dalam tamadun Islam terdahulu. Lebih 700 tahun dahulu, para sarjana Islam terkemuka seperti Al-Farabi dan Ibn Sina (dikenali sebagai Avicenna di Barat) telah menulis secara meluas tentang kesan penyembuhan muzik.

“Hospital-hospital yang dikenali sebagai Bimaristan di Kaherah, Damsyik, dan Aleppo menggajikan pemuzik untuk membuat persembahan harian kepada pesakit, termasuk mereka yang mengidap penyakit mental,” tambah Encik Zainal.

Bagi Encik Zainal, matlamat pertubuhan itu ialah untuk menyusun semula dan merasmikan perubatan warisan Melayu sebagai rawatan pelengkap, dengan tumpuan bagi menangani kadar penyakit kronik yang tinggi - seperti kencing manis dan penyakit jantung yang lazim dalam masyarakat Melayu/Islam.

“Dari segi pemakanan, kami sudah diajar (dalam agama), berhenti sebelum kenyang – dan lebihkan ulam-ulaman dalam diet kita. Ini adalah cara-cara mudah yang boleh dipraktikan sendiri untuk mengelak penyakit-penyakit kronik,” kata Encik Zainal sebagai jurulatih kesejahteraan dan pemimpin komuniti PPWM.

Butiran acara :

Selain menampilkan Encik Azrin sebagai pengamal dan pendidik oud dalam acara “Healing through sound & soul” yang akan menerangkan keunikan oud, serta warisan spiritualnya dan kegunaannya menyokong kesejahteraan mental, emosi, dan tenaga.

Sesi ini juga akan merangkumi sesi kepimpinan bunyi yang akan dipimpin oleh moderator, Cik Rahmah Jaa’far, seorang Pendidik Kesejahteraan Integratif dan Holistik.

Acara ini terhad kepada 35 peserta dan akan diadakan pada 6 Disember 2025, dari 11 pagi hingga 1 tengah hari (pendaftaran bermula 10.30 pagi) dan akan diadakan di AlQudwah Academy LLP.

Tiket berharga $20 untuk bukan anggota, manakala anggota PPWM boleh hadir secara percuma.

Mereka yang ingin mendaftar boleh menghubungi talian 97520670.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg