Pelakon Korea Selatan, Kim Tae-hee dan Park Hae-soo, bakal muncul dalam projek Hollywood pertama mereka iaitu drama bersiri ‘thriller’ baru bagi Amazon Prime Video, bertajuk Butterfly.
Ini disahkan agensi yang mewakili dua pelakon itu, lapor The Korea Herald, baru-baru ini.
Drama risikan enam episod itu mengisahkan tentang bekas ejen Agensi Risik Pusat (CIA), David Jung (lakonan Daniel Dae Kim) dan ejen sosiopatik CIA bernama Rebecca (Reina Hardesty).
Ia dipadankan daripada novel grafik Butterfly tulisan Marguerite Bennett.
Kim, 43 tahun, yang pernah menjayakan drama hit Korea seperti Iris dan Love Story In Harvard turut diberi peranan utama.
Sementara itu, Park, 42 tahun, pula akan muncul sebagai pelakon undangan dalam siri terbaru itu meskipun peranannya belum didedahkan.
Park dicalonkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Anugerah Emmy ke-74 bagi peranannya sebagai Jo Sang-woo dalam siri Netflix terkenal, Squid Game.
Pelakon itu juga telah memperkukuh kedudukannya di pentas sejagat dengan menggalas peranan utama dalam siri Netflix, Narco Saints.
Butterfly akan disiarkan di wadah penstriman Amazon Prime Video di lebih 240 negara.
Bagaimanapun, tarikh siaran drama itu masih belum ditentukan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg