Hampir lima dekad lamanya, penggubah lagu dan maestro muzik legenda, Datuk S. Atan, 75 tahun, berbakti pada arena muzik Melayu di Nusantara.
Beliau sudah mencipta lebih 1,000 lagu hit untuk penyanyi lama dan baru.
Malah, S. Atan atau nama sebenarnya, Hashim Said, merupakan antara komposer yang boleh digelar ‘Raja Lagu Raya’ kerana mencipta banyak lagu Lebaran.
Antaranya, lagu Menjelang Hari Raya dendangan Datuk DJ Dave, Dari Jauh Ku Pohon Maaf (Allahyarham Datuk Sudirman Arshad), Cahaya Aidilfitri (Black Dog Bone), Salam Aidilfitri (Datuk Jamal Abdillah), Hari Mulia (Datuk Sheila Majid) dan Indah Beraya Di Desa (Azlina Aziz).
Lagu generasi terkini pula termasuk Rindu Di Anjung Lebaran (Haiza), Seru Hari Lebaran (duet Syamel dan Ernie Zakri), Rindu Lebaran (E1 Band) dan terbaru, Nikmat Di Hari Raya (duet Kelly Azman dan Ismaliza Ismail).
Pada 11 Oktober, beliau diiktiraf dengan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36 di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, dengan siaran langsung acara itu disiarkan di saluran TV3.
S. Atan yang berasal dari Singapura dianugerahkan pengiktirafan sedemikian sebagai bakti dan sumbangan dalam bidang penciptaan lagu dan khazanah muzik Melayu.
Dalam wawancaranya bersama media yang disiarkan di YouTube, beliau yang tampil berkerusi roda dengan disorong ke pentas kerana keadaan kesihatan yang melemahkan kakinya, berkata:
“Anugerah penuh gemilang ini akan membakar semangat saya untuk terus berkarya.
“Saya bersyukur kerana ada yang mengiktiraf karya seni saya.
“Terima kasih kepada Berita Harian Malaysia (BHM) untuk anugerah yang penuh bermakna ini.
“Anugerah ini menjadi antara pembakar semangat bagi kami orang seni untuk terus berkarya apabila ada yang menghargai idea seni kami.
“Saya menujukan anugerah ini khas buat mereka yang menghargai setiap hasil karya saya termasuk keluarga yang selalu menyokong kerjaya seni saya.”
Piala Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat ABPBH 36 disampaikan Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Encik Rafiq Razali.
Turut mengiringi ialah Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, serta Pengarah ABPBH 36 merangkap Pengarang Kanan Berita Hiburan dan Projek BH, Encik Shamshul Azree Samshir.
Dalam segmen penghargaan karya seni S. Atan, penonton dihiburkan dengan lagu ciptaannya, Tak Kenal Maka Tak Cinta dan Pandang Pandang Jeling Jeling, yang didendangkan Hazama dan Shiha Zikir.
S. Atan memulakan kerjaya seninya pada usia 17 tahun.
Beliau yang dianggap garang tetapi berdisiplin dan prihatin, banyak berurusan dengan penyanyi hebat seperti Allahyarham Tan Sri SM Salim, Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk DJ Dave, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Sheila Majid, Carefree dan Black Dog Bone.
Dalam wawancara S. Atan bersama Berita Harian pada 13 Julai 2020, beliau menceritakan tentang kisahnya dibesarkan di kampung sekitar Geylang Serai, serta mendapat pendidikan di sekolah Cina, Happy Garden.
Di situlah kemahiran muziknya dikembangkan menerusi kelab muzik sekolah tersebut.
Menurutnya, teknik bermain muzik lebih dapat dipelajari secara terperinci di Happy Garden yang menekankan disiplin dalam menimba ilmu.
“Saya belajar dua cara mendalami muzik dengan menggunakan kaedah ‘do re mi’ serta mengikut nota.
“Teknik ‘do re mi’ memang tidak mengelirukan, key atau skala apa untuk dimainkan pun tak menjadi masalah,” jelasnya.
Beliau bagaimanapun belajar bermain akordion dan alat genderang bongo daripada bapa saudaranya.
Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC) yang kini Mediacorp menjadi tempat Atan mencari rezeki sebagai pemimpin Orkestra Kalungan Nada.
Beliau juga bermain piano dan akordion di hotel sekitar Johor Bahru.
Menceritakan bagaimana beliau mula dilamar label rakaman EMI sebagai penyusun lagu, Atan berkata:
“Suatu hari, Kassim Masdor jumpa saya. Beliau kata nak keluar dari EMI sebab nak bangunkan label rakaman Senada.
“Justeru, beliau minta saya gantikannya tetapi sebagai penyusun lagu, bukan komposer.”
Di label rakaman EMI, beliau mula mencipta satu dua lagu dahulu.
Apabila mendapat sambutan dengan lagunya diputarkan di corong radio, barulah beliau gigih mencipta banyak lagu dengan Ratu Dangdut, Zaleha Hamid, menjadi artis pertama yang berurusan dengannya di situ.
Kerana kemahirannya dalam bahasa Cina, beliau juga pernah menembusi pasaran lagu Cina ketika bertugas selama dua tahun di Taiwan.
Pada Ogos 2023, S. Atan dikurniakan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) membawa gelaran Datuk pada sambutan Hari Jadi Ke-74 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg