Konflik di Timur Tengah: Panduan keselamatan bagi pelancong S’pura
Konflik di Timur Tengah: Panduan keselamatan bagi pelancong S’pura
Nasihat penting dari pakar keselamatan
Konflik di Timur Tengah: Panduan keselamatan bagi pelancong S’pura
Sedang ketegangan memuncak di Timur Tengah, ribuan pelancong mendapati diri mereka terkandas di rantau Teluk.
Pada 28 Februari, serangan berskala besar Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran mencetuskan tindak balas. Iran melancarkan serangan balas ke atas aset ketenteraan Amerika di beberapa negara Teluk.
Ini serta-merta melumpuhkan perjalanan udara, menyebabkan gangguan besar di beberapa lapangan terbang paling sibuk dunia, seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai dan Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad Doha.
Kementerian Ehwal Luar (MFA) menasihati warga Singapura agar menangguhkan semua perjalanan ke Timur Tengah, dan mengeluarkan nasihat perjalanan ke 15 destinasi di sana.
Namun, bagaimana pula nasib mereka yang sudahpun berada di sana?
Berikut panduan daripada Encik Bala Selvam, pengurus keselamatan serantau International SOS, dalam jawapannya kepada Berita Minggu (BM):
Apa yang perlu dilakukan jika serangan berlaku dalam negeri yang dikunjungi?
Jika serangan berlaku, kekal tenang dan buat keputusan berdasarkan risiko sebenar, jangan terburu-buru berpindah keluar.
Walaupun berpindah sering diutamakan, menuju ke jalan raya semasa letupan, serangan dron, atau tembakan adalah membahayakan.
Adalah lebih baik untuk kekal di tempat selamat sehingga keadaan kembali stabil.
Jika dalam bangunan, segera cari ruang paling selamat, seperti ruang bawah tanah, tempat letak kereta bawah tanah, atau tingkat paling rendah bangunan kukuh.
Jauhi tingkap dan kaca. Tutup langsir jika boleh untuk mengurangkan risiko kecederaan daripada kaca pecah.
Berlindung berhampiran dinding yang kukuh (tanpa bersandar) boleh beri perlindungan tambahan.
Letakkan kepingan plastik atau pita pada tingkap untuk mengurangkan serpihan letupan.
Mereka yang berada di luar perlu segera cari perlindungan di bangunan selamat terdekat.
Jika tiada perlindungan segera, berbaringlah di tanah, tutup kepala, dan pastikan kulit tidak terdedah untuk mengelak kelecuran dan kecederaan daripada serpihan.
Kesediaan adalah kunci.
Pelancong dinasihati untuk sedikan bekalan kecemasan termasuk air minuman, makanan bertenaga tinggi, ubat-ubatan penting dan keperluan lain yang mencukupi untuk sekurang-kurangnya 24 hingga 48 jam.
Pastikan peranti mudah alih sentiasa dicas penuh bagi tangani gangguan elektrik.
Selepas insiden, terus pantau maklumat terkini yang sahih dari sumber dipercayai dan patuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
Setelah selamat, hubungi pihak keselamatan untuk melaporkan keadaan anda dan dapatkan panduan selanjutnya.
Dengan ketidakpastian perjalanan, apakah persediaan yang perlu saya buat?
Dengan ketidakstabilan dan keadaan perjalanan global yang semakin tidak menentu, pengembara tidak boleh pandang ringan soal keselamatan.
Persediaan awal dan fleksibiliti dalam rancangan adalah langkah penting untuk mengurangkan kesan gangguan mendadak.
Pelancong perlu mulakan dengan menyemak nasihat perjalanan kerajaan.
Nasihat ini menjelaskan tentang keselamatan, sokongan konsular, dan pilihan untuk berpindah.
Jika pihak berkuasa mengesyorkan menangguhkan perjalanan, panduan itu harus dipandang serius.
Pelancong perlu mendaftar dengan MFA sebelum berlepas agar dapat menerima maklumat terkini dan penting dan mudah dihubungi dalam waktu kecemasan.
Fleksibiliti dalam rancangan perjalanan amat penting.
Memilih tiket penerbangan dan penginapan dengan peraturan pembatalan yang boleh dibayar balik atau fleksibel membantu menangani kejadian penerbangan digantung mengejut, ruang udara ditutup, perintah berkurung atau kelewatan.
Perlu sediakan simpanan kecemasan agar dapat mengurangkan tekanan apabila rancangan berubah secara mendadak.
Insurans adalah pertimbangan utama lain.
Pengunjung perlu memastikan insurans perjalanan meliputi pembatalan perjalanan, rawatan kecemasan, dan pemindahan akibat konflik.
Memahami butiran ini sebelum berangkat adalah kritikal.
Pelancong juga harus menyimpan salinan fizikal dokumen penting seperti pasport, pengenalan diri, dan nombor hubungan kecemasan.
Membawa peta yang ditanda dengan lokasi utama seperti kedutaan, hospital, dan hab pengangkutan juga berguna sekiranya alat navigasi digital gagal.
Kesimpulannya, persediaan berlandaskan maklumat dan fleksibiliti adalah benteng terbaik untuk pastikan pengunjung selamat dalam tempoh ketidaktentuan global yang memuncak.

