Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Percutian musim panas: Pelancong atur langkah lawan gelombang haba

Tempahan ke destinasi alami suhu tinggi kekal popular
Jul 20, 2025 | 5:30 AM
musim panas, gelombang haba, pelancong
Seorang wanita berdiri di bawah payung sambil menikmati kabus penyejuk sedang pemerintah Jepun mengeluarkan amaran strok haba di Tokyo dan wilayah lain pada 9 Julai. - Foto REUTERS

Percutian pada pertengahan tahun, Jun dan Julai, yang sering dikaitkan dengan percutian musim panas, baru-baru ini mengalami cuaca melampau, menerusi trend gelombang haba yang melanda benua serata dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ribuan orang maut disebabkan faktor yang berkaitan dengan haba di 12 bandar Eropah semasa gelombang haba melampau melanda benua itu, dengan suhu mencecah lebih 40 darjah Celsius di Sepanyol serta kejadian kebakaran hutan berlaku di Perancis dan Greece.

Lebih 20 bandar di Italy, termasuk Milan, Venice dan Rome diletakkan di bawah amaran merah kerana panas yang melampau, tahap amaran tertinggi negara itu.

Destinasi percutian yang lebih dekat dengan Singapura, Jepun, mencatat Jun bulan yang terpanas sejak 1898, menurut Agensi Meterologi Jepun.

Pada separuh kedua Jun, banyak bahagian negara itu menghadapi suhu melebihi 35 darjah Celsius selama beberapa hari berturut-turut.

Di bahagian timur China, suhu di bandar seperti Shanghai dan Hangzhou telah mencecah 35 darjah hingga 39 darjah Celsius, sementara beberapa bahagian barat Wilayah Xinjiang mengalami keadaan gelombang haba teruk, dengan suhu mencecah lebih 45 darjah Celsius.

Tempahan ke destinasi popular kekal tinggi

Bagaimanapun, agensi pelancongan Singapura yang dihubungi Berita Minggu (BM) berkata tempahan ke destinasi popular di Eropah, China dan Jepun kekal tinggi.

Pengarah Senyum Travel, Cik Siti Nuraini berkata mereka belum melihat kemerosotan yang ketara dari segi minat secara keseluruhan.

Para pelancong lebih peka dengan keadaan ini dan dapat menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca.

Pengarah Travelconnect.sg, Ustaz Nafis Rahman berkata:

“Tiada petunjuk pilihan pelancongan dari Singapura merosot akibat cuaca panas.”

“Sebaliknya trend global menunjukkan kebanyakannya tertarik kepada percutian yang melibatkan pengalaman menjamu selera hidangan tempatan, kesejahteraan, budaya, asalkan mereka dapat mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal mengharungi musim panas dengan aman.”

Bahkan, agensi yang dihubungi berkata permintaan untuk ke Jepun dan China terus meningkat.

Pengarah Urusan Dreamcation, Encik Sujimy Mohamad berkata:

“Permintaan untuk ke China dan Jepun kekal berdaya tahan kerana pelancong mendambakan pengalaman kebudayaan, tarikan unik dan keinginan untuk mencapai pengembaraan impian atau ‘bucket-list’.

“Motivasi sebegini seringkali mengatasi cabaran cuaca yang sementara.

“Pascapandemik, pelancong menjadikan ia keutamaan untuk memanfaatkan perjalanan mereka sepenuhnya dan sanggup membuat perubahan kepada jadual perjalanan mereka daripada membatalkan seluruh rancangan sama sekali.”

Beliau menambah bahawa destinasi seperti China, terutamanya Yunnan, terus menyaksikan permintaan kukuh disebabkan lokasinya yang strategik dan iklim yang lebih sederhana dengan suhu yang berada dialam lingkungan selesa iaitu 20 darjah Celsius ke atas.

PELANCONG PILIH DESTINASI LEBIH SEJUK

Bagaimanapun, agensi pelancongan dapat melihat perubahan dari segi sikap pelancong, dengan sebahagian memilih untuk ke negara lebih sejuk sewaktu cuti musim panas.

Ustaz Nafis berkata bagi percutian ke Eropah, pelanggan lebih cenderung memilih destinasi yang lebih sejuk dan merancang perjalanan mereka pada musim kurang sibuk seperti musim bunga atau luruh bagi mengelak suhu yang terlalu panas.

Ketua pasukan dan pakar Afrika di Scott Dunn, Cik Gwen Ho berkata terdapat trend meningkat di mana pelancong bukan sekadar inginkan percutian pantai pada musim panas.

Sebaliknya terdapat minat meningkat untuk ke negara Nordik, Scotland, Ireland, yang suhunya lebih rendah berbanding destinasi seperti Greece.

“Kadangkala, tetamu masih memilih untuk melancong pada bulan-bulan panas oleh kerana pelbagai sebab.

“Ada yang mungkin ingin menjauhi keadaan sesak atau menikmati harga lebih baik, tetapi bagi yang lain, ia mungkin kerana itulah satu-satunya tempoh di mana mereka, ataupun anggota keluarga mereka ada masa lapang untuk bercuti,” tambah Cik Ho.

Cik Aleefa Ahmad Jailani (tengah) bercuti di Lake Braies, Italy bersama (dari kiri) kakaknya, Cik Ameera Ahmad Jailani dan Cik Nadhrah Darke pada awal Jun.
Cik Aleefa Ahmad Jailani (tengah) bercuti di Lake Braies, Italy bersama (dari kiri) kakaknya, Cik Ameera Ahmad Jailani dan Cik Nadhrah Darke pada awal Jun. - Foto ALEEFA AHMAD JAILANI

Seorang guru, Cik Aleefa Ahmad Jailani, 28 tahun, yang bercuti di Italy selama dua minggu pada awal Jun bersama kakak dan sepupunya berkata beliau tidak sangka gelombang haba turut melanda bahagian utara Italy yang dikunjunginya iaitu di Milan, Dolomites dan Florence.

Walaupun beliau berasa sudah terbiasa dengan cuaca di sana kerana Singapura juga panas, Cik Aleefa akui suasananya yang kurang lembap membuatkan beliau alami dehidrasi.

Justeru, beliau menggunakan waktu tengah hari untuk tidur dan mendapatkan rehat secukupnya sebelum meneruskan pengembaraannya.

“Saya ke Italy untuk melakukan kegiatan ‘hiking’ dan meneroka alam sekitar, jadi saya berada di luar kebanyakan hari dan merasakan bahawa saya akan mensia-siakan masa saya di sana jika terus duduk di dalam penginapan saya.

“Sebanyak boleh, saya akan mencari tempat teduh atau kerap minum air sejuk dan makan gelato ketika di sana,” katanya.

Cik Aleefa akui bahawa kesan pemanasan global merisaukannya.

“Bagi percutian musim panas selanjutnya, saya tentu sekali akan memilih destinasi yang lebih sejuk tetapi sejujurnya ia sukar untuk ramal keadaan cuaca sekarang,” ujarnya.

TIP HARUNGI MUSIM PANAS:

1. Lakukan kajian, fleksibel dalam rancang jadual harian

- Elak berada di tempat terbuka pada waktu tengah hari, sebaliknya pergi pada awal pagi atau lewat petang.

- Pilih kegiatan yang dilakukan dalam bangunan (muzium, pusat beli-belah, galeri) pada waktu panas.

- Dapatkan panduan kesihatan dan amaran terkini tentang keadaan cuaca setempat, perlu fleksibel jika rancangan perlu diubah.

- Lakukan kajian dan dapatkan nasihat orang lain yang telah ke negara yang anda ingin kunjung.

2. Berpakaian sesuai dan bawa alat penjagaan kesejahteraan diri

- Guna pakaian berwarna cerah, longgar dan fabrik ringan seperti kapas atau linen.

- Bawa topi, cermin mata kalis ultraviolet (UV), payung dan kasut yang selesa.

- Sejukkan diri dengan kipas mudah alih, tuala, semburan air bagi wajah atau pek ais kecil.

- Gunakan krim pelembap muka, krim pelindung matahari SPF 30 untuk disapu di bahagian yang terdedah kepada cahaya matahari.

3. Sentiasa hidrasi diri

- Bawa botol air bersama anda.

- Elak ambil minuman berkafein atau bergula tinggi dengan banyak, yang boleh mempercepatkan dehidrasi.

4. Kenal tanda awal strok haba

Jika rasa pening, mual, keletihan melampau, kulit kering dan panas, atau degupan jantung laju, segera dapatkan rehat di tempat sejuk dan minum air.

5. Sediakan insurans perjalanan

Pastikan polisi pelancongan anda melindungi kos rawatan atau pembatalan akibat cuaca ekstrem.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg