Satu daya usaha bagi mendekati peminat muzik rok tanah air yang bermula di alam maya sewaktu krisis Covid-19 pada 2021, menjadi pencetus idea untuk menganjurkan dua konsert susulan pada 2022 dan 2024/
Pada 25 Oktober, Konsert Suara Utara Rock Untuk Rakyat 2, akan menggegarkan Stadium Woodlands mulai 8 malam.
Konsert ‘live’ itu adalah kemuncak pada program bulanan yang memberi tumpuan kepada genre muzik rok dan menyatukan pemuzik rok legenda seperti Hanafie Warren, Datuk Ramli Sarip, dan Iskandar Ismail atau Eiss, bersama golongan muda dan bekas pesalah.
Peserta bukan sahaja dapat belajar daripada artis veteran, malah dapat berganding bahu menjayakan konsert di Stadium Woodlands ini.
Projek yang didukung oleh Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Woodlands di bawah bimbingan dan nasihat Anggota Parlimen GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar, telah mengendalikan empat musim projek Suara Utara dengan tema berbeza.
Menurut Cik Mariam, musim kedua lebih memberi tumpuan pada program bulanan secara langsung – beralih daripada rok kepada genre berbeza di Kelab Masyarakat Woodlands.
Program musim ketiga pula beralih angin ke suasana terbuka di Kampung Admiralty manakala musim keempat akan menggabungkan bakat tanah air dalam satu lagi acara konsert Rock Untuk Rakyat 2.
Acara itu juga bertujuan menggabungkan bakat-bakat Suara Utara dari musim yang lepas, bakat baru dan juga artis tempatan yang telah menempa nama di seberang Tambak.
“Kami akan bawa penyanyi Malaysia, Aweera, yang sudah lama tidak beraksi di Singapura.
“Pastinya ramai peminatnya ingin melihatnya di pentas.
“Sambil berhibur, Rock Untuk Rakyat 2 juga mempunyai matlamat murni mengumpul derma bagi dana Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) untuk disalurkan bagi bantuan kemanusiaan di Gaza.
“Gabungan bersama RLAF ini akan memastikan bantuan kemanusiaan disalurkan langsung menerusi pemimpin Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).
“Gerakan bantuan ini akan mendekati golongan di barisan depan, meliputi hospital, kem pelarian termasuk di Lebanon dan Jordan, serta bantuan di Gaza,” tambah Cik Mariam.
Pengerusi acara Suara Utara dan MAEC Kelab Masyarakat Woodlands, Cik Deanna Manto, berkata konsert kali ini dijangka menarik kehadiran 1,000 penonton.
Barisan artis pula terdiri daripada pelakon Datuk Adi Putra, penyanyi Aweera, Fuad Rahman dan isterinya, King Tom, Eiss, Eka Mairiana, Sheila Suratman, Trojan dan Xin4nia.
“Datuk Adi Putra juga akan menyanyi, dan ini kali pertama beliau menyanyi dalam sebuah konsert!” jelas Cik Deanna tentang pelakon asal Singapura yang dikenali sebagai peneraju filem Mat Kilau.
Tiket berharga $28 bagi Konsert Rock Untuk Rakyat 2 ini boleh ditempah menerusi pautan, go.gov.sg/rur2
Kanak-kanak berusia tiga tahun dan ke bawah masuk percuma.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg