Sebak.
Entah mengapa, itulah perasaan yang terungkap sebaik melangkah keluar dari dewan The Star Theatre selepas selesai menyaksikan konsert, ‘25th Anniversary New Boyz Live in Singapore’, pada 12 Oktober.
Seakan mood konsert itu memutar balik masa, yang membawa saya kembali kepada zaman persekolahan yang indah.
Ketika itu, bersama rakan-rakan yang lain, kami berkongsi duit membeli album New Boyz, dan gigih mengumpul segala keratan akhbar atau majalah mengenai kumpulan ini, yang menjadi kegilaan ramai gadis remaja sekitar dua dekad lalu.
Namun lumrah kehidupan, sejarah lalu tidak mungkin berulang.
Tepat 8.15 malam New Boyz, yang dianggotai Tomok (vokalis); Lan, Jay dan Afiez (gitar); Zack (bes); Along dan Ristoe (dram), membuka tirai konsert dengan rampaian lima lagu tanpa henti iaitu, S.M.S, Kau Bernama Cintaku, Rajuk Di Hati, Cinta Ciptaan Kita dan Semula Padaku dengan berpakaian ala trend hip-hop ’90-an.
Bagi peminat New Boyz terutama sekali yang sudah mengikuti perjalanan seni mereka sejak 1999, pasti berpuas hati dengan konsert itu kerana lagu yang dipilih daripada enam album kumpulan tersebut, kebanyakannya lagu yang tidak pernah dipersembahkan atau diputarkan di corong radio.
Saya pun selama ini hanya dapat mendengar lagu New Boyz yang bukan hit, seperti Khilaf, Kejora, Sarena Cintaku, Leraikan Genggamanku dan Habis Manis Sepah Dibuang melalui album mereka sahaja.
Namun apabila mendengar Tomok, menyanyikannya secara live diiringi susunan muzik yang segar, ternyata memang lebih enak dan mantap didengar, daripada yang terdapat di dalam album.
Vokal Tomok, yang pernah menjuarai pertandingan, One In A Million Musim Ketiga, memang penuh bertenaga.
Beliau mampu membawa lagu-lagu yang dipersembahkan dengan sempurna dan tidak kedengaran ‘pancit’ sekali pun, sepanjang tiga jam konsert berlangsung, meski perlu menyanyikan 26 lagu.
Kelunakan suara Tomok sangat terserlah terutama ketika beliau menyampaikan lagu balada New Boyz, dengan penuh penjiwaan seusai dengan pengalaman suku abad kerjaya sebagai penyanyi.
Paling saya suka apabila beliau menyanyikan lagu Qiyam secara akustik dengan lirik lagu yang berkisarkan tentang cinta manusia kepada yang Maha Esa, yang membuai perasaan hampir 4,000 penonton yang hadir, rata-rata berusia dalam lingkungan 30 hingga awal 40 tahun.
Tomok juga tidak lupa menunaikan janjinya untuk membawa sekitar 100 patung beruang yang menjadi rebutan penonton di dewan sepanjang konsert berlangsung.
Pemberian itu sebagai membalas jasa peminat-peminat New Boyz yang tidak pernah luntur menyokong kumpulan itu.
Suasana di dewan bertambah gamat setiap kali apabila New Boyz menyampaikan lagu-lagu hit yang menjadi pujaan ramai seperti, Sejarah Mungkin Berulang, Meraung, Hiasan Di Laman Rindu, Lukamu Lukaku Jua dan Marah Bukan Sifatku.
Hampir semua yang hadir berdiri, melambai-lambaikan tangan sambil menyanyi bersama-sama Tomok, lagu-lagu popular New Boyz itu dengan seluruh raga, menjiwai setiap bait-bait lirik yang tertera di skrin.
Di samping lagu hit jiwang leleh mereka yang membikin penonton histeria, lagu rancak berentak latin, Lolita turut membangkitkan semangat penonton berdansa di dalam dewan konsert.
Hanya Tinggal Sejarah merupakan lagu penutup konsert dengan lirik korus ‘selamat tinggal sayang... selamat tinggal kasih...’ memberi gambaran mengenai perjalanan seni New Boyz yang bakal berakhir sebelum mereka berehat panjang, entah untuk berapa lama.
Cuma, ada lagu yang sudah tersenarai di dalam playlist New Boyz di Spotify untuk konsert itu tidak dinyanyikan.
Tomok pula tidak berkesempatan memperkenalkan anggota New Boyz yang lain, yang telah sama-sama menjayakan konsert tersebut, mungkin disebabkan kekangan masa.
Interaksi Tomok bersama penonton juga tidak begitu lama kerana tumpuan beliau lebih kepada menyampaikan seberapa banyak lagu New Boyz pada malam itu.
Ini bukan satu masalah kepada saya dan penonton lain kerana tujuan utama kami hadir ke konsert New Boyz adalah untuk mendengar dan berhibur dengan persembahan lagu-lagu mereka.
Apa-apa pun, konsert New Boyz di Singapura yang menjadi penutup tirai untuk perjalanan seni kumpulan itu buat sementara waktu, memang memuaskan hati semua yang datang kerana ia sangat padat dengan lagu-lagu kumpulan itu.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada penganjur, Eventify Singapore dan HMA Entertainment yang membuatkan konsert ini sangat berbaloi dengan tiket yang dijual pada harga yang berpatutan.
Semoga semua peminat New Boyz dapat sama-sama mencipta kenangan penuh bermakna, mungkin untuk terakhir kali, bersama kumpulan kesayangan mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg