Sewaktu menjejakkan kaki buat kali pertama di kota Cirebon di bahagian utara Jawa Barat, Indonesia, saya disambut dengan penuh kemesraan dan tertawan dengan kekayaan sejarah dan keramahan masyarakatnya.
Meskipun kunjungan saya hanya tiga hari, ilmu dan pengalaman yang saya raih telah mengubah corak pemikiran saya terhadap isu semasa.
Kota yang hanya mempunyai keluasan sekitar 37.36 kilometer persegi ini padat dan kaya dengan budaya dan sejarah. Ia merupakan kota kesultanan yang pada suatu ketika pernah mengembangkan agama Islam di kepulauan Jawa melalui peranan Syarif Hidayatullah, atau lebih dikenali sebagai Sunan Gunung Jati.
Kunjungan saya bersama satu rombongan pada Julai lalu telah membuka mata dan hati saya terhadap kekayaan warisan Nusantara.
Terdapat tiga ciri kota Cirebon yang menonjol lagi membuat saya jatuh hati dengan kota ini.
Keragaman identiti sinonim dengan kota Cirebon. Nama kota itu yang berasal daripada perkataan Jawa ‘caruban’ bererti campuran atau gabungan.
Gabungan budaya dan agama yang pelbagai jelas kelihatan pada bahan artifak, seni reka dan seni bina yang ada di Cirebon.
Antaranya ialah kenderaan kencana kesultanan yang dikenali sebagai Kereta Singa Barong.
Diukir dan dihasilkan pada 1549 Masihi, kenderaan ini menerapkan unsur-unsur daripada pelbagai budaya dan agama.
Di bahagian depan kereta kencana itu terdapat ukiran naga yang melambangkan budaya Cina.
Kesultanan Cirebon mempunyai hubungan dagang yang rapat dengan Dinasti Ming di China. Malah, salah seorang isteri Sunan Gunung Jati merupakan puteri Cina bernama Ong Tien.
Selain lambang Cina, terdapat juga belalai gajah yang simbolik dengan agama Hindu yang dibawa oleh orang India ke kepulauan Jawa sebelum datangnya agama Islam.
Peninggalan sejarah dari Kerajaan Pajajaran yang beragama Hindu masih dapat dilihat, termasuk di Keraton Kasepuhan yang merupakan kawasan istana kesultanan Islam Cirebon.
Sayap pada bahagian tepi naga itu pula melambangkan buraq, sebuah kenderaan mistikal yang sering digambarkan sebagai keldai atau kuda yang bersayap.
Menurut tradisi Islam, buraq membawa Nabi Muhammad saw dari Makkah ke Baitulmakdis dan kemudiannya menembusi langit ke syurga pada malam Israk Mikraj.
Kereta Singa Barong ini amat menakjubkan. Pada abad ke-16, ia menjadi sebahagian daripada perarakan tahunan diraja setiap 1 Muharam iaitu Tahun Baru Islam. Ia kini dipamerkan di Muzium Keraton Kasepuhan.
Unsur pembudayaan yang menonjol di dalam seni reka Kereta Singa Barong ini merupakan suatu perkara yang menakjubkan. Sehingga kini, masyarakat Islam di Cirebon menghargai keragaman budaya dan agama yang lahir dari sejarah kota tersebut.
Cirebon juga terkenal dengan gelaran ‘Kota Wali’. Ramai tokoh Sufi dan ulama yang berasal atau bermukim di sana. Antara tokoh ulama masa kini yang lahir di Cirebon ialah Kiyai Haji (KH) Said Aqil Siradj, mantan Ketua Umum Nahdlatul Ulama, sebuah pertubuhan Islam terbesar di dunia.
Saya berpeluang mengunjungi Institut Studi Islam Fahmina (ISIF), atau Institute Fahmina ringkasnya, dan bertemu dengan KH Husein Muhammad, salah seorang ulama reformis terkenal di Indonesia. Beliau merupakan tokoh yang giat memperjuangkan hak wanita dan mengangkat nilai toleransi dan perdamaian dalam kalangan masyarakat Islam.
Perbincangan bersama KH Husein dan KH Faqihuddin Kodir, seorang tokoh hadis yang juga memimpin ISIF menunjukkan betapa pemikiran yang progresif boleh wujud dalam kalangan kelompok tradisionalis yang kuat berpegang kepada warisan keislaman klasik. Mereka tekun mengkaji dan menggali nilai sejagat dari ‘kitab-kitab kuning’ karya para ulama besar terdahulu.
Kunjungan saya ke Fahmina telah memberi nafas baru kepada pandangan saya terhadap isu-isu kesetaraan, keadilan dan kemanusiaan.
Dengan adanya ulama seperti Kiyai Husein, saya bertambah yakin bahawa gagasan Islam yang progresif dapat diperkuatkan dan bersambung ke generasi seterusnya.
Sepanjang tiga hari saya berkunjung ke Cirebon, saya juga melihat keterlibatan belia di dalam pelbagai sfera masyarakat. Antaranya ialah para belia yang menjadi pemandu pelawat di Goa Sunyaragi, sebuah kompleks istirahat diraja. Para belia ini sedang menjalankan program bekerja sambil belajar yang juga melatih kemahiran mereka tentang aspek-aspek sejarah dan warisan.
Tapak Goa Sunyaragi telah wujud dari abad ketujuh dan sepanjang abad, sumbangan kearifan setempat (seperti nilai-nilai dan falsafah budaya) tidak dihapuskan, malah dilestarikan melalui asimilasi dengan yang baru. Jelasnya, kedatangan Islam tidak meruntuhkan budaya setempat tetapi memberi nafas dan pemahaman baru.
Saya juga sempat berkunjung ke Sekolah Alam Wangsakerta di daerah perkampungan yang agak terpencil. Sekolah ini memberi pendidikan kepada anak-anak desa dan juga mereka yang tidak berpeluang ke sekolah lain kerana faktor kemiskinan. Tujuan sekolah ini adalah untuk memperkasa belia dengan mengaitkan pembelajaran dengan lingkungan hidup mereka seperti ilmu pertanian dan pelestarian alam.
Para belia ini diajar aspek-aspek kitar semula, pertanian organik dan penghutanan semula. Penglibatan belia di sana dalam sfera budaya, agama dan alam sekitar sangat menonjol. Mereka diberi peluang melibatkan diri di dalam wacana dan aksi budaya melalui kajian sejarah dan latihan amali yang membawa manfaat kepada masyarakat setempat.
Meskipun hanya sementara, kunjungan saya ke Cirebon meraih banyak manfaat. Kota ini menunjukkan potensi kehidupan yang harmoni antara masa lampau dan masa kini; antara budaya dengan agama yang berbeza; dan antara pemikiran tradisional dengan moden.
Masih banyak lagi tempat-tempat bersejarah di Cirebon yang belum saya kunjungi. Begitu juga dengan kota-kota lain di Indonesia. Sebagai warga Singapura, kita harus melihat kewujudan kita sebagai tidak terpisah daripada warisan dan budaya Nusantara.
Sebagai contoh, tahukah kita bahawa wujud sebuah Kerajaan Singapura pada abad ke-12? Ianya merujuk kepada kerajaan di Kecamatan (daerah) Gunungjati hari ini. Kerajaan ini jauh lebih awal daripada Temasek yang berganti nama kepada Singapura pada abad ke-14.
Saya belum tahu apakah hubungan kedua-dua kerajaan ini. Namun, ‘singa’ merupakan lambang kebesaran yang digunakan oleh kerajaan terdahulu, termasuk Kesultanan Cirebon yang menggantikan Kerajaan Singapura (di Jawa). Bendera Kesultanan Cirebon ialah khat singa yang digelar ‘Macan Ali’.
Yang jelasnya, kita tidak akan dapat mendalami sejarah Singapura (Temasek) tanpa mengetahui tentang sejarah Nusantara.
Perjalanan saya baru bermula dan Cirebon merupakan permulaannya.
Penulis seorang lulusan Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah dan akan melanjutkan pendidikan ijazah Sarjana Muda Sastera di Universiti Nasional Singapura (NUS) di bidang Pengajian Melayu. Beliau antara rombongan lawatan sambil belajar ke Cirebon, Indonesia, pada Julai lalu anjuran Dialogue Centre.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg