Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Teroka warisan, sajian tradisional Melaka

Sep 10, 2023 | 05:32 AM



Asam pedas, bebola nasi ayam dan cendol.

Ha… buat perut mula keroncong, kan?

Tidak, saya bukan nak kongsi resipi masakan.

Saya ingin kongsi pengalaman melancong ke negeri yang terkenal dengan hidangan itu, baru-baru ini.

‘Teroka warisan dan sajian tradisional halal’ menjadi sorotan percutian ke Melaka kali ini.

Sejarah Melaka yang kaya telah diiktiraf Tapak Warisan Dunia Unesco pada 2008.

Percutian tiga hari dua malam yang ditaja Marriott International Asia Pacific ini padat dengan kegiatan dengan aneka sajian.

Sebaik tiba di hotel lima bintang Courtyard by Marriott Melaka yang baru membuka pintunya pada April 2023, kelihatan ramai pelancong dan pengunjung tempatan memenuhi ruang lobi.

JALAN-JALAN CARI MAKAN

Sambil menunggu kunci bilik, saya dan rakan media yang lain dibawa ke restoran Courtyard by Marriott Melaka, Courtyard Cafe, untuk menikmati sajian tengah hari.

Pilihan saya ialah hidangan khas Melaka: asam pedas. Set lauk yang digandingkan dengan nasi panas dan keropok ikan masih terbayang-bayang ke hari ini.

Selepas menjamu selera, saya terus ke bilik hotel untuk rehat seketika selepas perjalanan dari Singapura.

Untuk makan malam hari pertama, kami ke restoran Ikan Bakar Muara Sungai Duyung.

Terletak di muara Sungai Duyung, restoran yang menawarkan pelbagai makanan laut ini memang terkenal dalam kalangan rakyat Melaka.

Pelbagai makanan laut segar yang dipamerkan menarik perhatian saya. Ramai pengunjung sibuk memilih bahan di kaunter juruwang untuk dimasak.

Cara membuat pesanan juga menarik. Setelah memilih, maklumkan kepada juruwang cara yang ingin dimasak ikut cita rasa sendiri.







Kami memilih ikan pari untuk dibakar, ketam masak pedas manis, udang mentega, sotong goreng tepung, sotong telur asin, kerang bambu sambal hijau dan kerang rebus.

Dengar pun terbuka selerakan?

Makanan di sini memang cukup rasa dan yang paling penting, cepat dihidang.

Kegemaran saya di restoran ini pastinya sotong telur asin dan kerang bambu sambal hijau, digandingkan pula dengan jus tembikai. Memang ‘padu’.







Selepas makan malam, kami bersar-siar di Pasar Malam Jonker Street yang hanya dibuka tiga kali seminggu – Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Namun disebabkan malam hujung minggu, jalan raya dipenuhi lautan pengunjung, dengan pegerai sibuk menjual produk mereka, daripada pakaian, makanan viral, oleh-oleh dan bermacam lagi.

Walaupun suasana di Jonker Street begitu sesak, ia sangat meriah.

Setelah berjalan hampir satu jam setengah, kami pulang berehat di hotel. Mujur perjalanan memandu ke hotel hanya memakan masa lima minit.

IMBAS KEMBALI SEJARAH

Kami memulakan hari kedua dengan sarapan di restoran Lim Jit Hainanese Chicken Rice Ball.

Hidangan ‘signature’ penerima Anugerah Gourmet Terbaik Dunia 2019 (Makanan Tradisional Cina) ini tentunya bebola nasi ayam yang dihidangkan dengan pilihan ayam panggang atau kukus.

Kami memilih ‘platter’ nasi ayam yang menawarkan nasi, bebola nasi ayam, ayam panggang dan kukus, telur rebus yang diperap dengan kicap dan juga tauhu.

Cukup untuk dinikmati lebih daripada lima individu. Hidangan ini disajikan sesuai untuk semua peringkat umur.







Setelah sarapan yang agak berat, kami ke Bandar Melaka untuk ‘membakar lemak’.

Kami mula meneroka kawasan penuh sejarah itu dengan mendaki bukit St. Paul yang menempatkan gereja.

Binaan lama Portugis yang berusia hampir 500 tahun ini pernah menjadi gudang simpanan peluru senjata satu ketika dahulu.

Kawasan ini juga pernah menjadi menara pemerhati dan kubu pertahanan dek lokasinya yang strategik untuk melihat pergerakan musuh keluar masuk.

Sambil mengimbas sejarah penjajahan tentera Portugis ke atas Melaka, pengunjung boleh menikmati pemandangan bandar raya Melaka dengan laut Selat Melaka di sini.







Kami kemudian dibawa ke Muzium Warisan Baba & Nyonya menaiki kenderaan ‘VIP – beca bertema dengan hiasan warna-warni yang memenuhi jalan raya bandar Melaka.

Sebagai seorang yang menghargai seni bina tradisional, setiap sudut binaan muzium ini membuat saya sangat teruja.

Muzium ini asalnya merupakan rumah keluarga Chan sejak 1861 hingga empat generasi.

Rumah dua tingkat ini dihias cantik, penuh dengan perabot antik dan jubin berwarna-warni bermotifkan flora.

Daripada bilik tidur, dapur dan meja makan – semuanya terpelihara rapi dan mempamerkan gaya hidup unik keluarga peranakan ini.

Yang paling menarik, penggambaran drama Singapura, The Little Nyonya, juga dirakam di bangunan rumah kedai lama ini.







PERUT KENYANG, HATI TENANG

Setelah mempelajari sedikit sebanyak tentang sejarah Melaka, tiba masanya menjamu selera... lagi.

Untuk makan tengah hari, kami dibawa ke sebuah restoran yang terkenal dengan masakan peranakannya.

Ruang estetik restoran Heritage Flavours meningkatkan lagi pengalaman makan di sini, dengan payung tradisional nyonya digantung di silingnya.

Bagi yang ingin kunjung, haruslah cuba menu istimewa restoran ini seperti pai tee, ayam pongteh, udang lemak nanas dan laksa nyonya.







Untuk lengkapkan makan tengah hari, kami menuju ke sebuah kedai cendol untuk menjamu pencuci mulut.

Bibik House Cendol menawarkan salah satu cendol terbaik di kawasan Jonker Street. Pengunjung yang ramai beratur hingga ke luar kedai membuktikan bahawa cendol asli dan duriannya menjadi kegemaran ramai.

Apatah lagi dengan cuaca terik di sana, memang sangat sesuai dimakan pada bila-bila masa!







Hari kedua berakhir dengan pelayaran di Sungai Melaka ataupun ‘river cruise’ yang santai dan aman sambil menikmati sejarah, warisan budaya dan spektrum kreatif Melaka.







Melihat warisan dan sejarah kaya Melaka membuatkan percutian kali ini sangat istimewa.

Bagi pembaca yang merancang ke sana pada masa terdekat, bolehlah kunjungi tempat-tempat yang saya kongsikan.

Malah, kongsikan juga bersama saya di e-mel di atas, tempat atau kedai yang saya patut cuba.

Saya yakin ini bukan kunjungan terakhir!




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >