Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kris Dayanti tiada niat tenggelamkan suara Liza Aziz

Diva Indo perjelas salah faham, teruja anjur konsert solo di M’sia pada Jun 2025
Feb 18, 2025 | 6:36 PM
Kris Dayanti bakal mengadakan konsert solo, ‘Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti’, di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 22 Jun, selepas lapan tahun tidak membuat persembahan di situ.
Kris Dayanti bakal mengadakan konsert solo, ‘Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti’, di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 22 Jun, selepas lapan tahun tidak membuat persembahan di situ. - Foto ASTRO

Netizen rancak berdebat di media sosial apabila suara indah dan bertenaga milik diva Indonesia, Kris Dayanti, 50 tahun, disangka berlebihan dan cuba menenggelamkan suara penyanyi veteran, Liza Aziz, 62 tahun, dalam pusingan duet pada peringkat akhir peraduan realiti, Gegar Vaganza 11 (GV11), pada 9 Februari.

Mereka berdua berpadu suara bagi lagu duet, Cinta, yang merupakan dendangan asal Kris Dayanti dan juga Melly Goeslaw, di pentas auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Program realiti hiburan GV11 telah melabuhkan tirainya dengan menobatkan Liza, atau nama sebenarnya, Norliza Abdul Aziz, sebagai juara.

Beliau membawa pulang wang tunai RM100,000 ($30,266) serta piala emas GV.

Bagaimanapun, Kris Dayanti, pelantun lagu Mencintaimu, menegaskan beliau tidak berniat merosakkan persembahan Liza.

Malah, beliau juga menyakinkan orang ramai bahawa bahagian yang dinyanyikannya sama seperti versi asal lagu duet bersama penyanyi dan penggubah lagu tersebut, Melly.

“Sebenarnya, saya meminta Datuk Ramli MS menurunkan satu ‘key’, tetapi beliau menaikkan pula nada itu disebabkan kurang jelas. 

“Setiap kali saya nyanyikan lagu itu bersama Melly, memang kami meminta ‘key’ diturunkan.

“Jadi, pada malam itu saya terpaksa mengikut ‘key’ yang sudah ditukar itu sehingga kedengaran vokal saya seolah-olah cuba menenggelamkan kemampuan vokal Liza.

“Mungkin itu yang membuat penonton dan hadirin rasa tidak puas,” kata Kris Dayanti kepada laman Harian Metro ketika ditemui pada sidang media Konsert Cinta Nostalgia Kris Dayanti pada 17 Februari di St Giles Boulevard, Kuala Lumpur.

Ibu empat anak itu berharap agar isu terbabit tidak dipanjangkan dan menyifatkannya sebagai salah faham yang sukar dielak.

Dalam pada itu, beliau juga tidak ingin menimbulkan salah faham yang boleh mencetuskan perbalahan antara peminatnya dengan peminat Liza di laman media sosial.

“Janganlah marah saya. Perkara yang berlaku pun disebabkan salah faham. Tiada niat apa pun. Saya sayang semua,” tambahnya.

Di samping itu, Kris Dayanti turut mengumumkan konsert solonya di Malaysia setelah lapan tahun tidak beraksi di situ.

Beliau menjanjikan persembahan terbaik dan memukau dengan menyanyikan 30 lagu, di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 22 Jun.

“Ini kali pertama saya adakan konsert di stadium ini. Saya akan membawa penonton mendengar dan kembali mengingati lagu-lagu yang penuh nostalgia cinta dengan iringan pemuzik arahan maestro Erwin Gutawa dari Indonesia.

“Saya bertuah kerana terus disayangi dan diterima baik dan saya berharap terus mendapat sokongan anda semua hadir pada malam Konsert Cinta Nostalgia Kris Dayanti nanti,” katanya.

Tiket akan mula dijual pada 23 Februari di laman web ubertickets.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg