Topik diikuti
Pergi ke BHkuKuasai sempadan diri: Bengkel sentuhan selamat untuk ibu bapa, kanak-kanak
Apakah bahagian tubuh badan yang tidak boleh disentuh orang lain?
Bagaimanakah untuk kekal selamat ketika berdepan dengan orang dewasa yang berkelakuan mencurigakan?
Itulah antara perkara yang kanak-kanak boleh pelajari daripada bengkel dalam talian, ‘Good Touch, Bad Touch’ (Sentuhan Baik, Sentuhan Tidak Baik), anjuran wadah MuslimParents.SG, pada 19 September, dari 9.30 pagi hingga 11 pagi.
Bengkel yang dianjurkan sejak 2023 itu dibuka kepada ibu atau bapa dan anak-anak mereka yang berusia enam hingga sembilan tahun.
Setiap pasangan anak dan ibu atau bapa dikenakan bayaran $20 untuk menyertai bengkel tersebut.
Menurut Pengasas Just Guidance Services LLP yang mengendalikan MuslimParents.SG, Cik Suliyati Berori, bengkel itu juga akan memperkenalkan konsep berteraskan nilai Islam seperti identiti jantina dan kesopanan dalam berpakaian, bertutur dan berkelakuan.
“Kami juga berkongsi beberapa perkara yang perlu diambil perhatian oleh ibu bapa, seperti mengenal pasti apabila anak menunjukkan rasa cemas atau bimbang di sekitar orang dewasa tertentu, walaupun orang itu ialah rakan rapat atau ahli keluarga sendiri, serta cuba untuk menyiasat perkara tersebut dengan lebih mendalam,” kata Cik Suliyati, 39 tahun.
“Pada akhirnya, orang dewasalah yang bertanggungjawab untuk melindungi kanak-kanak daripada pemangsa seksual,” tambahnya.
Bengkel itu akan dikendalikan oleh Cik Suliyati sendiri, yang merupakan bekas guru Kementerian Pendidikan (MOE) dan pernah menjalani latihan Pendidikan Seksualiti.
Untuk kanak-kanak berusia 10 hingga 13 tahun, mereka boleh mengikuti bengkel dalam talian berjudul, ‘My Body is an Amanah’, pada 26 September, dari 2.30 petang hingga 4.30 petang.
Bengkel itu akan menyentuh tentang tindakan serta sentuhan sesuai dan tidak sesuai, mengenali pemangsa dalam dan luar talian, serta kesopanan.
Layari pautan, https://muslimparents.sg/ untuk pendaftaran bagi kededua bengkel.
