Muzik kumpulan ‘indie’ Malaysia yang popular, Masdo, sudah menjadi siulan anak muda sejak kemunculan mereka dalam persada seni Nusantara. Kini, mereka bakal mencipta sejarah tersendiri dengan menjadi kumpulan pertama yang mampu menjayakan konsert di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), dengan berkonsepkan lagu-lagu era 60-an pada hujung minggu ini.
Konsert ini dianjurkan sempena menyambut 25 tahun penubuhan DFP di Menara Berkembar Petronas. Konsert ini juga merupakan langkah berterusan dari pihak penganjur untuk menghargai bakat-bakat seni dari dalam dan luar negara, dan menjadi platform untuk menghidangkan pelbagai genre muzik bagi memenuhi permintaan dari pelbagai lapisan masyarakat. DFP boleh memuatkan 920 penonton dan mempunyai tahap akustika yang tinggi.
Kugiran yang ditubuhkan pada 2015 dianggotai Ali Sariah (vokalis), Putu Ceri (vokalis dan pemain bes) dan Asmawi (vokalis)
Dianggap sebagai Beatles Malaysia, mereka dikenali dengan lagu-lagu hit seperti Bunga, Selamat Tinggal Pujaan, dan Dinda. Muzik mereka juga banyak dipengaruhi oleh kumpulan lama seperti A Ramlie &The Rhythm Boys, The Siglap Five serta The Wonders.
Album kedua mereka yang bertajuk Jalan Abbey dihasilkan pada 2019 dan rakaman album ini telah dijalankan di studio tersohor Abbey Road Studios di London.
Tiket konsert mereka di Singapura pada Mei tahun lalu, ‘Masdo Upsized: Pesta Muda Mudi’ laris terjual sepenuhnya dalam masa sejam sahaja apabila tempahan dibuka. Kumpulan retro ini juga pernah menghadiri acara anjuran BH BHazar Berita Harian di Wisma Geylang Serai (WGS) April lalu.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Ali berkata mereka amat teruja kerana ini merupkan kali pertama mereka bakal menghiburkan peminat di DFP, lokasi seni yang ikonik lagi berprestij di negara itu.
“Sememangnya Masdo amat berbesar hati dan gembira diberi peluang untuk menjayakan konsert kami di dewan serba gah, di Dewan Filharmonik Petronas ini. Matlamat kami adalah untuk membawakan satu kelainan di mana kami akan menyanyi secara akustik serta diiringi dengan bunyian seperti tiupan hon dan petikan alat muzik tali umpama sajian orkestra mini.
“Peminat yang hadir juga akan dihiburkan dengan susunan lagu-lagu yang lebih segar dan baru. Kami harap, di akhir konsert itu nanti, peminat akan membawa pulang satu kenangan yang manis lagi nostalgia dalam diri mereka,” jelas Ali lagi
BH diberitahu sambutan yang diterima setakat ini amat memberangsangkan. Malah peminat dari Singapura juga tidak ketinggalan untuk menonton konsert ini.
“Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada peminat di Singapura kerana sokongan dan kepercayaan padu yang mereka berikan tidak pernah berbelah bagi. Kerana setiap kali kami mengadakan konsert di sana, sambutan yang kami terima amat baik dan membuatkan kami benar-benar teruja ketika mengadakan persembahan di Singapura,” jelasnya lagi.
Konsert Kumpulan Masdo ini akan diadakan pada Sabtu ini pada 8.30 malam. Tiket berharga dari RM169 ($49) hingga RM349 bagi sesi bertemu dan beramah mesra boleh ditempah melalui talian +603-23317007. Tempahan e-mel pula boleh dibuat menerusi boxoffice@dfp.com.my, manakala tempahan dalam talian boleh dibuat menerusi laman www.dfp.com.my.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg