Sebenarnya, kuku kita dapat mendedahkan banyak perkara tentang apa yang berlaku di dalam badan.
Pakar manikur anda mungkin dapat mengenalinya sebelum anda.
Artis kuku dan pengasas Blanc Studios, Cik Jessica White berkata: “Tanda pertama yang saya cari adalah perubahan warna, tekstur, dan pertumbuhan pada kuku.”
Beliau menjelaskan bahawa “kuku yang pucat atau berwarna biru boleh menunjukkan masalah peredaran darah, sementara kuku yang menguning mungkin menunjukkan masalah kulat.”
Perubahan lain – seperti garis pada kuku, lekukan atau perubahan ketebalan kuku secara tiba-tiba – juga boleh menjadi petanda masalah kesihatan.
“Kuku yang rapuh, mudah mengelupas atau terangkat dari tempat asal kuku adalah tanda yang perlu diberi perhatian,” kata Cik White.
“Kuku kita berubah dengan perlahan, jadi perubahan ini biasanya menunjukkan apa yang berlaku dalam badan kita dari semasa ke semasa.”
Bila ia masalah kosmetik dan bila ia masalah kesihatan?
Sudah tentu, tidak setiap tepi kuku yang terkelupas atau kuku yang berubah warna menunjukkan masalah kesihatan.
Pakar itu menegaskan bahawa penting untuk membezakan antara masalah kosmetik biasa dengan tanda-tanda masalah yang lebih serius.
Saintis kanan di Absolute Collagen, Dr. Dave Reilly, berkata kebanyakan perubahan pada kuku tidak perlu dibimbangkan, tetapi jika ia kelihatan luar biasa atau mengambil masa yang terlalu lama untuk sembuh, adalah baik untuk berjumpa doktor.
“Jika kuku tiba-tiba menjadi lemah atau rapuh, ini mungkin berkaitan dengan faktor gaya hidup seperti pemakanan yang buruk, kekurangan air (dehidrasi), atau kemungkinan kekurangan nutrien seperti biotin atau zat besi.”
Cik White menjelaskan bahawa masalah kosmetik biasanya berkaitan dengan faktor luaran seperti pewarnaan daripada bahan pengilat, dehidrasi daripada ‘remover’, atau kerosakan selepas penggunaan gel.
Masalah itu biasanya dapat dipulihkan dengan penjagaan yang lembut dan penghidratan.
“Kebimbangan mula timbul apabila perubahan itu berlaku secara tiba-tiba, melibatkan beberapa kuku, atau tidak sembuh dalam beberapa minggu,” katanya.
Kaitan dengan gaya hidup
Pemakanan, tekanan, dan penghidratan semua boleh dilihat dengan jelas pada hujung jari anda.
Kuku mengandungi keratin, iaitu sejenis protein yang juga terdapat dalam rambut dan kulit. Ia bergantung pada pemakanan dan kelembapan untuk kekuatan.
Dr Reilly berkata apabila anda cukup hidrasi, kuku anda sebenarnya mengandungi sekitar 18 peratus air.
“Apabila tahap kelembapan berkurang, itulah ketika kuku mula menjadi rapuh, mengelupas, dan mudah patah.”
Beliau menjelaskan bahawa pemakanan juga memainkan peranan yang sangat penting: “Biotin, juga dikenali sebagai vitamin B7, adalah vitamin B yang penting untuk membantu pertumbuhan kuku.”
Beliau mengesyorkan memakan kuning telur, salmon, dan hati, serta sayur-sayuran dan buah-buahan seperti ubi keledek, cendawan, pisang, brokoli, dan avokado yang kaya dengan nutrien tersebut.
Tekanan dan penyakit juga boleh meninggalkan kesan tersendiri.
Garis mendatar, dikenali sebagai ‘garis Beau’, boleh muncul selepas tubuh mengalami tekanan atau penyakit sementara yang mengganggu pertumbuhan kuku.
“Ini sering menandakan bahawa tubuh anda telah melalui tempoh tekanan, menyebabkan penangguhan sementara dalam pertumbuhan kuku,” katanya.
Penjagaan kuku harian
Kededua pakar itu bersetuju bahawa kesihatan kuku yang baik bermula dengan tabiat harian, bukan hanya lawatan ke salon.
Nasihat Cik White adalah mudah: “Minyak kutikula (cuticle oil) harian adalah cadangan nombor satu saya kerana ia memastikan kuku kekal fleksibel dan tahan daripada pecah.”
Beliau juga mencadangkan untuk memadankannya dengan penguat kuku yang lembut untuk menyokong struktur kuku, dan mengelakkan pemfailan berlebihan atau penggilapan yang terlalu agresif.
Cik White juga menegaskan supaya berhati-hati apabila menggunakan penghilang pengilat kuku berasaskan acetone: “Gunakannya dengan sederhana untuk mengelakkan kuku daripada kering.”
Dr Reilly mengesyorkan agar anda memikirkan penjagaan kuku seperti penjagaan kulit – mereka memerlukan perlindungan dan nutrien yang mencukupi.
“Mulakan dengan melindungi tangan anda dengan memakai sarung tangan ketika cuaca sejuk untuk mengelakkan kerapuhan, dan untuk kerja-kerja seperti mencuci pinggan atau berkebun bagi mengelakkan bahan kimia yang keras dan air panas,” katanya.
“Kolagen mengandungi asid amino penting yang diperlukan untuk membentuk keratin, protein yang membentuk kuku anda.”
Memandangkan pengeluaran kolagen secara semula jadi menurun selepas usia 25 tahun, Dr Reilly berkata suplemen boleh membantu menyokong kekuatan dan keanjalan kuku.
Penghidratan juga merangkumi lebih daripada sekadar minum air.
“Gunakan krim tangan yang kaya dengan nutrien secara kerap, memberi tumpuan pada kutikula. Cari bahan seperti asid hyaluronik, mentega shea atau gliserin untuk penghidratan yang intensif,” tambahnya. – Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg