Pasti ramai di antara kita yang sering mendengar tentang kolagen, protein penting yang digembar-gemburkan sebagai kunci bagi mendapatkan kulit sihat dan awet muda.
Ia bukan lagi asing dalam produk kecantikan, suplemen, malah iklan di media sosial.
Tetapi, adakah pengambilan suplemen kolagen benar-benar mampu meningkatkan tahap kolagen dalam kulit kita?
Ayuh kita selami lebih lanjut.
Menurut laman web kesihatan Healthline, kolagen, merupakan protein yang sangat penting.
Ia berfungsi sebagai ‘gam’ yang menyatukan tisu dan tulang.
Untuk kulit, kolagen membantu mengekalkan struktur dan keanjalannya, atau yang sering disebut sebagai ‘kekenyalan’ kulit.
Secara teori, peningkatan paras kolagen atau mencegah kehilangannya dikatakan dapat membantu seseorang kelihatan lebih muda.
Namun, adakah mengambil kolagen dalam bentuk minuman atau makanan benar-benar berkesan?
Menurut Healthline, suplemen kolagen mungkin menjadikan kulit lebih anjal.
Namun buktinya masih lemah. Kolagen kerap dipromosikan secara besar-besaran sebagai penawar ajaib untuk pelbagai masalah, daripada kedutan hingga masalah tidur.
Laman web, Havard Health Publishing, yang merupakan divisyen maklumat kesihatan pengguna bagi Sekolah Perubatan Harvard, menerusi penulisan tentang kolagen menjelaskan asid amino penting untuk kesihatan kulit dan mempengaruhi kulit agar awet muda.
Walau bagaimanapun, apabila anda makan atau minum protein seperti kolagen, enzim dalam perut dan usus kecil akan memecahkannya menjadi serpihan kecil yang terdiri daripada dua atau tiga asid amino setiap satu.
Tubuh kemudian boleh menggunakan asid amino itu untuk menghasilkan kolagen atau untuk tujuan lain.
Dengan kata lain, suplemen kolagen membekalkan badan dengan blok binaan untuk menghasilkan kolagen.
Namun, ia tidak bermakna badan akan menghasilkan lebih banyak kolagen secara automatik.
Meskipun terdapat beberapa kajian suplemen kolagen telah meningkatkan mutu kulit, kebanyakannya adalah kajian berskala kecil atau dijalankan di dalam makmal.
Apa yang mungkin tampak berfungsi di dalam makmal tidak semestinya memberikan kesan serupa pada kulit.
Satu lagi masalah dengan kajian itu ialah mereka kerap menggunakan gabungan bahan.
Ini bermakna anda tidak boleh mengatakan dengan pasti bahawa kolagen yang memberi kesan.
Keadaan menjadi lebih rumit kerana terdapat 28 jenis kolagen berbeza, dan tidak semuanya membantu kulit anda!
Adalah penting untuk mengetahui bahawa banyak kajian klinikal mengenai kolagen dilakukan oleh syarikat yang menjual suplemen kolagen, maka mungkin terdapat pandangan yang cenderung berat sebelah.
Penyelidik Klinikal Reumatologi di University of Sydney, Profesor David Hunter, menekankan bahawa sukar untuk mencari sebarang kajian yang benar-benar bebas daripada pengaruh industri.
Pempengaruh di wadah media sosial kadangkala mempromosikan kajian yang kurang bermutu dan mungkin menggalakkan dos suplemen yang lebih tinggi daripada yang disyorkan oleh pihak berkuasa kesihatan.
Namun begitu, tinjauan sistematik dan analisis meta pada 2023 mendapati kolagen yang diambil melalui mulut mempunyai kesan positif terhadap penghidratan dan keanjalan kulit.
Tetapi kebanyakan tinjauan adalah kecil dan tidak mengambil kira gaya hidup.
Meskipun suplemen kolagen kelihatan menjanjikan dan berpotensi berkesan, lebih banyak bukti kukuh diperlukan.
Pakar Diet berdaftar di Georgia, Amerika Syarikat, Cik Andrea Soares, menekankan bahawa kolagen hanya terdapat dalam tisu penghubung haiwan.
Produk kolagen datang daripada pelbagai haiwan seperti lembu, ayam, dan ikan.
Gelatin, yang digunakan untuk membuat manisan dan kapsul farmaseutikal, adalah daripada kolagen.
“Sesetengah suplemen berasaskan tumbuhan mendakwa sebagai ‘kolagen vegan’, tetapi apa yang sebenarnya terkandung adalah bahan pendorong kolagen seperti vitamin C, asid amino, dan mineral yang membantu tubuh menghasilkan kolagennya sendiri,” kata Cik Soares.
Beliau menasihati golongan vegan agar membelanjakan wang pada diet seimbang dan bukan suplemen ‘kolagen’ berasaskan tumbuhan yang tidak mengandungi kolagen sebenar.
Apakah yang disifatkan sebagai kunci rahsia awet muda?
Carilah produk sapu seperti krim yang mengandungi vitamin A dengan bahan seperti retinol dan tretinoin.
Ia telah dikaji secara meluas dan terbukti dapat meningkatkan tahap kolagen dalam kulit.
Perlu diingat bahawa tretinoin adalah retinoid paling berkesan.
Namun, ia hanya boleh diperolehi dalam bentuk preskripsi.
Serum Vitamin C juga sangat baik untuk meningkatkan kolagen.
Penghidratan kulit juga merupakan punca umum kulit kelihatan letih, dan ini mudah diatasi dengan serum dan pelembap.
Carilah bahan humektan iaitu agen atau bahan yang mengekalkan kelembapan.
Ia termasuk gliserin dan asid hialuronik – untuk memadatkan kulit dan mengurangkan kedutan.
Paling penting, penggunaan tabir suria dengan Faktor Pelindung Matahari (SPF) UVA yang tinggi dapat membantu mencegah radikal bebas daripada memecahkan kolagen.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg