Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kumpulan pelajar bukan Melayu hasilkan kandungan buku Melayu berbentuk transmedia

Jul 8, 2024 | 8:07 PM
Anggota kumpulan yang bertungkus lumus menghasilkan produk transmedia bagi buku Cikgu Abdolah Lamat (kiri) bersama penerbit buku, Cik Norlin Samat (kanan).
Anggota kumpulan yang bertungkus lumus menghasilkan produk transmedia bagi buku Cikgu Abdolah Lamat (kiri) bersama penerbit buku, Cik Norlin Samat (kanan). - Foto POLITEKNIK REPUBLIC

Menghasilkan kandungan transmedia bagi buku Bahasa Melayu merupakan satu kejutan budaya, lebih-lebih lagi bagi lima pelajar bukan berbangsa Melayu dari Politeknik Republic (RP).

Namun, itu tidak menghambat mereka daripada bekerjasama rapat dengan penulis buku Nyanyi dan Baca Bersama Datuk dan Nenek, guru pesara Encik Abdolah Lamat, dan penerbit bukunya, Cik Norlin Samat, dari syarikat Poppet’s World.

Malah, projek itu pendorong bagi memastikan mereka memahami bahasa dan teks yang digunakan dalam buku tersebut agar mudah difahami pembaca muda.

Demikian yang dilalui Encik Hmue Khant Thu, 21 tahun; Encik Wai Yan Soe Moe, 21 tahun; Cik Charmaine Ong, 21 tahun; Cik Amelia Seah, 21 tahun; dan Encik Ranen Mok, 20 tahun.

Encik Hmue dan Encik Wai Yan bangsa Myanmar sementara Cik Ong, Cik Seah dan Encik Mok berbangsa Cina, kesemuanya langsung tidak berbahasa Melayu.

Ketika dihubungi baru-baru ini, Encik Wai Yan menjelaskan mereka terkejut diberi tugasan tersebut sebagai projek tahun akhir mereka bagi Diploma Reka Bentuk dan Penerbitan Media.

“Dalam kelas, semua pelajar lain melihat ke arah kami kerana kami langsung tidak mempunyai seorang pun anggota berbangsa Melayu atau yang tahu berbahasa Melayu. Dari hari pertama itu, kami sedar projek ini akan mencabar kami.

“Dalam masa dua minggu pertama saja, kami ketinggalan kerana teks buku harus diterjemah. Ini memakan masa kerana teksnya banyak, dan ada lagu juga yang perlu diterjemah,” tambahnya.

Menurut Encik Hmue pula, aspek teknikal projek itu tidak menjadi masalah tetapi komunikasi dan pemahaman mereka dari segi nuansa budaya dan bahasa Melayu.

“Kami ingin faham nilai-nilai yang disampaikan dan kerap dapatkan bantuan Cik Norlin. Kami tidak mahu tersilap kerana buku ini disasarkan kepada kanak-kanak menggunakan bahasa atau frasa yang khusus dalam Bahasa Melayu,” kata Encik Hmue.

Projek transmedia dwibahasa Nyanyi dan Baca Bersama Datuk dan Nenek menyasarkan kanak-kanak prasekolah, ibu bapa dan pendidik dan bertujuan menggalakkan kanak-kanak mempelajari Bahasa Melayu dengan cara yang menyeronokkan dan interaktif.

Projek itu menghasilkan animasi, buku interaktif, rakaman bercerita secara langsung, siaran media sosial dan kolateral seperti penanda buku, kemeja-T dan beg kecil, berdasarkan kandungan buku tersebut.

“Dalam kami menyiapkan projek ini, kami jalankan kajian dari segi perkataan, pakaian dan unsur-unsur gaya hidup masyarakat Melayu agar kami dapat gambarkan dengan tepat bagi animasi kami dan menyampaikannya dengan jelas,” kata Encik Wai Yan.

Selaku penerbit buku, Cik Norlin berkata beliau sangka kumpulan itu setakat menghasilkan buku dalam bentuk digital, mungkin video dan audio.

“Saya tidak sangka apa yang mereka sarankan begitu menyeluruh. Oleh kerana mereka tidak berbahasa Melayu, pendekatan mereka ada kelainan kerana mereka sendiri dalam proses mempelajari sesuatu yang baru. Ini yang membuatkan saranan mereka lebih menarik dan segar,” ujarnya.

Bagi Encik Abdolah, 77 tahun, beliau berbesar hati melihat karyanya dihidupkan melalui animasi dan kolateral.

“Saya harap ini akan mendorong lebih ramai mendekati Bahasa Melayu menggunakan konsep dwibahasa dengan lebih santai agar bahasa itu dapat dilestarikan dalam generasi muda,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg