Sedang ramai sibuk bercuti ke luar negara pada Disember bersama keluarga dan sahabat handai sebelum Tahun Baru 2025 diraikan, beberapa peneraju kumpulan seni di Singapura pula gigih membuat persiapan bagi program seni yang bakal diadakan seawal Januari.
Antaranya ialah kumpulan seni Sriwana yang sedang membuat persiapan menyambut ulang tahun ke-70 dengan pementasan gah berjudul Sriwana 70: Teras, Paksi, Titik pada 31 Januari dan 1 Februari.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH) pada 17 Disember, Presiden Sriwana, Cik Fauziah Hanum Yusof, berkata persembahan kali ini merupakan satu renungan dan penerokaan terhadap perkembangan tarian Melayu dalam sejarah 70 tahun kumpulan ini.
“Penerbitan ini menggabungkan imbasan dan nostalgia yang mendalam dengan gerakan progresif yang menonjolkan pertumbuhan artistik, keupayaan adaptasi dan semangat daya tahan Sriwana selama ini,” jelasnya.
Pementasan di Teater Singtel Waterfront di Esplanade ini akan mengolah semula karya-karya ikonik Sriwana bersama hasil koreografi baru yang inovatif, memaparkan kesinambungan antara tradisi dan kemodenan yang tidak mengabaikan sejarah di samping melihat pada masa depan dunia tari kumpulan ini.
Menurut penolong penerbit dan penolong pengarah artistik Sriwana, Encik Fauzi Anwar, persembahan itu akan menampilkan penggiat kreatif Sriwana bersama rakan-rakan serantau mereka dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan penggiat seni tersohor yang pernah menganggotai Pak Ngah Production dan Yayasan Warisan Johor, Mohd Zulfaqar Awaluddin.
Perkumpulan Seni pula sedang mempersiapkan diri mereka untuk penerbitan terbaru yang akan menonjolkan karya-karya dari seniman mapan dan juga generasi penerus di Blackbox, Pusat Seni Goodman, pada 17 dan 18 Januari.
Penerbit Malam Jaluran Seni – Rintik: Cinta dan Kehidupan, Dr Noramin Farid, berkata ia merupakan satu acara seni yang menggabungkan tarian, teater dan puisi.
Persembahan itu melibatkan jurutari veteran, Kamel Ridzuan, sebagai pengarah artistik dan Yusoff Maruwi sebagai pengarah bagi pementasan drama. Empat lagi jurutari muda pula akan menerima bimbingan daripada Dr Noramin untuk persembahan tarian.
Latihan sudah bermula sejak Oktober 2024.
“Cabaran yang diberi kepada jurutari muda ini adalah mencipta karya tarian Melayu berdasarkan tema utama, cinta dan kehidupan.
“Perkumpulan Seni akan mempersembahkan hasil karya kreatif pelbagai generasi. Sekitar 30 peserta berusia antara 20 hingga 70 tahun akan terlibat dalam penerbitan ini,” katanya lagi.
Yusoff pula menambah latihan sudah pun dikendalikan di Kelab Masyarakat Cairnhill setiap petang Jumaat.
“Sudah terbiasa seperti yang kita ketahui, pementasan Jaluran Seni selalunya lebih ke arah tarian, tetapi kali ini aspek drama diselitkan sebagai sampingan tapi alur jalan cerita ada kesinambungan dengan tarian.
“Bagi skripnya pula, pastinya ada yang lucu. Mungkin bagi saya, itulah keistimewaan wujudnya aspek sindir-sindir sayang,” katanya.
Syarikat teater Wild Rice Production yang akan menyambut ulang tahun ke-25 pula akan menyajikan persembahan menarik bertajuk Tunggu Sekejap: The P. Ramlee Suite, antara 15 hingga 31 Mei di dewan teater Wild Rice@Funan.
Berikutan kejayaan pementasan Don’t Call Him Mr Mari Kita, Julian Wong, penerima Anugerah Seniman Muda, Majlis Seni Kebangsaan (NAC) 2024, mengetengahkan mahakarya P. Ramlee yang akan digubah semula melodinya seperti Azizah, Geteran Jiwa dan Tunggu Sekejap.
Teater Ekamatra pula akan mementaskan naskhah tulisan Johnny Jon Jon, National Memory Project, yang meninjau masa depan di mana kecerdasan buatan (AI) memainkan peranan penting dalam membentuk ingatan manusia, sekitar Jun pada tarikh dan lokasi yang akan diputuskan.
Pada separuh pertama 2025, Teater Ekamatra juga akan memberi perhatian pada program pembangunan untuk pelakon dan pengurus drama pentas.
Aktivis teater, Nadiputra, pula akan mengarah persembahan bangsawan Sri Wikrama Wira di Teater Studio Esplanade pada 21 hingga 23 Februari sebagai sebahagian acara Festival Bangsawan. Ia merupakan sajian Opera Academy.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg