Setiap Sabtu, tepat 9 pagi, saya mendapat pemberitahuan untuk membuka aplikasi LittleLives dan melihat apakah yang anak saya lakukan di prasekolah sepanjang minggu lalu.

Ada gambar dia sedang menari dengan kipas lipat, ada gambar dia bermain pasir, dan ada gambar dia membaling bola.

Saya suka melihat gambar-gambar itu.

Lega rasa hati melihat anak saya mengambil bahagian dalam kegiatan yang dijalankan.

Melalui gambar-gambar itu juga sekurang-kurangnya saya tahu apakah perkara baharu yang dipelajari anak lelaki saya yang bakal berusia empat tahun itu.

Kalau nak minta dia kongsi, memang bagai menanti buah tak jatuh.

Mengambil gambar sebagai dokumentasi pembelajaran murid diamalkan di kebanyakan prasekolah.

Ada prasekolah yang berkongsi gambar-gambar itu secara mingguan, dan ada yang secara bulanan.

Walaupun saya amat menghargai gambar-gambar itu, saya berharap ia boleh dikurangkan dengan ketara kepada mungkin satu gambar berkumpulan untuk satu kegiatan, sekadar untuk memberi kemas kini kepada ibu bapa tentang apakah yang dilakukan kanak-kanak pada hari itu.

Saya tidak perlukan lapan gambar diambil daripada pelbagai sudut menunjukkan anak saya berlari di padang.

Berdasarkan apa yang saya perhatikan untuk kelas anak saya, guru mengambil gambar setiap murid, secara individu dan berkumpulan, untuk hampir setiap kegiatan utama yang dijalankan.

Ada gambar yang menunjukkan murid tersenyum menghadap kamera, dan ada gambar memaparkan murid melakukan kegiatan atau tugasan.

Guru kemudian ‘tag’ nama kanak-kanak sebelum memuat naik gambar-gambar itu ke aplikasi untuk dikongsi dengan ibu bapa.

Kelas anak saya mempunyai sekitar 15 murid.

Saya tidak tahu berapa banyak masa yang perlu diluangkan untuk melakukan tugas itu.

Guru mungkin sudah terbiasa dengannya, namun saya rasa mungkin masa melakukan tugas itu boleh dimanfaatkan dengan lebih baik?

Selain dapat meringankan sedikit tugas guru, saya juga rasa adalah lebih baik jika kanak-kanak ‘dijauhkan’ daripada peranti skrin seperti telefon bijak seberapa mungkin ketika waktu belajar.

Saya juga berpendapat, jika guru tidak perlu mengambil terlalu banyak gambar, mereka dapat memberi tumpuan penuh kepada murid-murid ketika mereka melakukan tugasan seperti menghitung atau menulis.

Ini membolehkan perbualan spontan bersama murid diteruskan dan tidak terganggu disebabkan perlu mengeluarkan telefon bijak untuk memetik gambar.

Semasa menulis artikel panduan membeli hadiah untuk Hari Guru pada Ogos, seorang guru prasekolah memberitahu saya ibu bapa mungkin boleh membelikan tali untuk menggantung telefon bijak di badan atau handphone sling strap.

“Kami banyak mengambil gambar murid-murid semasa kelas untuk dokumentasi.

“Dengan adanya tali ini, mudah untuk kami membawa telefon kami ke mana-mana,” kata guru itu.

Saya berasa kagum dengan kegigihan guru untuk mendokumentasikan pembelajaran murid-murid di samping pelbagai lagi tanggungjawab yang perlu mereka galas.

Namun, saya pun terharu dengan kata-kata guru itu.

Saya berharap pada masa akan datang, terdapat teknologi yang dapat membantu guru prasekolah meringankan tugas dokumentasi mereka.

“

“Walaupun saya amat menghargai gambar-gambar itu, saya berharap ia boleh dikurangkan dengan ketara kepada mungkin satu gambar berkumpulan untuk satu kegiatan, sekadar untuk memberi kemas kini kepada ibu bapa tentang apakah yang dilakukan kanak-kanak pada hari itu. Saya tidak perlukan lapan gambar diambil daripada pelbagai sudut menunjukkan anak saya berlari di padang.”
Penulis.