Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

SPEKTRA SENI

Lagu patriotik berkesan cetus rencam rasa

Usaha semai cinta pada Singapura harus terus dipupuk dalam irama
Aug 14, 2023 | 05:30 AM



Sewaktu saya duduk di kafe Food For Thought di Muzium Negara sambil menghirup jus beri selesai satu wawancara dengan pelukis dan aktivis teater yang terlibat dalam Pesta Malam Singapura, berkumandang pula lagu patriotik sempena Hari Kebangsaan dendangan Kit Chan, Home.


Pejam celik, usia lagu yang selalu menimbulkan sebak di dada khususnya apabila berjauhan dari Singapura itu sudah berusia 25 tahun. Tahun ini, lagu ciptaan Dick Lee itu diberi nafas baru oleh Chan sempena ulang tahun Jubli Perak lagu tersebut.

Ada keistimewaan bagi lagu ini yang tidak dapat saya nafikan. Berbanding lagu lain yang dicipta khusus sempena Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP), Home bagi saya memberi kesan berbilang rasa -– gembira, bangga dan sedih sekali gus apabila mengenang perjalanan Singapura selama 58 tahun kini. Ia menggambarkan tanah tumpahnya darah kita sebagai warga Singapura.


Ke mana pun kita pergi, Singapura tetap dekat di hati. Sejauh mana kita merantau, ia bak peribahasa ‘Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri... Lebih baik di negeri sendiri’, yang bermaksud walau bagaimanapun kelebihan di negara orang, kelebihan negeri sendiri lebih baik lagi.

Ogos pula bulan yang cukup istimewa kerana bukan sahaja Singapura tetapi dua negara jiran kita, Malaysia dan Indonesia meraikan Hari Kebangsaan. Pastinya banyak lagu patriotik dan perjuangan negara yang akan dimainkan di kafe atau tempat awam yang dikunjungi di tiga negara ini.

Walaupun bukan lagu pop yang tersenarai dalam carta, saya pastinya akan tertarik mendengar lagu dendang rakyat yang biasa dinyanyikan di dewan sekolah lebih empat dekad lalu. Saya amati liriknya secara terperinci.

Antaranya, termasuk Singapura Bandaraya yang dicipta seawal 1954, Di Tanjong Katong (begitu popular sampaikan diva Indonesia, Krisdayanti pun menyanyikannya dalam konsert di Singapura), Semoga Bahagia (lagu Hari Kanak-Kanak), Orang Singapura, Dayung Sampan, Munnaeru Vaalibaa dan Kopi-O (daripada runut bunyi siri drama Mandarin, The Coffee Shop).


Siapa boleh lupa lagu NDP tiga serangkai iaitu Stand Up For Singapore, Count On Me Singapore dan We Are Singapore? Baru-baru ini, saya dan komposer serta guru vokal Ann Hussein yang terlibat dalam konsert Hari Kebangsaan anjuran bersama Gardens by the Bay dan Mediacorp berbual panjang mengenai keistimewaan lagu-lagu ini yang terpahat dalam ingatan kerana kerap dinyanyikan sewaktu zaman persekolahan pada tahun 1980-an dan 1990-an.


Kalau ditanya mengenai lagu-lagu baru NDP, meskipun baru, mereka yang seangkatan dengan saya tidak begitu mengingatinya. Tidak pasti apakah kerana jurang generasi atau kerana liriknya tidak begitu ‘klik’ di jiwa atau kurang mencetus patriotisme?

Saya masih ingat lagi pada 1988 (ketika saya di menengah tiga), satu program dendang masyarakat Sing Singapore bagi serata negara diperkenalkan bagi membangun kaitan emosi dan ukhuwah negara. Ada usaha untuk menjana rasa bangga dalam diri penduduk untuk bergelar warga Singapura. Peranan yang boleh dimainkan dalam pertahanan dan penakatan negara diuar-uarkan dalam pelbagai aktiviti masyarakat.


Sepertimana lagu Home, Count On Me Singapore, ciptaan pemuzik Canada, Hugh Harrison, dengan susunan penggiat jaz Jeremy Monteiro, turut diberi nafas baru pada 2020. Penyanyi asal lagu ini, Clement Chow, menyanyikannya bersama penyanyi Singapura lain bagi memperingati situasi pandemik Covid-19. Ia diberi judul baru Stay at Home untuk menggalak warga Singapura duduk di rumah sahaja demi keselamatan kesihatan.


Sepertimana lagu komersial yang terdedah dengan situasi mudah dijiplak, anehnya Count On Me Singapore, turut menjadi mangsa. Seorang penggubah lagu India, Joseph Mendoza, telah merakam dan menjual hakcipta lagu berjudul We Can Achieve ini kepada syarikat rakaman Pauline India. Lirik dan melodi lagu ini sama seperti lagu kebanggaan Singapura itu.


Mendoza didakwa menjiplak lagu itu tetapi beliau mendakwa lagu tersebut dicipta pada 1983, tiga tahun sebelum Count On Me Singapore dihasilkan. Katanya lagi, lagu itu pernah dipersembahkan di rumah anak yatim di Mumbai. Menurutnya, lagu rakaman asal pula musnah dalam banjir Mumbai pada 2005.


Apa yang boleh saya katakan, lagu patriotik bukan setakat dendangan paksaan sewaktu NDP atau untuk kita paksa semangat Singapura tertanam dalam hati. Ia mempunyai nilai tersendiri dan lebih penting lagi menjadi pembakar semangat untuk meneruskan perjuangan datuk-moyang kita dalam membangun negara pada fasa-fasa selanjutnya.

Lagu patriotik, bagaimanapun, berbeza jika diserahkan kepada selebriti. Lihat sahaja bagaimana lagu kebangsaan Amerika, The Star Spangled Banner, berubah menjadi lagu kegemaran ramai apabila ia dirakam bintang bersuara bak buluh perindu, Whitney Houston untuk mengumpul dana bagi askar dan keluarga yang terlibat dalam Perang Teluk Parsi.


Houston menyanyi lagu ciptaan Francis Scott Key dan John Stafford Smith pada acara perlawanan Superbowl 1991 bahkan mendapat pujian luar biasa hingga hari ini.

Tidak perlu pergi jauh. Pada 2019, Papa Rok, Datuk Ramli Sarip, menyentuh jiwa ramai apabila mendendangkan lagu kebangsaan Singapura ciptaan Allahyarham Zubir Said, Majulah Singapura, dengan versi yang disifatkan Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, sebagai menyentuh sanubari.


Tidak mengapa jika warganet James Butch Peter menyamakan dendangan Ramli seperti pengalaman mendengar nyanyian di upacara pengkebumian. Menurutnya, ia sesuatu yang menyedihkan, mencetus murung dan rasa sunyi. Ramai warga Singapura termasuk kanak-kanak sudah tahu siapa vokalis Sweet Charity ini sehingga ingin bergambar dengannya. Impak persembahan itu memang cukup terasa.

Moga usaha memasyarakatkan lagi lagu patriotik akan terus dirancakkan. Adakan peraduan mencipta lagu patriotik atau dendang lagu patriotik untuk Generasi Z kupas erti patriotisme.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >