Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lagu Raya Kassim Masdor dijulang kerana royalti tertinggi

Oct 1, 2024 | 5:30 AM
Lagu ciptaan Kassim Masdor, ‘Bila Takbir Bergema’ yang dinyanyikan Rafeah Buang dipilih sebagai ‘Lagu Pop Melayu Tempatan Terbilang’ kerana meraih royalti tertinggi bagi 2023.
Lagu ciptaan Kassim Masdor, ‘Bila Takbir Bergema’ yang dinyanyikan Rafeah Buang dipilih sebagai ‘Lagu Pop Melayu Tempatan Terbilang’ kerana meraih royalti tertinggi bagi 2023. - Foto fail

Keistimewaan sebuah mahakarya yang dihasilkan khususnya buat musim Lebaran dapat dirasakan apabila lagu Raya, Bila Takbir Bergema, ciptaan Allahyarham Kassim Masdor, dipilih sebagai Lagu Pop Melayu Tempatan Terbilang.

Anugerah tersebut yang disampaikan pada penyampaian Anugerah Persatuan Penggubah dan Penulis Lirik Singapura (Compass) 2024 di Sands Grand Ballroom, Marina Bay Sands (MBS), pada 29 September, mengiktiraf lagu dengan jumlah royalti tertinggi pada 2023 dalam kalangan lagu pop Melayu yang pernah dihasilkan anak watan Singapura.

Royalti adalah jumlah wang yang diraih penggubah lagu dan penulis lirik menerusi kelulusan permit bagi acara sekali-sekala seperti konsert, pementasan teater, acara jerayawara jelajah kota, persembahan atau acara sukan.

Ia juga diraih menerusi pelesenan tahunan stesen radio dan di lokasi tetap seperti disko, pusat karaoke, restoran, kafe dan pusat beli-belah.

Compass, bagaimanapun, tidak mendedahkan jumlah royalti yang dikumpulkan menerusi lagu itu.

Bila Takbir Bergema yang dinyanyikan Toh Puan Setia Datin Rafeah Buang merupakan lagu ‘wajib’ yang akan diputarkan di radio setiap musim Lebaran.

Usia lagu itu yang dicipta Kassim genap 52 tahun pada 2024.

Asalnya, ia dimuatkan dalam album Rafeah, Lagu dan Perasaan.

Liriknya ditulis Rafeah sendiri dan mengisahkan kemeriahan menyambut Hari Raya apabila beduk di kampung sudah dipalu.

Lirik lagu itu menceritakan seorang kakak yang meminta adiknya agar segera menghiaskan rumah agar serba baru untuk menerima kunjungan tetamu.

Lagu itu telah didigitalkan dan dimuatkan dalam album 20 Lagu-Lagu Hari Raya Aidilfitri.

Kalau ditinjau jumlah penstriman di aplikasi Spotify, Bila Takbir Bergema, sudah distrim sebanyak 4.1 juta kali dan merupakan lagu Rafeah yang paling banyak dimainkan di Spotify oleh pengguna merata dunia.

Lagu ini merupakan antara ciptaan terbaik Allahyarham Kassim, yang meninggal dunia pada 21 Januari 2014 kerana penyakit semput.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg