Legenda rok tanah air, Datuk Ramli Sarip, berpegang teguh pada peribahasa ‘baik membawa resmi padi, jangan membawa resmi lalang’ dalam memperjuangkan seni muzik di Singapura agar sentiasa malar segar dan relevan bagi pelbagai generasi pencinta muzik.
Semakin berilmu dan berpengalaman, beliau masih tekankan kepentingan merendah diri dan tidak sombong dengan pencapaiannya.
Pada usia yang mencecah 72 tahun, ‘Papa Rok’ – yang genap enam dekad berkarya – telah disampaikan dengan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di majlis Persatuan Penggubah Lagu dan Penulis Lirik Singapura (Compass) di Sands Grand Ballroom, Marina Bay Sands, pada 29 September.
“Selama saya berkarya, saya tidak mengharapkan sebarang anugerah. Saya percaya bahawa setiap rezeki kita sudah ditentukan.
“Tetapi saya anggap anugerah ini sebagai satu pengiktirafan bagi perjalanan kerja seni saya sejak saya masih dalam band Sweet Charity lagi,” jelas beliau dalam wawancara bersama Berita Harian (BH) pada 30 September.
Menurut Pengarah Compass, penyanyi dan pencipta lagu, Imran Ajmain, penganugerahan yang tiada catatan perangkaan atau pencapaian royalti seperti Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat ini berdasarkan pencalonan rakan-rakan seperjuangan dalam industri seperti penulis dan penggubah lagu sebaya dan dimuktamadkan oleh lembaga pengarah Compass.
“Sepanjang Datuk Ramli berkarya dalam industri muzik, tidak ada tempoh waktu beliau berehat.
“Ketika saya menonton persembahannya secara langsung pada majlis penyampaian anugerah, saya rasa beliau layak menerima anugerah ini.
“Meskipun sudah berumur, tenaga beliau dianggap luar biasa berbanding anak muda yang membuat persembahan,” kongsi Imran.
“Saya rasa gelaran ‘Papa Rok’ sahaja tidak mencukupi kerana beliau banyak mempengaruhi pemuzik, baik dalam genre rok mahupun pop untuk sentiasa berkarya dan mencuba perkara baru sebagaimana yang dilakukannya sepanjang beliau berkarya,” tambahnya lagi.
Setelah kumpulan Sweet Charity dibubarkan, Datuk Ramli meneruskan kerjaya sebagai pemuzik solo dan meneroka genre seperti folk, blues serta muzik tradisional Melayu.
Karya muzik yang diterbitkan banyak menyentuh tema perpaduan, kedamaian dan renungan peribadi seperti lagu Perjalanan Hidup dan Bukan Kerana Nama.
Bagi Ramli, karya muzik berlandaskan kemanusiaan dan kemasyarakatan ini dapat dijadikan bahan kajian bagi menelaah perjalanan dan pengamatan tentang dunia dari zaman ke zaman, membuatkan sebuah karya seni itu langka dalam masyarakat.
Menyentuh pesanannya kepada pemuzik muda, Ramli berkata:
“Sebagai seorang anak seni, kita perlu ada pegangan yang kuat. Untuk bertahan dalam industri muzik ini adalah sesuatu yang tidak mudah dan tidak akan sentiasa berbunga, tetapi dengan pegangan yang kukuh, kita tidak akan mudah terbuai dengan anasir yang tidak sihat.
“Bergantung pada media sosial sahaja tidak cukup. Seorang pengkarya atau anak seni itu harus berani menampilkan diri dengan membuat persembahan di depan khalayak ramai.”
Menurutnya, pemuzik harus bijak dalam mencerminkan kedewasaan dalam persembahan agar dapat menyampaikan mesej dan hasrat secara telus kepada penonton dan pendengar, menyuntik gagasan serta ilham bak panah beracun.
“Dengan usaha yang berterusan, sikap disiplin dan kerja keras, insya-Allah, kejayaan akan berpihak pada sesiapa yang berpegang pada nilai ini,” nasihatnya.
Ditanya mengenai projek akan datang, Ramli menjelaskan sekitar empat hingga lima konsert sudah dirancang di Singapura dan Malaysia di samping dirinya mempertimbangkan untuk mengeluarkan album baru.
“Saya juga masih bersemangat untuk mengeluarkan album baru, walaupun sedang dalam pertimbangan. Buat masa ini, saya seronok membuat persembahan yang sederhana, tapi banyak kepuasan yang dapat diraih sambil mengongsi karya muzik kepada masyarakat,” jelas beliau.
Pada 20 Oktober ini, Datuk Ramli Sarip akan membuat persembahan bagi acara pengumpulan dana di Masjid Muhajirin.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg