Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

FOKUS: SUASANA LEBARAN

Lagu Raya klasik gamit memori, kaya nilai tradisi

Namun, penggubah dan penyanyi kekal semangat hasilkan lagu Raya baru
May 08, 2022 | 05:30 AM



SETIAP kali penerbit dan penggubah lagu setempat Ghazali Sawi (Bobb) mendengar lagu Hari Raya dendangan Datuk Aishah, Pulanglah, hatinya sayu dek irama dan lirik yang menusuk kalbu.



Ghazali, 39 tahun, yang mengendalikan studio Guzzbuzz Productions mengakui lagu Hari Raya nostalgia seperti itu dan banyak lagi yang dinyanyikan Datuk Sudirman, Datuk Sharifah Aini, Datuk Ahmad Jais, Sanisah Huri dan Datuk Seri Siti Nurhaliza memang sukar dicari ganti.



Sebagaimana katanya:



"Lagu Hari Raya lama memang memiliki unsur melodi tradisional dan lirik menyentuh jiwa yang membuatkan kita sebagai pendengar menghimbau kenangan indah berhari Raya.



"Kadangkala, sesetengah lagu Lebaran mempunyai unsur kesedihan seperti terkenangkan keluarga yang jauh atau ibu bapa ataupun orang tersayang yang sudah tiada."



Sememangnya tidak sah kalau tidak mendengar lagu Hari Raya tahun 1960-an seperti Dendang Perantau (P. Ramlee) dan Musafir Di Aidilfitri (S. Jibeng) atau lagu Raya era 1970-an, Seloka Hari Raya (Hail Amir dan Uji Rashid), dan Suasana Hari Raya (Sharifah Aini).



Bagi saya, bagaikan beraya tanpa ketupat dan rendang jika lagu-lagu ini dan lagu era 1980-an seperti Sepasang Kurung Biru (Khairil Johari Johar) dan Satu Hari Di Hari Raya (M. Nasir) tidak berkumandang.



Walau saban tahun ada lagu baru Lebaran yang dihasilkan, hati saya tetap terpaut pada yang lama kerana sudah terbiasa membesar dengannya di samping formula khas yang ada pada lagu-lagu ini yang membuatkan anda terasa penuh teruja: "Eh... eh... memang dah nak Raya!"



LAGU RAYA DULU TERKAIT PADA NILAI MELAYU



Penganjur acara yang sering menampilkan artis veteran, Siti Aminah Ismail, 38 tahun, daripada Wadah Seni Entertainment, menjelaskan ada sesuatu keajaiban pada lagu lama, tidak kira untuk musim Lebaran ataupun bukan.



"Lirik dan seni kata lagu dahulu lebih bermakna dan ada keunikan tersendiri. Ia penuh dengan tradisi Melayu dan kalau ada lagu berentak moden sekali pun, ia sedap didengar kerana disisipkan dengan pantun dan peribahasa.



"Kehalusan bahasanya begitu terpelihara, tidak seperti lagu zaman sekarang yang kadangkala diulang-ulang liriknya tetapi tiada makna ataupun 'mood' Lebaran langsung.



"Saya senangi lagu Hari Raya Siti Nurhaliza, Sharifah Aini, Ahmad Jais, Al Mizan, Hail Amir dan Uji Rashid kerana ia kaya dengan nilai seperti mengingati orang tua, menjaga tradisi atau bermaaf-maafan.



"Pengertian beraya itu sekurang-kurangnya ada," ujarnya.



Sememangnya di sebalik kesederhanaan tema lagu Hari Raya lama seperti menjamu tetamu atau mengajak adik kecil makan ketupat dan kuih-muih seperti dalam lagu Junainah M. Amin, Suasana Riang Di Hari Raya, tersirat pesanan tentang perilaku yang harus diperhatikan pada musim Lebaran.



Misalnya, dalam lirik lagu itu yang berbunyi: "Panggillah kawanmu duduk keliling meja, makanlah ketupat, kuih-muih yang ada, jangan rebut-rebut, makanlah dengan tertib, itulah pesan ibu...



"Kalau sudah makan, jalan ramai-ramai, bersama kawanmu semua, bersalam-salaman, bermaaf-maafan di hari bahagia ini..."



Menerusi lagu ini, si kecil diajar tertib ketika menghadap rezeki serta tampil bermaaf-maafan dengan teman-teman jika terlanjur perbuatan.



YANG LAMA TETAP MALAR SEGAR



Soalan mengapa lagu Hari Raya lama lebih menyentuh perasaan penonton pernah saya ajukan dalam satu wawancara bersama biduanita Sanisah Huri.



Katanya, yang menyanyikan lagu Lebaran, Aidilfitri (distrim 2.4 juta kali) dan Bersabarlah Sayang (distrim 1.5 juta kali):



"Saya rasa seni katanya menyentuh perasaan dan tersusun indah, sama macam lagu-lagu lama lain yang meninggalkan nostalgia. Kita rasa semangat nak beraya apabila mendengar."



Selain dua lagu ini yang amat dikenali dan dikategorikan dalam lagu wajib beraya, Sanisah juga pernah menghasilkan lagu Hari Raya Hari Mulia berdekad selepas dua lagu awal itu dijana.



Namun, sambutannya tidak seperti dua lagu lama ini.



Penggubah kelahiran Singapura, S. Atan, juga pernah mencipta banyak lagu Hari Raya dalam kerjaya seninya.



Antaranya Menjelang Hari Raya (DJ Dave), Dari Jauh Ku Pohon Maaf (Allahyarham Datuk Sudirman Arshad), Cahaya Aidilfitri (Black Dog Bone), Salam Aidilfitri (Datuk Jamal Abdillah), Hari Mulia (Datuk Sheila Majid) dan Indah Beraya Di Desa (Azlina Aziz).



Kalau dilihat dari segi jumlah penstriman lagu ini di Spotify, jumlahnya mencecah berjuta berbanding lagu Raya ciptaan terkininya seperti Rindu Di Anjung Lebaran (Haiza), Seru Hari Lebaran (duet Syamel dan Ernie Zakri), Rindu Lebaran (E1 Band) dan yang terbaru, Nikmat Di Hari Raya (duet Kelly Azman dan Ismaliza Ismail).



Apakah mungkin sebabnya sedangkan ia turut menerima sentuhan penggubah yang sama?



Bagi saya, mungkin zaman sudah jauh berubah. Zaman kanak-kanak atau remaja 'melekat' dalam minda. Disebabkan itu, kita akan lebih menghargai dan tercari-cari lagu yang kita dengar atau makanan yang kita makan sewaktu kanak-kanak.



Apabila ditanyakan kepada teman-teman bukan Islam yang menyambut Tahun Baru Cina dan Krismas, mereka juga menyatakan lagu musim perayaan lama lebih memenuhi santapan halwa telinga.



Gong Xi Gong Xi, lagu 'antik' Tahun Baru Cina, yang wujud dalam pelbagai versi tetap lebih dekat di hati mereka yang menyambut Tahun Baru Cina ataupun saya sendiri yang sering mendengar irama ini di dalam teksi atau di pasar raya berbanding lagu lebih baru Gong Xi Fa Cai oleh Higher Brothers yang berentak hip hop.



Sama juga seperti lagu perayaan Krismas, Last Christmas (Wham), All I Want For Christmas Is You (Mariah Carey), We Wish You A Merry Christmas dan Feliz Navidad yang lebih sering didengar ramai di Spotify berbanding lagu Krismas tahun lalu, Small Town Christmas (Rob Thomas) dan On Christmas Day (Billy Idol).



LAGU RAYA BARU MASIH PERLU



Namun, apakah usaha penggubah lagu serantau menjana lagu Hari Raya baru saban tahun merupakan langkah sia-sia sahaja?



Kata Ghazali, yang sudah menggubah lima lagu Hari Raya buat bakat baru dan menerbitkan dua lagu Raya untuk penyanyi tempatan:



"Walau orang mungkin kata, buat apa nak bikin lagu Raya baru apabila ramai orang lebih suka dengar lagu lama, saya tetap berasa saya ada amanah menjana lagu Raya baru buat bakat baru di Singapura.



"Ramai yang ingin rakam sekurang-kurangnya satu lagu musiman yang terisi dengan tema perayaan atau bersandarkan pengalaman peribadi yang mengubah hidup mereka.



"Yang penting ada kesyahduan pada irama dan liriknya," ujarnya.



Penggubah berpengalaman, Sha'aban Yahya, yang baru-baru ini mengeluarkan koleksi lagu Lebaran, Raya #KembaliBersama buat gabungan artis lama dan baru, pula berkata:



"Apabila dunia jauh berubah, kita perlukan lagu Raya yang relevan dengan tema yang tidak pernah diteroka selama ini seperti Hari Raya yang beralih dari musim pandemik hingga endemik atau bagi membetulkan kekeliruan mereka yang menyangka Hari Raya adalah Tahun Baru orang Islam."



Dua tema ini Sha'aban teroka bagi lagu Raya Merubah (Arif Samsudin) dan Hari Raya Bukan Lebaran (Ahmad Stokin).



Jika ditanya penyanyi muda seperti Afrah Athasha (Zalelo) yang mempunyai lagu Raya era baru (tercipta sewaktu pemutus rantaian jangkitan Covid-19), Berteman Di Hari Raya, bersama Izat Ibrahim, beliau akan kata:



"Walaupun mungkin rata-rata orang masih suka lagu Hari Raya lama seperti yang didendangkan papa saya Aman Shah, Kepulangan Yang Dinanti (tentang anak rantau pulang ke pangkuan ibu bapa), saya tetap yakin lagu Raya baru akan menjadi klasik berdekad selepas ini.



"Apabila saya meniti usia 40-an tahun misalnya, lagu saya akan mengingatkan ramai ada detik bersejarah kita tak mampu beraya pada skala besar dan terkurung di rumah tanpa banyak interaksi kerana pandemik," tambahnya.




IRAMA LEBARAN PALING 'HOT'



Mengikut jumlah penstriman digital di gedung Spotify, berikut adalah lagu Hari Raya paling digemari melebihi tiga juta penstriman. Kesemuanya lagu malar segar.



1. Suasana Di Hari Raya



- Dendangan Anuar dan Ellina



- Distrim 5.4 juta kali



2. Seloka Hari Raya



- Dendangan Hail Amir dan Uji Rashid



- Distrim 4.24 juta kali



3. Sesuci Lebaran



- Dendangan Datuk Seri Siti Nurhaliza



- Distrim 3.85 juta kali



4. Selamat Hari Raya



- Dendangan Puan Sri Saloma



- Distrim 3.84 juta kali



5. Satu Hari Di Hari Raya



- Dendangan Datuk M. Nasir



- Distrim 3.76 juta kali



6. Suasana Hari Raya



- Dendangan Datuk Sharifah Aini



- Distrim 3.65 juta kali



7. Balik Kampung



- Dendangan Datuk Sudirman



- Distrim 3.59 juta kali



8. Selamat Berhari Raya



- Dendangan Rahimah Rahim



- Distrim 3.51 juta kali



9. Dari Jauh Kupohon Maaf



- Dendangan Datuk Sudirman



- Distrim 3.44 juta kali



10. Menjelang Hari Raya



- Dendangan Datuk DJ Dave



- Distrim 3.31 juta kali



11. Pulang Di Hari Raya



- Dendangan Noor Kumalasari



- Distrim 3.1 juta kali



12. Selamat Hari Raya



- Dendangan Datuk Ahmad Jais



- Distrim 3.05 juta kali



13. Dendang Perantau



- Dendangan Tan Sri P. Ramlee



- Distrim 3 juta kali




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >