Pakaian pejabat kini menerima nafas baru dan berani, melalui koleksi fesyen terbaru menonjolkan corak, tekstur mewah dan potongan kemas yang menyegarkan penampilan di pejabat.
Zaman pakaian biasa di tempat kerja biasa sudah berlalu.
Ia kini digantikan dengan corak menarik dan fabrik eksklusif, sekali gus menawarkan gabungan keyakinan profesional dan sentuhan peribadi.
Setiap gaya dipilih dengan teliti untuk mengimbangkan kerapian dengan personaliti, menggabungkan gaya klasik dengan sentuhan moden yang mengikut trend.
Era baru fesyen pejabat menampilkan gabungan kuasa dan gaya, dan dengan setiap penampilan, ia membuktikan pekerja boleh tampil bergaya dan berkeyakinan dengan mudah, lapor majalah Her World.
Pakaian kemas menambah struktur, menghasilkan garisan rapi dan potongan pakaian menarik menjadi asas penampilan anda.
Pemakaian blazer atau seluar dengan potongan kemas mengikut potongan badan boleh menyerlahkan penampilan.
Ia membuat seseorang itu tampak rapi serta penuh keyakinan, meskipun digayakan dengan pakaian lebih menyerlah, seperti set sut skirt bercorak bunga daripada jenama fesyen mewah asal Milan, Marni.
Rekaan jenama fesyen Italy, Schiaparelli dan pilihan corak klasik seperti kotak-kotak atau garisan halus pinstripes pada blazer menyerlahkan potongan kemas.
Pemilihan rona warna klasik seperti biru gelap atau coklat, memberi sentuhan bergaya pada penampilan bagi seseorang yang baru berjinak-jinak dengan fesyen pejabat.
Kain mewah seperti sutera, baldu, renda, fabrik bulu biri-biri kasar tweed, dan kain tenun suede, boleh menaikkan seri, umpama satu sentuhan mewah pada penampilan di pejabat.
Namun, elakkan fabrik yang tampak terlalu kasual, seperti denim lusuh atau terlalu menonjol seperti kain berlabuci, kerana ia boleh menjejas imej rapi yang menjadi asas gaya pejabat.
Apabila memilih pakaian bercorak, pilih palet warna dengan rona lembut dan tidak menyerlah seperti putih kekuningan, biru gelap, arang, atau hijau zaitun.
Ini bagi mengekalkan gaya sofistikated namun tetap sesuai untuk pejabat.
Jika anda suka bermain dengan warna, pastikan ia masih dalam jenis warna sama, dan sebaiknya pilih rona lebih gelap untuk tampak lebih seimbang dan kemas.
Pereka fesyen masyhur, Carolina Herrera, contohnya memadankan sweater berkolar leher penyu berwarna sama, untuk menghasilkan gaya menarik namun tetap kemas.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg