Tentu sekali setiap kali kita bayangkan satu percutian yang mampu membawa diri kita dekat kepada alam semula jadi, Singapura tidak tergolong dalam senarai pilihan.
Namun, ‘staycation’ saya baru-baru ini di Mandai Rainforest Resort by Banyan Tree, membawa saya jauh daripada hiruk-pikuk bandar Singapura, memberi saya ketenangan dan ketenteraman dikelilingi kehijauan dan keindahan alam semula jadi.
Senang kata, bak di negara lain.
Terletak di 60 Mandai Lake Road, resort mesra alam yang mewah ini merupakan hotel baru yang dibuka pada April 2025.
Dikendalikan oleh rangkaian hotel mewah tempatan, Banyan Tree, tapak seluas 4.6 hektar itu terletak di tengah-tengah lima taman kehidupan liar – Singapore Zoo, Night Safari, River Wonders, Bird Paradise dan Rainforest Wild.
Yang jelas, hotel ini mempunyai banyak ciri mesra alam yang diselitkan, malah elemen alam semula jadi diterapkan dalam reka bentuk resort ini.
Setibanya sahaja di lobi resort untuk ‘check-in’, suasananya seumpama menjemput anda untuk menghayati alam semula jadi dengan tumbuh-tumbuhan menghiasi sekitaran lobi, malah ada yang terjuntai-juntai dari atas.
Malah, saya diberitahu bahawa pembangunan ini mentikberatkan kemampanan, contohnya, bangku dan meja kayu sebenarnya telah digunakan semula daripada batang pokok asli.
Pada waktu malam, saya dimaklumkan bahawa cahaya lampu di lobi dimalapkan supaya tidak mengganggu kehidupan liar yang tinggal di sekeliling.
Resort ini mempunyai 338 bilik dengan pelbagai jenis kategori, daripada bilik standard, suite hingga bilik keluarga bersama katil bertingkat yang menawarkan pemandangan hutan hujan, taman ataupun takungan air Upper Seletar.
Ia juga menyediakan rumah pokok berbentuk lenggai yang terletak dalam kalangan tumbuh-tumbuhan sedia ada, dihiasi barisan pokok dan keadaan semula jadi kawasan itu, dengan sebahagian biliknya menikmati pemandangan kolam air.
Saya, suami dan dua anak saya berusia empat dan dua tahun inap di bilik ‘Sanctuary King’ yang seluas 36 meter persegi, menawarkan pemandangan takungan air Upper Seletar, cukup luas buat kami sekeluarga.
Biliknya serba lengkap, malah terdapat dispenser air jadi tidak perlu kami minum air paip ataupun membeli botol minuman sendiri.
Tandasnya juga luas dengan dua sinki tersedia, dan yang penting ada bidet!
Walaupun bilik kami tidak ada tab mandi, ia ‘ditebus’ dengan pemandangan luas kehijauan subur dan air tenang menerusi tingkap dari lantai ke siling.
Ruang yang paling saya gemari di dalam bilik tentunya sudut sebelah tingkap yang mana saya boleh menjamu selera dengan tenang sambil menikmati pemandangan luar.
Tidak perlu risau tentang privasi juga kerana terdapat butang untuk menurunkan atau menaikkan bidai.
Selain di dalam bilik, tetamu resort juga mempunyai akses kepada pelbagai kemudahan seperti gim yang dibuka sepanjang masa, spa (tetapi dengan bayaran tambahan), kolam renang dan kelab kanak-kanak bermain yang dibuka buat tempoh tertentu.
Tidak seperti hotel lain, kolam renang resort ini unik!
Jika ‘infinity pool’ lazimnya menawarkan pemandangan luas bandar yang bercahaya, pemandangan di resort ini ialah hutan simpanan menakjubkan jadi anda boleh menghayati keindahan kehijauan di sekeliling sewaktu bermandi-manda.
Kolam renangnya juga mempunyai ruang khusus buat kedua-dua golongan dewasa dan kanak-kanak dengan dalamnya 1.2 meter dan 0.5m.
Jika ingin melayan si cilik yang ibarat tidak kehabisan tenaga, terdapat dua ruang untuk mereka bermain, yang pertama di taman permainan luar.
Selain memanjat batu, mereka boleh meluncur turun gelongsor, melompat di papan spring atau cuba cabaran tali (rope course obstacle).
Sekiranya cuaca terlalu panas atau sedang hujan, ibu bapa usah risau kerana terdapat ruang permainan di dalam bangunan dinamakan Rangers’ Club, menyediakan permainan fizikal, yang di televisyen mahupun buku yang mempunyai unsur pendidikan.
Anda juga boleh menitipkan anak anda di sana buat sementara waktu jika perlu menguruskan kerja lain, tetapi kami memilih untuk menemani anak kami bermain.
Tentunya anak saya kesukaan sehinggakan saya perlu memujuk mereka berkali-kali untuk pulang.
Sebelum pulang, saya sempat berbelanja di kedai Banyan Tree Gallery menggunakan kredit $60 yang diberikan sempena pakej hotel yang meraikan ulang tahun Singapura yang ke-60.
Koleksi SG60 di galeri tersebut menampilkan set hadiah ‘Blooming in Harmony’ yang dihiasi motif enam orkid Vanda Miss Joaquim – melambangkan kekuatan, keindahan dan semangat berkekalan Singapura.
Set mini berharga $60 menampilkan ‘diffuser’ batu kristal dan minyak aromaterapi daripada Banyan Tree Spa, dengan set lengkap berharga $160 turut menyediakan dulang pengecas tanpa wayar yang diperbuat daripada ubi kayu kitar semula.
Aksesori menjamu selera yang mempamerkan motif orkid juga boleh dibeli, dengan selendang meja linen berharga $260, alas meja linen untuk empat orang berharga $160, dan coaster seramik untuk empat orang berharga $60 ditawarkan.
Dari 1 hingga 31 Ogos, tetamu yang menginap di resort tersebut akan menerima $60 bagi satu bilik, yang boleh digunakan untuk membeli cenderamata di Banyan Tree Gallery atau memanjakan diri di Banyan Tree Spa.
Walaupun resort ini mempunyai dua pilihan makan – di Forage dan Planter’s Shed – sayangnya ia tidak halal. Justeru, jika saya perlu pilih satu-satunya kekurangan resort ini, ia adalah ketiadaan makanan halal.
Mujur, makanan halal tidak sukar didapati di Singapura dan anda boleh menggunakan khidmat bas ulang-aliknya yang percuma daripada resort tersebut untuk ke taman haiwan liar berdekatan untuk menjamu selera di kedai makan halal tersedia.
Kalau malas, pesan sahaja makanan untuk dihantar ke resort menggunakan wadah penghantaran sedia ada di telefon bimbit.
Secara keseluruhan, penginapan saya di sana cukup membuat saya kembali bertenaga, dan yang paling ‘best’ tak perlu pun pergi jauh ke luar negara!
Penginapan penulis ditaja Mandai Rainforest Resort by Banyan Tree


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg