Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Seronok kejar ayam, intai sarang lebah, berkayak, apabila inap di rumah ladang Changi

Tidak diduga pengalaman dekat dengan kehidupan alam semula jadi sebenarnya menyuntik kesegaran dan beri ketenangan jiwa
Jul 27, 2025 | 5:30 AM
Penulis, Cik Nur Humaira Sajat, bersama suami, Encik Jefnilham Jamaludin, dan anak mereka, Muhammad Uwais Jefnilham, beranikan dekati lebah.
Penulis, Cik Nur Humaira Sajat, bersama suami, Encik Jefnilham Jamaludin, dan anak mereka, Muhammad Uwais Jefnilham, beranikan dekati lebah. - Foto QUEK LI HIANG

Bangkit dari lena kepada bunyi ayam berkokok, meninjau si lebah yang gigih mengumpul madu, melihat kumpulan semut berkawad dan menghayati pemandangan kapal belayar lalu.

Pengalaman tersebut menjadi satu kebiasaan sewaktu saya menginap di sebuah chalet yang diubah menjadi rumah ladang (farm stay) butik, House Of Melissa, baru-baru ini.

Tidak diduga, saya mendapati pengalaman berada dekat dengan kehidupan alam semula jadi sebenarnya sesuatu yang menyuntik kesegaran dan beri ketenangan dalam jiwa ini.

Pada Ogos 2024, pasangan Encik Clarence Chua dan Cik Candice Li, kedua-duanya 42 tahun, memajak Chalet F di depan pantai Kelab Perkhidmatan Awam (CSC) @ Changi di 344 Netheravon Road.

Mereka, yang juga pengasas pusat pengalaman berasaskan alam semula jadi The Sundowner, kemudian mengubah suai chalet itu menjadi House of Melissa Evelin, yang dibuka pada 1 November 2024.

The Sundowner, yang terletak di Siglap, menjalankan pelbagai lawatan berpendidikan, antaranya peluang memberi makan kepada lebah madu.

“Kami sudah lama ingin mengembangkan konsep lebah dan penternakan kami, dan kami sedang mencari ruang baru. Rupa-rupanya, kami tidak perlu tanya.

“Selepas kami memenangi ‘Pengalaman Lawatan Cemerlang 2024’ Lembaga Pelancongan Singapura (STB) bagi Pengalaman Ladang Atas Bumbung, CSC mendekati kami untuk bertanya sama ada kami ingin menggunakan chalet untuk mengendalikan tawaran pengalaman kami,” kongsi Encik Chua.

House of Melissa Evelin adalah rumah ladang butik yang diasaskan pasangan Cik Candice Li dan Encik Clarence Chua.
House of Melissa Evelin adalah rumah ladang butik yang diasaskan pasangan Cik Candice Li dan Encik Clarence Chua. - Foto ST

Kediaman dan pekarangan di kawasan seluas 12,500 kaki persegi secara keseluruhan, boleh memuatkan sehingga 50 orang bagi acara perhimpunan dan menempatkan sehingga lapan orang dalam tiga bilik tidur yang tersedia.

Lebih daripada sebuah kediaman yang membawa tetamu ke era masa lalu, disebabkan reka bentuk kolonial dan perhiasan dalam rumah, apa yang membezakan pengalaman saya kali ini ialah pengalaman dan kegiatan tambahan yang disediakan.

Bagi bayaran antara $308 dengan $708 satu malam (bergantung kepada tempoh penginapan dan sama ada tetamu merupakan anggota kelab tertentu), tetamu menggunakan seluruh vila secara peribadi dan kawasan luarnya – justeru memang sesuai jika ingin mengajak keluarga dan saudara untuk berhimpun di situ.

Dengan bayaran tambahan, tetamu boleh memilih daripada 25 pengalaman, kegiatan dan bengkel yang disediakan, termasuk lawatan jejaki kawasan ‘berhantu’ Changi, menonton wayang di luar di bawah langit malam, belajar memerah air tebu, ataupun meneroka lautan dalam perahu layar.

Kediaman kolonial serba lengkap

Saya akui diri ini kurang selesa pada mulanya apabila melangkah masuk ke dalam penginapan itu. Manakan tidak, saya disambut bermacam jenis penghuni berkaki enam dan lapan!

Ada kala jengking dan serangga lain yang dipelihara termasuk kumbang rusa jantan atau ‘stage beetle’.

Sarang semut.
Sarang semut. - Foto BM oleh NUR HUMAIRA SAJAT
Kala jengking salah satu haiwan yang dipelihara dalam rumah tersebut.
Kala jengking salah satu haiwan yang dipelihara dalam rumah tersebut. - Foto BM oleh NUR HUMAIRA SAJAT

Semut pun dibela dengan sarang-sarangnya sekali! Saya pun ternampak barisan semut yang merayap di ceruk dinding dan sangka bahawa semut itu datang daripada sarang yang disimpan.

Rupa-rupanya ia berasal dari luar dan Encik Chua berkongsi bahawa mereka menggunakan sejenis campuran serbuk dan alkohol di sekitar tempat sarang supaya semut tidak dapat merayap keluar daripada sarangnya.

Hanya daripada berjalan dari hujung ke hujung rumah tersebut, saya sudah meraih banyak ilmu dan pengetahuan menerusi petanda yang dilekatkan di dinding, antaranya mengingatkan saya bahawa semut tidak membahayakan dan kami sedang tinggal bersama di rumah mereka.

Petanda pendidikan yang dilekatkan di dinding rumah.
Petanda pendidikan yang dilekatkan di dinding rumah. - Foto BM oleh NUR HUMAIRA SAJAT

Ruang tamunya pula serba lengkap.

Selain menyediakan pelbagai pilihan yang mencetuskan nostalgia seperti DVD, terdapat buku-buku, permainan Nintendo, peti ais, televisyen dan juga ruang kecil untuk menyiapkan sarapan sendiri (roti dan telur sudah disediakan).

Ruang tamu di House of Melissa Evelin.
Ruang tamu di House of Melissa Evelin. - Foto-foto BM oleh NUR HUMAIRA SAJAT
Bahan sarapan yang disediakan di House of Melissa Evelin.
Bahan sarapan yang disediakan di House of Melissa Evelin. - Foto BM oleh NUR HUMAIRA SAJAT
Salah satu bilik di House of Melissa Evelin menawarkan pemandangan menyejukkan mata.
Salah satu bilik di House of Melissa Evelin menawarkan pemandangan menyejukkan mata. - Foto BM oleh NUR HUMAIRA SAJAT

Kalau masih lapar, Changi Village terletak tidak jauh dari sana dan anda boleh menggunakan basikal yang disediakan di luar rumah.

Seperti di kampung, ruang luar rumah dihuni ayam, burung puyuh, itik, malah terdapat kebun yang dipenuhi tanaman herba dan tumbuhan seperti daun serai, daun laksa, dan daun pisang.

Anak saya kesukaan mengejar itik dan ayam di situ.

Anak penulis, Muhammad Uwais Jefnilham, beri ayam makan.
Anak penulis, Muhammad Uwais Jefnilham, beri ayam makan. - Foto QUEK LI HIANG

Kegiatan penuh elemen pendidikan

Penulis membakar ayam di pit barbeku.
Penulis membakar ayam di pit barbeku. - Foto ihsan NUR HUMAIRA SAJAT

Memandangkan kediaman tersebut besar bagi saya empat beranak, saya pun mengajak anggota keluarga lain pada sebelah petang hingga malam untuk melakukan kegiatan barbeku bersama.

Kami hanya perlu membawa arang, pemanggang besi dan makanan sendiri, dan perkakas seperti pemula api dan tempat barbeku sudah tersedia.

Apa yang saya suka ialah ruang luarnya luas, jadi sambil kami yang dewasa membakar makanan, kanak-kanak boleh bermain di ruang rumput atau duduk di buaian yang tergantung dari pokok besar.

Ikan, udang dan daging dimasak di tempat barbeku.
Ikan, udang dan daging dimasak di tempat barbeku. - Foto BM oleh NUR HUMAIRA SAJAT
Kanak-kanak boleh main buaian di luar House of Melissa Evelin.
Kanak-kanak boleh main buaian di luar House of Melissa Evelin. - Foto BM oleh NUR HUMAIRA SAJAT

Pada keesokan paginya, saya dan suami mengambil bahagian dalam kegiatan kayak selama dua jam sambil anak kami dijaga keluarga memandangkan kegiatan lasak seperti ini tidak sesuai buat kanak-kanak kecil.

Encik Chua dan Cik Marianne Tan, 37 tahun, menjadi jurupandu bagi ekspedisi kayak kami ke Changi Creek.

Dalam perjalanan, kami melalui Terminal Feri Changi, tempat feri membawa penumpang ke Pulau Ubin.

Semakin jauh kami dayung ke dalam paya bakau, semakin tenang suasana di sekitar kami.

Berkayak... penulis dan suaminya melakukan kegiatan kayak di kawasan bakau Changi.
Berkayak... penulis dan suaminya melakukan kegiatan kayak di kawasan bakau Changi. - Foto CLARENCE CHUA

Tiada siapa kelihatan kecuali kami berempat bersama kayak kami.

Sekejap-sekejap kami mendongak apabila terdengar ngauman pesawat yang terbang lalu, menjadikan pengalaman tersebut cukup istimewa.

Sepanjang perjalanan, Encik Chua akan menyelitkan ilmu pengetahuan, antaranya mengapa akar tumbuh-tumbuhan bakau mempunyai bentuk tertentu dan kepentingan memastikan lautan tidak tercemar.

Encik Chua menjelaskan bahawa dalam ekspedisinya, mereka berusaha untuk meninggalkan tempat yang diteroka dalam keadaan lebih bersih berbanding sebelumnya.

Justeru, saya pun diberi alat penyepit untuk mengutip sampah seperti plastik, kotak styrofoam yang saya lihat terapung.

Apa yang menambah kepada keterujaan kami ialah apabila kami perlu melalui ‘terowong’ yang mempunyai banyak kerang cukur atau ‘razor clams’ dan kami diberitahu untuk mengelak daripada tergesel kerang tersebut kerana ia boleh menusuk dan membocorkan kayak kembung kami.

‘Adventure’ sungguh!

Mujur cuaca pada hari itu baik dan tidak terlalu panas.

(dari kiri) Encik Clarence Chua, Cik Marianne Tan dan Encik Jefnilham Jamaludin singgah di pantai Changi.
(dari kiri) Encik Clarence Chua, Cik Marianne Tan dan Encik Jefnilham Jamaludin singgah di pantai Changi. - Foto BM oleh NUR HUMAIRA SAJAT

Kemudian, kami pun singgah di pantai Changi untuk berehat dan berkelah buat sementara waktu sebelum meneruskan perjalanan pulang.

Pada sebelah petang, saya pun melakukan kegiatan terakhir iaitu kunjungan permakultur (permaculture) yang diadakan sekitar kawasan rumah yang dijalankan Cik Quek Li Hiang, 30 tahun.

Konsep permakultur merujuk kepada ekosistem agrikultur yang dibangunkan secara mampan.

Sememangnya, lawatan ini sangat sesuai buat kanak-kanak terutamanya mereka yang di peringkat sekolah rendah.

Di sini, kami juga diperkenalkan kepada cara membuat kompos menggunakan sisa bahan, makanan dan daun kering – sama seperti baja yang digunakan untuk tumbuh-tumbuhan di sekitar kediaman itu.

Bahkan, kami diperkenalkan kepada pelbagai jenis ulat yang memainkan peranan penting dalam proses membuat baja itu.

Malah, kami dicabar mencari ulat yang tersembunyi dan mengutipnya!

Penulis, Cik Nur Humaira Sajat bersama suami, Encik Jefnilham Jamaludin, dan anak mereka, Muhammad Uwais Jefnilham, membuat kompos baja menggunakan sisa makanan dan daun kering.
Penulis, Cik Nur Humaira Sajat bersama suami, Encik Jefnilham Jamaludin, dan anak mereka, Muhammad Uwais Jefnilham, membuat kompos baja menggunakan sisa makanan dan daun kering. - Foto QUEK LI HIANG

Kemudian yang paling menarik sekali adalah peluang menyentuh sarang si lebah!

Mula-mula, saya gerun dan takut disengat (maklumlah, saya pernah disengat ketika menjalani kem sekolah dahulu dan tidak mahu pisang berbuah dua kali) tetapi Cik Quek memberi jaminan bahawa lebah tidak akan menyengat jika tidak rasa diancam.

Lagipun, mereka mempunyai alat penyedut sengat yang tersedia sekiranya kejadian yang tidak diingini itu berlaku.

Anak saya suka sangat makan madu, dan ini menjadi peluang untuk saya menunjukkannya bagaimana madu dibuat secara asli.

Raih ilmu pengetahuan

Sejujurnya saya sangat terpegun dan meraih banyak ilmu pengetahuan.

Yang jelas, House of Melissa Evelin ini boleh dikatakan ‘walk the talk’ atau buat serupa cakap.

Bukan sekadar menjalankan bengkel dan lawatan untuk mendidik orang ramai tentang pemuliharaan alam, bahkan jelas mereka sendiri mengamalkannya.

Sepanjang penginapan saya selama tiga hari di sana, saya rasa rohani saya ‘dicaj’ semula kerana kawasan bak dalam kampung itu membuatkan saya rasa seolah-olah masa tidak berlalu sepantas selalu.

Memang tidak dinafikan bahawa perbelanjaan tambahan yang perlu dikeluarkan di samping kos penginapan mungkin tidak murah, namun pengalaman yang diraih tentunya berbaloi dan sukar didapati di tempat lain terutamanya dalam ‘hutan konkrit’ Singapura ini.

Bagi maklumat lanjut, lungsuri www.houseofmelissa.com.sg.

Penginapan penulis ditaja House of Melissa Evelin

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg