Topik diikuti
Pergi ke BHkuLawat Pulau Pandan jauh ke tengah, Gunung Daik bercabang tiga...
Lawat Pulau Pandan jauh ke tengah, Gunung Daik bercabang tiga...
Tergerak dengan perkongsian di TikTok, pengunjung S’pura susur warisan dan sejarah ‘Bunda Tanah Melayu’ di Kepulauan Riau-Lingga
Lawat Pulau Pandan jauh ke tengah, Gunung Daik bercabang tiga...
Bagi kebanyakan warga Singapura dan Malaysia, Kepulauan Riau (Kepri) pastinya menerbitkan bayangan destinasi popular seperti Pulau Batam atau Bintan.
Namun, baru-baru ini, sekumpulan 19 pengembara dari dua negara jiran ini memilih untuk menerokai sisi Kepri yang lebih kaya dengan nilai sejarah tetapi jarang dikunjungi: Daik, Lingga dan Dabo, Singkep.
Perjalanan enam hari yang berlangsung dari 20 hingga 25 November 2025 ini bukan sekadar percutian pantai biasa, sebaliknya sebuah ziarah budaya yang mendalam.
Segalanya bermula apabila saya mengikuti perkongsian beberapa pempengaruh digital seperti Kak Orked (@lizajumat36) dan @rahulprmbd di aplikasi TikTok.
Tertarik dengan keunikan destinasi yang dipaparkan, saya akhirnya mengambil keputusan untuk menyertai rombongan bulanan yang dikendalikan oleh pemandu pelancong dari Selangor, Cik Liza Jumat, atau lebih mesra disapa Kak Orked.
Untuk kembara bulan November ini, seramai 16 peserta dari Malaysia (merangkumi negeri Selangor, Kelantan, Perak, dan Johor) serta tiga peserta dari Singapura, termasuk saya dan pasangan memulakan pengembaraan.
Hari Pertama: Batam – Tirai kembara bermula
Bagi kami peserta dari Singapura, perjalanan bermula dengan menaiki feri pagi dari Terminal Feri HarbourFront menuju ke Batam.
Di sana, kami bertemu dan bergabung dengan kumpulan peserta dari Malaysia yang menyeberang dari Jeti Stulang Laut, Johor Bahru.
Selepas singgah seketika di beberapa pusat beli-belah di Batam, kami meneruskan perjalanan menaiki bot kecil ke Pulau Akar.
Pulau kecil yang redup dan tenang ini menyambut kami dengan keramahan penduduknya.
Sebelum berehat di hotel, kami sempat menikmati hidangan laut segar di tepi pantai Kampung Tua Mentarau, Batam.
Hari Kedua: Menyeberang ke Lingga – Jejak kesultanan silam
Keesokan paginya, kami menaiki feri selama empat jam dari Telaga Punggur, Batam, menuju ke Jeti Sei Tenam di Daik, ibu kota Kabupaten Lingga.
Sebaik menjejakkan kaki di sini, suasananya seolah-olah membawa saya kembali ke zaman 1970-an – begitu damai dan sarat dengan nilai sejarah.
Destinasi pertama kami ialah Bukit Cengkeh untuk menziarahi makam tiga sultan yang pernah memerintah Kesultanan Riau-Lingga.
Selepas itu, kami melawat replika Istana Damnah yang dibina pada tahun 1993 bagi memberi gambaran tentang kegemilangan era silam.
Istana asalnya yang dibina semasa pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah II (1857-1883) kini telah runtuh dimamah usia.
Latar belakang Gunung Daik yang tersergam indah menjadi lokasi wajib untuk kami mengabadikan foto kenangan. Inilah gunung yang diabadikan dalam pantun klasik Melayu yang cukup terkenal:
“Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.”
Kami kemudian menikmati makan tengah hari di rumah Rahul, seorang penggiat makanan dan budaya tempatan yang juga pempengaruh TikTok yang saya ikuti.
Sebelah malamnya, kami menginap di Rumah Tumpangan Mayang yang ringkas tetapi cukup selesa.
Hari ketiga: Busana tradisional dan semangat nusantara
Hari ketiga bermula dengan penuh warna-warni. Kami bersarapan di kediaman seorang tokoh tempatan, Datuk Taufiq.
Mengikut perancangan awal, semua peserta telah diminta membawa sepasang pakaian tradisional Melayu. Maka pagi itu, suasana menjadi sangat meriah apabila para peserta lelaki segak bertanjak atau bersongkok, manakala peserta wanita anggun berbaju kurung.
Kami kemudian melawat Muzium Linggam Cahaya dan rumah tenun songket sebelum kembali ke kawasan replika Istana Damnah.
Kemuncak acara sebelah petang adalah menghadiri majlis perasmian Kenduri Silat Alam Melayu IV di Rumah Adat Melayu.
Acara ini menghimpunkan para pesilat dari seluruh Nusantara. Kami juga berpeluang beramah mesra dengan beberapa tokoh setempat termasuk Kepala Dinas Pariwisata Kabupaten Lingga dan Kepala Dinas Kebudayaan Kabupaten Lingga. Sesi makan tengah hari secara hidang bersama para pesilat benar-benar mengeratkan ikatan kekeluargaan di antara kami.
Sebelum hari berakhir, kami sempat menziarahi Masjid Jamek Sultan Lingga, masjid tertua di Daik yang menempatkan makam pengasasnya, Sultan Mahmud Syah III.
Di pekarangan kompleks masjid, kelihatan dua buah meriam kuno yang ditempatkan di bahagian kiri dan kanan pintu hadapan.
Bagi menyegarkan badan, kami dibawa ke Air Terjun Resun di mana beberapa peserta tidak melepaskan peluang untuk mandi-manda.
Pada sebelah malamnya, kami bertuah kerana dapat menyaksikan malam penutup sambutan Hari Jadi Kabupaten Lingga di Dataran Bupati.
Pesta rakyat yang meriah dengan tarian, nyanyian, dan persembahan silat, ditambah dengan layanan mesra penduduk tempatan, membuatkan kami merasa seperti berada di kampung halaman sendiri.
( Kabupaten merujuk kepada daerah pentadbiran tahap kedua di Indonesia, manakala Bupati ialah ketua daerahnya).
Hari keempat: Warisan manto, santri & Pulau Benteng
Pagi kami dimulakan dengan menikmati kuih-muih tradisional di Warung Lis sebelum bergerak ke Rumah Tekat Tudung Manto Halimah.
Tudung manto ialah selendang atau penutup kepala tradisional wanita Melayu khas dari Kepulauan Riau, khususnya Lingga.
Keunikannya terletak pada sulaman kelingkan (benang perak atau emas) dengan motif penuh makna yang melambangkan kesantunan serta kehormatan wanita.
Melihat sendiri ketelitian dan kesabaran tukang sulam di situ amat mengujakan, sehinggakan ada dalam kalangan peserta yang terus membeli dan menempah tudung tersebut sebagai cenderamata.
Seterusnya, lawatan diteruskan ke Pesantren Hidayatullah.
Kehadiran kami disambut mesra oleh para santri (pelajar agama) dengan alunan nasyid yang penuh adab. Sambil menikmati hidangan, kami saling bertukar pantun dan khabar.
Sebelum pulang, kami menitipkan sedikit sumbangan ikhlas sebagai tanda penghargaan atas sambutan luar biasa mereka.
Dalam perjalanan pulang, kami singgah di Kedai Kopi Balang yang unik kerana menyajikan kopi di dalam botol kaca yang enak.
Selepas berehat seketika, sebelah petangnya kami menaiki bot kecil menuju ke Pulau Mepar, sebuah pulau benteng yang terletak di antara Singkep dan Lingga.
Pulau bersejarah ini merupakan sebahagian daripada sistem pertahanan Kesultanan Riau-Lingga suatu masa dahulu bagi menepis serangan penjajah dan lanun.
Di sini menempatkan empat buah benteng (termasuk Benteng Lekuk) serta lapan meriam kuno seperti Meriam Sumbing yang menjadi saksi bisu sejarah perjuangan silam. Kami kemudian kembali ke Dabo untuk bermalam.
Hari kelima: Kedamaian di Dabo Singkep
Hari kelima dikhaskan untuk menerokai Dabo Singkep, bandar utama di Pulau Singkep. Berbeza dengan kesibukan Batam, ritma kehidupan di Dabo jauh lebih tenang dan santai.
Kami melawat Masjid Jamek Dabo yang menampilkan seni bina unik. Sebelum senja melabuhkan tirai, kami sempat melihat Meriam Tegak – sebuah meriam kuno yang tertanam secara menegak menghadap ke langit.
Menurut kepercayaan penduduk setempat, meriam ini tidak boleh dipindahkan dari kedudukan asalnya. Kami juga sempat merakam foto kenangan menggunakan dron di Pantai Batu Berdaun sebelum mendaftar masuk di sebuah resort tepi pantai di Desa Batu Berdaun untuk bermalam.
Hari keenam: Selamat Tinggal ‘Bunda Tanah Melayu’
Pada hari terakhir, kami menaiki feri dari Pelabuhan Jaguh di Dabo Singkep untuk kembali ke Batam.
Dari kejauhan, kelihatan Pulau Pandan, sebuah pulau kecil menghijau yang berdiri tegak sendirian di tengah laut. Pemandangan itu bagaikan satu metafora yang sempurna untuk mengakhiri kembara ini: indah, penuh misteri, dan akan sentiasa dikenang.
Perjalanan kami berakhir di Batam di mana rombongan mula berpisah membawa haluan masing-masing. Peserta dari Malaysia menaiki feri pulang ke Stulang Laut, Johor, manakala saya dan pasangan memilih untuk bermalam satu malam lagi di Batam sebelum pulang ke Singapura.
Rumusan: Bukan sekadar percutian, tetapi satu ziarah jiwa
Bagi kami semua, kembara ini lebih daripada sekadar percutian biasa. Ia merupakan satu jambatan untuk menghubungkan semula diri dengan warisan dan akar budaya bersama, selain berpeluang menjejakkan kaki di bumi yang pernah menjadi pusat pemerintahan empayar Melayu suatu ketika dahulu.
Apa yang paling membekas di hati pastinya keikhlasan dan keramahan murni masyarakat setempat di Lingga yang digelar ‘Bunda Tanah Melayu’.
Segala memori indah daripada kehalusan tenunan sehinggalah ke utuhnya meriam-meriam tua akan terus terpahat kemas dalam ingatan, jauh menjangkau perjalanan feri yang membawa saya pulang ke Singapura.
Penulis seorang guru dan menyertai lawatan ini sebagai peserta atas pembiayaan sendiri.
