Topic followed successfully
Go to BHkuSeronok kembara tapi berbeza cara
Seronok kembara tapi berbeza cara
Pelancong kongsi pengalaman rentasi pelbagai negara - di samping keluarga, diatur agensi dan solo/dengan teman
Seronok kembara tapi berbeza cara
Lain dulang lain kaki, lain orang lain hati – begitulah halnya dengan selera pengembaraan.
Ada pelancong yang memilih pakej agensi demi kemudahan dan perancangan teratur; ada pula yang gemar meneroka bersama keluarga dan rakan secara lebih santai dan spontan; dan tidak kurang juga yang mengembara solo, menikmati kebebasan menyusun waktu mengikut rentak diri.
Berita Minggu (BM) meninjau pengalaman beberapa individu merentasi gaya perjalanan ini, bagi memahami motivasi di sebalik pilihan mereka untuk melihat dunia – daripada rombongan romantis ke Eropah, pengembaraan berkhemah dengan kenderaan rekreasi (RV) di New Zealand, hingga mendaki puncak Adam’s Peak di Sri Lanka bersama teman-teman.
Walaupun pendekatan berbeza – sama ada rombongan, keluarga, atau solo – setiap gaya perjalanan membawa makna tersendiri. Yang membezakannya hanyalah cara, tetapi matlamatnya tetap sama: mencari pengalaman baharu, memahami dunia, dan selalunya, mengenali diri, teman mengembara, dan insan sekeliling dengan lebih mendalam.
Pakej Rombongan: Tenang dan lebih teratur
Bagi pasangan suami isteri, Cik Noormah Salim, 65 tahun, dan suaminya Encik Idris Abdul Rashid, 67 tahun, mengembara sudah menjadi rutin tahunan. Namun, syaratnya tetap satu: mereka hanya memilih pakej rombongan.
Pasangan yang telah menerokai lebih 20 negara ini percaya bahawa khidmat agensi pelancongan menawarkan pengalaman yang lebih teratur, tenang, dan berbaloi. Pilihan ini selari dengan keinginan mereka untuk menikmati percutian tanpa sebarang tekanan.
“Kami sememangnya gemar mengembara, dan setiap tahun kami pasti akan melawat negara baharu. Bercuti secara rombongan itu lebih selesa kerana kami tidak perlu merancang jadual perjalanan. Hanya perlu ikut atur cara yang ditetapkan, membolehkan kami melawat lebih banyak tempat dalam tempoh yang singkat,” jelas Cik Noormah.
Antara destinasi yang pernah dilawati pasangan ini termasuk Maghribi, Mesir, Uzbekistan, Jepun, Turkey, Hungary, dan Montenegro, selain mengikuti perjalanan cruise.
Menurutnya, antara kelebihan pakej rombongan adalah semua keperluan asas, termasuk makan minum dan penginapan, telah diatur dan dimasukkan dalam kos keseluruhan. “Kita tidak perlu risau tentang perbelanjaan tambahan, kecuali untuk membeli-belah. Selain itu, peluang untuk berkenalan dengan peserta lain juga terbuka luas,” tambahnya.
Bagaimanapun, beliau mengakui pendekatan ini menuntut sikap yang lebih terbuka. “Memang ada lokasi yang hanya sempat dilawati secara ‘touch and go’, tetapi ini disebabkan oleh keinginan untuk melawat banyak tempat. Bagi kami, ini jauh lebih baik daripada bercuti sendiri tetapi tidak berkesempatan pergi ke mana-mana,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah syarikat pelancongan Dreamcation Cruises & Tours, Encik Sujimy Mohamad, menyatakan kebanyakan pelanggan pakej rombongan terdiri daripada golongan keluarga berbilang generasi, golongan pekerja berusia 30 hingga 55 tahun ke atas, serta pengembara kali pertama yang mencari perjalanan yang mudah dan terjamin.
“Tambahan pula, pelancong Muslim merupakan segmen utama kerana mereka mencari pakej yang memastikan aspek makanan halal/mesra Muslim dan urusan waktu solat terpelihara.”
Namun begitu, Encik Sujimy juga menyarankan pengikut rombongan untuk buat kajian tentang destinasi agar dapat lebih nilai di tempat tujuan, selain terbuka membuat kawan dan berani teroka bandar baru secara selamat jika ada masa terluang.
Bersama Keluarga: Mengukir memori yang lebih bermakna
Berbeza dengan dahulu, Cik Shamsydar Ani, 36 tahun, kini mengutamakan perjalanan keluarga berbanding pengembaraan solo. Sebagai ibu kepada dua cahaya mata, keutamaan perjalanannya telah beralih; daripada kebebasan individu kepada usaha membina kenangan bersama tersayang.
“Kami dahulukan aktiviti mesra kanak-kanak, sebelum memikirkan tentang membeli-belah atau melawat muzium,” jelasnya. “Kami juga memastikan anak-anak terlibat dalam setiap aspek, daripada perancangan hingga pelaksanaan. Ini yang menjadikan setiap perjalanan itu lebih bermakna.”
Pembahagian peranan antara beliau dan suami memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran perjalanan. Suaminya menguruskan keperluan pengangkutan dan bajet, manakala Cik Shamsydar pula memberi tumpuan kepada aspek makanan.
“Jika ke negara yang kos sara hidupnya mahal, saya pastikan kami memasak sendiri dan hanya ‘berbelanja besar’ untuk makanan yang benar-benar berbaloi,” kata beliau, yang juga dikenali sebagai “Sambal Queen” susulan penyertaannya dalam pertandingan memasak MasterChef Singapura musim pertama.
Antara pengalaman yang paling mengesankan ialah perjalanan menggunakan RV di New Zealand pada tahun 2024, ketika anak-anaknya masih kecil.
“Kami belajar menangkap ikan salmon dan menikmati hasilnya sendiri. Ada satu malam, RV kami bergoyang kuat ditiup angin di tepi tasik. Kami suami isteri langsung tidak dapat tidur, tetapi anak-anak lena sahaja,” ceritanya sambil ketawa.
Baginya, pengalaman sebegini menawarkan lebih daripada sekadar memori indah.
“Kami tidak membesar dengan peluang untuk melancong, jadi kami faham ini adalah satu keistimewaan buat anak-anak. Selain itu, ia turut membantu membina ketahanan diri mereka,” tambahnya.
Solo atau bersama teman: Pengalaman yang saling melengkapi
Bagi Encik Nazmi Yazid, 33 tahun, perjalanan secara solo kekal mempunyai tempat istimewa. Daya tarikan utamanya terletak pada kebebasan menentukan hala tuju sendiri.
“Kalau saya suka sesuatu tempat, saya boleh tinggal lebih lama di situ. Jika tidak, saya terus bergerak,” kata penulis iklan itu.
Tanpa ditemani sesiapa, beliau lebih terdorong untuk berinteraksi dengan penduduk tempatan, lantas menemui sisi autentik sesebuah destinasi.
“Seronok berjalan kaki jauh, mendaki, memerhati gelagat manusia dan mendengar cerita hidup orang tempatan. Dari situ kita kenal diri sendiri - apa yang kita suka dan bagaimana kita berdepan dengan tekanan,” katanya, yang pernah mengembara ke Iran, Turkey, Croatia dan Thailand seorang diri.
Namun, beliau kini semakin terbuka untuk mengembara bersama rakan. Pengalaman mendaki Adam’s Peak di Sri Lanka pada 2023 menjadi titik perubahan.
“Kami mendaki selama beberapa jam dengan harapan dapat melihat matahari terbit, tetapi tidak kesampaian. Walaupun begitu, pengalaman ‘tidak sempurna’ itulah yang paling diingati,” katanya.
Menurutnya, cabaran yang dilalui bersama menjadikan hubungan lebih erat.
“Kami berkongsi kesukaran bersama - dan itu yang menguatkan ikatan. Ia bukan lagi pengalaman individu, tetapi kenangan bersama sebagai satu kumpulan.”
