Lazada, platform e-dagang di Asia Tenggara, mengumumkan kerjasama dengan platform e-dagang milik Alibaba, Taobao, untuk melancarkan saluran Fesyen Taobao yang khusus di Singapura dan Malaysia.
Saluran baru ini, yang dipaparkan dengan ketara di laman utama aplikasi Lazada, menawarkan destinasi baru untuk pembeli yang mementingkan gaya dengan koleksi pakaian terbaru dan mampu milik, menurut kenyataan bertarikh 22 Oktober.
Lazada merancang untuk memperkenalkan lebih banyak produk gaya hidup dalam saluran ini pada masa hadapan bagi memperkayakan lagi pilihan yang tersedia.
Saluran Fesyen Taobao ini menawarkan lebih daripada enam juta pilihan produk yang disusun rapi daripada penjual terkemuka di Taobao. Pengguna juga boleh menikmati lebih penjimatan dengan menggunakan LazCoins semasa membuat pembelian untuk mendapatkan diskaun tambahan.
Sempena pelancaran ini, Lazada menawarkan promosi eksklusif seperti “Beli 3, Jimat 20 peratus”, serta perkhidmatan pulangan tanpa kerumitan selama tujuh hari di Singapura dan 15 hari di Malaysia, dengan pilihan pengambilan dan penghantaran yang fleksibel untuk keselesaan pelanggan.
Selain itu, kempen “TaoFashion Day” akan berlangsung setiap hari Sabtu, yang menawarkan lebih daripada 35,000 produk baru dengan diskaun sehingga 70 peratus, serta memberikan akses kepada trend fesyen terkini pada harga yang berpatutan.
Untuk meningkatkan pengalaman membeli-belah, Lazada turut menawarkan penghantaran udara antarabangsa secara percuma, memastikan pesanan dihantar secepat lima hari bekerja.
“Pengguna hari ini semakin bijak dan global, sentiasa mencari pilihan fesyen yang unik dan berbeza untuk memperbaharui almari pakaian mereka,” kata Encik Jason Chen, ketua pegawai perniagaan, Lazada Group.
“Kerjasama dengan Taobao ini mengukuhkan keupayaan kami memanfaatkan sinergi e-dagang Alibaba, memberikan pelbagai pilihan yang tidak tertanding dan nilai yang berbaloi kepada pelanggan kami.
“Matlamat kami adalah untuk menjadikan fesyen lebih mudah diakses dan inklusif, membolehkan pembeli meluahkan gaya mereka dengan penuh keyakinan tanpa perlu berbelanja lebih.”
Untuk maklumat lanjut, layari laman web Lazada atau aplikasi Lazada untuk menerokai tawaran menarik Fesyen Taobao.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg