Bayangkan diri anda melayang di udara, tubuh anda melentur dan meregang seperti burung yang sedang terbang.
Rasakan nikmatnya ketika anda terapung, kaki diluruskan, tangan terbentang, dan tulang belakang memanjang seolah-olah mencabar graviti.
Selamat datang ke dunia aerial yoga atau yoga udara, dengan gerakan mustahil menjadi mungkin.
Kenali Cik Raidah Syafiqah Ahmad, pengasas studio yoga udara atau aerial yoga, Avoyoga, yang berani mengambil langkah untuk merealisasikan impiannya.
Perjalanannya mencerminkan ketabahannya meniti peralihan aerial yoga, yang bukan sahaja menyembuhkannya dari segi fizikal dan emosi, bahkan memberi beliau tujuan hidup yang baru.
Kisah Cik Raidah, 31 tahun, bermula di Brisbane, Australia.
Di sana, beliau menetap selama 10 tahun kerana mengikut orang tuanya yang berhijrah ke sana.
Anak bongsu empat beradik itu memperoleh ijazah farmasi daripada Griffith University di Brisbane City dan bekerja sebagai pengkaji selama beberapa bulan di negara kanggaru itu.
Namun, takdir menentukan jalan cerita yang berbeza bagi kehidupan beliau selanjutnya.
Apabila permohonan melanjutkan visanya ditolak, beliau kembali ke Singapura pada 2008 dengan perasaan seolah-olah hilang arah dan tidak menentu.
Ibu bapanya juga tidak lama kemudian menyusul pulang ke tanah air.
Cik Raidah menceburi kerjaya dalam industri perhotelan, menggalas pelbagai tugas di bahagian kaunter hadapan serta makanan dan minuman (F&B).
Namun tekanan dan masa bekerja yang panjang, terutama ketika pandemik Covid-19, mula memberi kesan kepadanya.
Hanya setelah beliau mengikuti kelas aerial yoga, barulah beliau menemui ketenangan.
Amalan itu menjadi tempat perlindungannya, cara melepaskan tekanan dan menjalin semula hubungan dengan tubuhnya.
Apabila Cik Raidah mendalami dunia aerial yoga, beliau menyedari bakat sebenar yang ada dalam dirinya – kemampuannya menghasilkan gerakan yang cantik dalam senaman dan membimbing orang lain mengikuti senaman yoga udara dengan betul.
Beliau justeru mendaftar dalam program latihan guru dalam senaman tersebut yang dikendalikan sebuah studio latihan di Somerset Road dan mula mengajar secara sambilan selepas melalui 100 jam masa latihan.
“Pelajar pertama saya adalah seorang rakan baik, dan kami adakan sesi latihan di taman awam, dengan buaian digantung di sudut gim. Sungguh menyeronokkan,” cerita Cik Raidah.
Aerial yoga, juga dikenali sebagai kecergasan udara atau Pilates udara, adalah pendekatan inovatif terhadap yoga dan kecergasan tradisional.
Amalan holistik itu menggabungkan unsur yoga, Pilates, tarian, dan akrobatik, yang dilakukan sambil tergantung di udara menggunakan buaian atau kain sutera.
Buaian yang diperbuat daripada fabrik yang tahan lasak itu menyokong berat badan, membolehkan regangan yang lebih mendalam, fleksibiliti yang lebih baik, dan peningkatan kekuatan.
Dengan membalikkan badan, aerial yoga membalikkan kesan graviti, memampatkan tulang belakang, melegakan tekanan pada sendi, dan menggalakkan saluran limfatik.
Kegiatan unik itu juga meningkatkan keseimbangan, koordinasi, dan kekuatan teras, kata Cik Raidah.
Keberkesanan Cik Raidah mengendalikan kelas privetnya mula tersebar dari mulut ke mulut dan beliau mula mendapat banyak permintaan untuk belajar dengannya secara persendirian.
“Pelajar saya memberi maklum balas mereka suka kelas saya kerana saya teliti menumpukan gerak-geri yang diperlukan untuk memperbaiki tubuh mereka.
“Saya mengambil masa untuk mengenali kemampuan mereka menggunakan buaian, dari peringkat asas hingga ke yang lebih mencabar seperti memanjat tali buai.
“Sememangnya di studio biasa, apabila pelajar terlalu ramai, jurulatih tidak mampu memberi tumpuan kepada pelajar khusus dan mereka lebih pentingkan jumlah pelajar yang ramai untuk menampung kos operasi… saya secara peribadi tidak setuju dengan pendekatan ini,” jelasnya.
Pada 2021, beliau mengambil langkah berani untuk membuka studionya sendiri.
Bermula dengan sebuah studio kecil, beliau kini mampu membuka dua studio tingkat empat di deretan rumah kedai di 23 Kampong Bahru Road.
Hari ini, studio itu menjadi pusat masyarakat yang berkembang pesat, menawarkan kelas untuk pelbagai peringkat usia, termasuk warga tua, kanak-kanak dan ibu-ibu, sambil menyediakan suasana sokongan untuk pertemuan keibubapaan dan merapatkan hubungan.
Cik Raidah, ibu kepada anak perempuan berusia 18 bulan dan sedang hamil anak kedua, berkata beliau telah melihat bagaimana senaman udara yoga itu telah memberi kesan positif kepada ramai pelanggan dan pelajar.
Ia kemudian mendorong ramai yang ingin menyertai tenaga pengajar atau mengambil program yang membolehkan mereka berlatih pada bila-bila masa sahaja.
“Aerial yoga bukan sekadar amalan; ia adalah cara untuk memperkasakan diri, mencabar batasan, dan mencari kedamaian dalaman,” katanya.
Cik Raidah menambah, program mereka direka untuk “mencabar batasan, memperkasa jiwa, dan menghubungkan badan, minda, serta pernafasan anda”.
Dengan memasukkan aerial yoga ke dalam rutin harian, individu dapat meraih pelbagai manfaat.
Ini termasuk meningkatkan fleksibiliti dan julat pergerakan, meningkatkan kekuatan dan kestabilan teras, meningkatkan peredaran darah, melegakan sakit belakang dan sendi.
Studio Avoyoga menawarkan pelbagai program yang memenuhi keperluan mengikut peringkat umur berbeza, tambah beliau.
Ini termasuk Asas Aerial Yoga, kelas pengenalan yang memberi tumpuan pada pergerakan asas dan teknik. Kelas Aerial Flow pula agak dinamik yang menggabungkan yoga, Pilates, dan tarian.
Kelas Aerial Restorative adalah terapi yang memberi tumpuan pada istirahat dan penyegaran semula.
“Saya mempunyai pelajar berusia 60 tahun, tetapi cukup bersemangat untuk mencuba pergerakan yang sukar, seperti memanjat buaian. Padahal, saya ada program untuk pergerakan mudah agar pelajar tidak rasa tertekan atau takut untuk beryoga menggunakan buaian,” kata Cik Raidah.
Kelas Aerial Yoga untuk kanak-kanak pula dilakar untuk menggalakkan interaktif dan menyeronokkan bagi kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun.
Ada juga sesi untuk ibu dan anak dan kelas peribadi dan kumpulan kecil yang disesuaikan untuk individu atau kumpulan fokus.
Beliau juga menganjurkan kelas ‘master’ – sesi khusus yang memberi tumpuan pada teknik atau tema tertentu.
Walaupun pelajarnya semakin ramai, Cik Raidah berkata beliau belum merancang untuk menambah studio kerana beliau lebih mahu menumpukan perhatian kepada mutu pengendalian yoga udara tersebut.
“Aerial yoga ini bertujuan untuk sihatkan badan dan tenangkan fikiran, saya kira saya tak boleh lakukan perkara yang menjadikan tujuan asal tersasar. Saya harus bergerak ikut masa dan keadaan,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg