Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 30 karya tempatan diketengahkan

Oct 13, 2024 | 5:30 AM
‘Orang Ikan’ adalah antara filem Singapura yang memaparkan kisah sejarah dan juga persahabatan tahanan Perang Dunia Kedua yang terkandas dan berkongsi persamaan mencari sumber penakatan.
‘Orang Ikan’ adalah antara filem Singapura yang memaparkan kisah sejarah dan juga persahabatan tahanan Perang Dunia Kedua yang terkandas dan berkongsi persamaan mencari sumber penakatan. - Foto SGIFF

Sedang filem tempatan mula meraih momentum di pentas global, Pesta Filem Antarabangsa Singapura (SGIFF) yang ke-35 sudah bersedia untuk menampilkan kekuatan dan kerencaman bakat pembikinan filem negara ini di samping mengetengahkan trend terkini dalam dunia perfileman Asia dan antarabangsa.

Antara 28 November hingga 8 Disember 2024, SGIFF menjanjikan lebih 30 filem ceritera Singapura dan yang dihasilkan dengan kerjasama Singapura di samping filem ringkas serta inisiatif baru seperti pengenalan buat kali pertama Duta SGIFF di samping Anugerah Pilihan Penonton yang diperbaharui.

SGIFF 2024 juga memperkenalkan Pengurus Besar festival yang baru, penerbit filem dan karyawan kreatif, Jeremy Chua.

Bersandarkan pengalaman meluasnya sebagai penerbit filem dan pengetahuan mendalamnya mengenai industri filem tempatan dan serantau, Jeremy Chua membawa bersamanya takrifan ‘orang dalam’ tentang cara terbaik arena filem Singapura dapat dinaiktarafkan dari dalam.

Visinya ialah mengalihkan tanggapan yang biasanya wujud mengenai dunia perfileman di Singapura, meletakkan kerja seni yang dipaparkan sebagai yang wajar disokong di samping menjadikan pesta ini lebih inklusif dan mudah dikunjungi penonton, khususnya mereka yang baru pada genre filem artistik di panggung seni yang lebih khusus.

Bagi merealisasikan impian mereka, SGIFF berkata ia telah memperkenalkan beberapa inisiatif baru.

Artis Mediacorp, Rebecca Lim, dijadikan duta pertama SGIFF manakala Anugerah Pilihan Penonton dilancarkan untuk mengiktiraf filem yang dihasilkan di Singapura ataupun dengan penerbitan bersama syarikat penerbitan setempat.

Kata Rebecca: “Sebagai penyokong besar filem Singapura, saya teruja menjadi sebahagian daripada SGIFF melalui pelantikan saya sebagai duta pertama SGIFF.

“Karyawan kreatif setempat kita mempunyai kebolehan unik untuk merakam intipati bukan sahaja daripada realiti kehidupan harian kita tetapi impian dan aspirasi kita.

“Saya berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada SGIFF dan memperjuangkan bakat yang hebat ini. Saya menggalakkan semua warga Singapura untuk menyertai saya dalam menyokong kerja seni bakat Singapura kita.”

Menurut SGIFF dalam kenyataan medianya, inisiatif utama pesta ini direka bagi memupuk kaitan lebih mendalam antara orang awam dengan masyarakat pembikin filem Singapura yang kian tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

Pada akhirnya, matlamat pesta ini ialah menambah sokongan bagi karyawan filem setempat.

Filem ‘thriller’ psikologi, Stranger Eyes, arahan sutradara Singapura, Yeo Siew Hua, akan membuka tirai SGIFF.

Inilah filem Singapura pertama yang ditayangkan dan dipertandingkan di sesi tayangan perdana utama Pesta Filem Venice.

Pemilihan filem ini melambangkan dedikasi SGIFF dalam menyampaikan naratif dan dunia perfileman setempat secara berani di samping menawarkan refleksi yang bertepatan masa mengenai keresahan dunia yang kian bertambah kerana keadaan di sana sini yang kian dipantau.

Stranger Eyes menceritakan tentang kehidupan sepasang suami isteri, Junyang dan Peiying, yang kehilangan anak mereka.

Tiba-tiba muncul beberapa cakera video digital (DVD) misteri yang merakam detik-detik peribadi mereka yang membongkar segala rasa tidak puas yang membelenggu kehidupan harian mereka.

Menurut jurucakap SGIFF, filem ini bak satu komentari sosial mengenai rasa kemaruk masyarakat yang kian khuatir dan takut kehidupan harian mereka sering dipantau oleh golongan yang tidak mereka kenali.

Kata Yeo: “SGIFF amat penting buat saya sepanjang kerjaya saya sebagai karyawan filem. Semua filem yang saya hasilkan ditayangkan menerusi pesta ini termasuk filem pertama saya.

“Saya rasa berbesar hati dapat menayangkan Stranger Eyes sebagai filem pembuka tirai pesta kali ini.

“Inilah hasil kerja keras saya dan rakan-rakan serta cinta kami pada dunia perfileman yang ingin kami kongsi bersama penonton di Singapura.”

Sebuah lagi filem Singapura yang dinanti-nanti adalah genre drama bersejarah yang mempunyai tema raksasa, Orang Ikan, arahan Mike Wiluan.

Kisah dongeng Asia Tenggara diberi suntikan kesegaran dengan kisah dua tahanan Perang Dunia Kedua dari Britain dan Jepun yang terkandas bersama tetapi bersatu hati menjalin persahabatan demi penakatan bersama. – HARYANI ISMAIL

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg