Bersemuka dengan makhluk marin purba bersaiz gergasi, tatapi gerak geri lembut ubur-ubur laut, dan susuri kehidupan yang mendiami dasar terdalam laut.
Jauh lebih luas, lebih interaktif, dengan banyak elemen pendidikan tentang pemuliharaan hidupan laut diterapkan, daripada perairan cetek hingga ke laut dalam.
Demikian antara paparan di tarikan baru Singapore Oceanarium, yang sebelum ini dikenali sebagai S.E.A Aquarium.
Selepas tiga bulan diubah elok, tarikan itu akan mula dibuka pada 24 Julai.
Kemudahan itu mempunyai ruang tiga kali lebih besar daripada akuarium sebelumnya dan akan menampilkan 22 zon, menggabungkan habitat yang memukau dan penceritaan multimedia yang bertujuan memperdalam penghargaan terhadap pemuliharaan lautan dan marin.
Antara zon menarik ialah ialah Ocean Wonders, yang menjadi antara ruang habitat terbesar dunia bagi ribuan ubur-ubur ‘moon jelly’.
Tangki ‘kreisel’ pula ialah tangki khas yang digunakan untuk memulihara hidupan laut yang halus seperti ubur-ubur.
Dalam zon Ancient Waters, pengunjung dibawa menyusuri era prasejarah di mana kehidupan marin purba menakluki laut.
Bersemuka dengan animatronik bersaiz sebenar dan replika menjulang tinggi Dunkleosteus dan Xiphactinus, menghidupkan kembali spesies yang sudah pupus itu.
Satu lagi pameran, Singapore’s Coast, pula menampilkan landskap yang diilhamkan daripada hutan bakau serta habitat interaktif yang menampilkan kepelbagaian unsur biologi asli.
Pengunjung juga boleh mencelup tangan ke dalam tangki yang dipenuhi udang kecil yang akan ‘memakan’ sel mati di tangan bak ‘spa’ untuk membersihkan diri.
Di zon Open Ocean, pengunjung boleh melihat dengan lebih dekat ikan pari manta, terumbu karang dan jerung zebra berenang bersama ribuan haiwan laut lain di sebalik panel tatapan pengunjung selebar 36 meter.
Selain itu, pengunjung dapat menyelami kehidupan makhluk yang hidup di dasar laut – suasana yang boleh dianggap ekstrem – di zon Life in the Deep.
Dengan tekanan air yang tinggi tanpa cahaya matahari, makhluk marin ini telah menyesuaikan diri dengan bioluminesensi, struktur badan yang unik dan strategi kelangsungan hidup yang membuka mata.
Zon ini menampilkan dunia misteri itu melalui paparan spesimen laut dalam yang diawet, dengan setiap daripadanya menggambarkan kisah penyesuaian dan daya tahan.
Lebih daripada setakat nama baru, Singapore Oceanarium, melambangkan satu proses transformasi berani untuk menjadi institut lautan kelas dunia yang akan mencetus inspirasi bagi menyelami ilmu, rasa cinta dan bertindak lebih mendalam bagi lautan, jelas resort bersepadu, Resorts World Sentosa (RWS), dalam satu kenyataan sebelum ini.
Oceanarium ini juga bekerjasama dengan institusi akademik terkemuka untuk “mengembangkan sempadan penyelidikan laut”, kata RWS.
Antara yang diusahakan termasuk penyelidikan gunaan selama lima tahun bersama Universiti Nasional Singapura (NUS) dan kerjasama penyelidikan dua tahun bersama Balai CerapBumiSingapura (EOS) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) untuk meninjau daya tahan iklim dan pemuliharaan laut.
Bersebelahan kemudahan itu terdapat pusat penyelidikan dan pembelajaran yang dilengkapi dengan makmal pembelajaran, ruang kerjasama, bilik seminar dan ruang acara di atas bumbung.
Pusat penyelidikan dan pembelajaran itu memperkukuh tawaran pendidikan Singapore Oceanarium dan menyediakan kemudahan canggih untuk saintis dan penyelidik menjalankan kerja penyelidikan yang bernilai serta menggerakkan program penyebaran sains kelautan di lokasi.
Pemangku Naib Presiden Kanan Pengalaman Destinasi & Singapore Oceanarium, Cik Lam Xue Ying, berkata berdasarkan sejarah, akuarium secara utamanya beroperasi sebagai tarikan.
“Namun, sebagai S.E.A. Aquarium, kami melihat diri kami bukan sahaja sebagai tarikan, bahkan mempunyai tanggungjawab dan peranan untuk dimainkan dalam pendidikan, penyelidikan dan pemuliharaan, dan oleh itu perjalanan kami untuk menaikkan taraf kami sendiri bermula 13 tahun lalu ke arah ini, untuk menangani beberapa cabaran yang dihadapi lautan kita dan penghuninya,” ujar beliau.
Singapore Oceanarium akan dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 7 malam.
Harga tiket bermula dari $50 bagi orang dewasa, $42 bagi kanak-kanak berumur dari tiga tahun hingga 12 tahun dan $42 bagi warga emas berusia 60 tahun dan ke atas.
Buat warga Singapura, harga tiket bermula dari $42 bagi warga dewasa dan $35 bagi setiap kanak-kanak serta warga emas.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg