Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

RWS saji 7 tarikan baru jelang 2030

Sebahagian pelan RWS 2.0 dalam beri kesegaran, perbarui tawaran pelancongan
Nov 24, 2024 | 5:30 AM
Kompleks gaya hidup tepi pantai di Resorts World Sentosa dijadualkan buka menjelang 2030.
Kompleks gaya hidup tepi pantai di Resorts World Sentosa dijadualkan buka menjelang 2030. - Foto RWS

Dalam masa lima tahun akan datang (2030), penduduk dan pelancong boleh menjangkakan pelbagai tarikan baru oleh Resorts World Sentosa (RWS) yang akan menawarkan pengalaman seronok dari segi hiburan, penginapan dan kegiatan gaya hidup, dengan kebanyakan daripadanya dibuka pada 2025.

Pada suku pertama 2025, ruang baru yang menampilkan permainan yang membolehkan pengunjung menyelami dunia perfileman Minion dan Despicable Me iaitu Minion Land, bakal dibuka di Universal Studios Singapore (USS).

Super Nintendo World, yang memaparkan siri permainan Super Mario, antara tarikan yang ditambah di USS, namun tarikh pembukaannya belum ditentukan lagi.

Minion Land bakal dibuka di Universal Studios Singapore pada suku pertama 2025.
Minion Land bakal dibuka di Universal Studios Singapore pada suku pertama 2025. - Foto RWS

Ini di samping pembukaan hotel mewah pada suku pertama 2025 yang hanya menawarkan bilik suite bagi menggantikan Hard Rock Hotel Singapore sebelum ini, serta penghubung gaya hidup berpusat yang diberi nama baru, The Forum.

Pada separuh pertama 2025, Singapore Oceanarium dijadualkan dibuka.

Dengan keluasan tiga kali ganda dari S.E.A. Aquarium, tarikan tersebut akan menempatkan pusat kajian dan pembelajaran bagi memacu pembangunan huraian hidupan laut sebenar yang inovatif dan usaha pendekatan sains marin.

Menjelang 2030 pula, pengunjung ke Sentosa akan disambut dengan landskap baru menampilkan deretan bangunan dihiasi kehijauan serta tiang cahaya berkilauan, termasuk jejak gunung setinggi 88 meter yang memberi pengunjung pengalaman unik.

Pembangunan tepi pantai baru RWS itu akan menampilkan arca cahaya setinggi 88 meter rekaan Heatherwick Studio dari London, lengkap dengan pertunjukan cahaya setiap malam.

Pengunjung juga boleh mendaki jejak gunung setinggi 88 meter yang menawarkan pemandangan panorama Sentosa, Greater Southern Waterfront (GSW), dan Kawasan Pusat Bandar (CBD).

Sewaktu majlis pecah tanah pada 15 November, Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan, memuji langkah yang diambil resort bersepadu (IR) dalam berinovasi dan memperbarui tawaran mereka “untuk kekal di hadapan, terutama dengan persaingan global yang semakin sengit.”

Memperluaskan tarikan, makanan dan minuman, projek dan tawaran Mice (mesyuarat, insentif, persidangan, dan pameran) serta hiburan, “telah mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai destinasi Mice dan rekreasi utama,” tambah Encik Tan.

Tarikan baru yang bakal dibuka RWS adalah sebahagian projek bernilai $6.8 bilion oleh Genting Singapore untuk menaik taraf RWS, dan akan menambah keluasan keseluruhan RWS sebanyak 50 peratus.

Kerja-kerja penambahbaikan fasa pertama, yang tertumpu kepada tarikan bukan permainan, bermula sejak 2022.

Usaha peluasan RWS itu, yang digelar sebagai RWS 2.0, bakal melancarkan tarikan baru pertamanya – Harry Potter: Visions Of Magic – pada 22 November.

Pameran yang berlangsung hingga 31 Mac 2025 itu merupakan yang pertama di Asia setelah ia mengadakan tayangan perdana di Cologne, Jerman, pada Disember 2023, sebelum ke Brussels, Belgium, pada Julai.

Pengunjung yang ke pameran Harry Potter: Visions of Magic boleh meneroka ruang The Hall of Prophecy.
Pengunjung yang ke pameran Harry Potter: Visions of Magic boleh meneroka ruang The Hall of Prophecy. - Foto ST

Kedua-dua IR Singapura, RWS dan Marina Bay Sands (MBS), yang dibuka pada 2010, sedang giat memperluas tawaran layanan pelanggan mereka, dan menjalankan kerja naik taraf besar-besaran untuk menarik lebih ramai pengunjung. 

Sejak pembukaannya, RWS telah menarik kira-kira 200 juta pengunjung bagi tujuan perniagaan dan riadah, dengan 33 peratus daripada pengunjung antarabangsa yang ke Singapura melawat IR tersebut.

Menurut Encik Tan, peluasan RWS akan “terus menyumbang kepada kejayaan dan pertumbuhan sektor pelancongan (Singapura) serta memberi sebab baru untuk para pelancong serta warga Singapura mengunjunginya.”

Pada 7 November, MBS pula mengumumkan pengubahsuaian 1,540 bilik, peluasan pilihan makan dan kesihatannya, dan menambah baik lobinya – yang merupakan sebahagian daripada pelan pelaburan semula bernilai AS$1.75 bilion ($2.3 bilion) bermula sejak 2022.

Sektor pelancongan Singapura sedang pulih dengan kukuh.

Ia mencatatkan seramai 13.9 juta pengunjung setakat 31 Oktober, dan hampir mencapai ramalan 15-16.5 juta pengunjung bagi 2024 oleh Lembaga Pelancongan Singapura (STB). 

Keuntungan daripada sektor pelancongan bagi 2024 dijangka mencapai rekod antara $27.5 bilion hingga $29 bilion.

TARIKAN BARU RWS:

  1. Harry Potter: Visions of Magic, pameran seni interaktif (22 November 2024 - 31 Mac 2025)
  2. The Forum, penghubung gaya hidup berpusat (Suku pertama 2025)
  3. Hotel mewah yang hanya menawarkan bilik suite (Suku pertama 2025)
  4. Minion Land di USS (Suku pertama 2025)
  5. Singapore Oceanarium, S.E.A. Aquarium yang akan diluaskan dan menempatkan pusat pembelajaran dan kajian (Separuh pertama 2025)
  6. Kompleks gaya hidup tepi pantai, yang turut menempatkan dua hotel mewah, tawaran makan, runcit dan hiburan (Jelang 2030)
  7. Super Nintendo World di USS (Bakal diumum pembukaan)
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg