Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Lima tahun perluas takrifan sastera

Sep 27, 2023 | 05:30 AM



Belitan plot, gabungan bahan karya yang tidak dijangka serta hubung kait penggiat kesusasteraan dengan pemuzik, pelukis dan pembikin video yang selama ini tidak pernah dibayangkan.

Begitulah meriahnya Pesta Penulis Singapura (SWF) pada kaca mata Pengarah SWF, Cik Pooja Nansi, yang menerajui kepimpinan acara Arts House Limited (AHL) atas tugasan Majlis Seni Kebangsaan (NAC).

SWF 2023 ini mengetengahkan beberapa usaha memecah tembok dan takrifan ramai mengenai sastera serta berupaya mengubah suai genre program untuk tatapan semua penonton, baik yang baru mahupun yang sedia mesra dengan sastera.

Dalam satu pertemuan Berita Harian (BH) bersama Cik Pooja, beliau berkongsi tentang pengamatannya setelah masuk tahun kelima menyelaras SWF yang kali ini berlangsung dari 17 hingga 26 November.


Soalan (S): Apakah keprihatinan anda dan apakah yang anda cuba usahakan bagi SWF?


Cik Pooja: Salah satu perkara yang saya tekankan ketika mula mengendalikan SWF adalah keinginan menambah hadirin yang datang ke SWF. Saya ingin teroka matlamat pesta kesusasteraan yang relevan buat mereka. Kami ingin jadikan SWF relevan buat semua dan enggan pesta ini terikat pada takrifan ia persis sebuah pesta yang penuh dengan persidangan dan hanya untuk golongan akademik yang ingin anda dengar pada usulan dan cerita mereka atau memberitahu anda apa yang mereka ingin anda buat.


Saya berusaha gigih mengubah persepsi sedemikian. Tahun lalu, kami mencabar diri kami dengan memperluas bentuk program meliputi penulisan makanan dan fesyen. Kami teroka isu fesyen mampan. Siapa yang ketinggalan dalam mendakap trend baru ini? Ada ramai penulis lirik yang datang menyertai acara kami. Kami ingin usahakan program yang tidak dijangka, melihat idea baru menerusi lensa baru. Dengan cara sebeginilah kita dapat ketengahkan tema belitan atau ulitan plot.

S: Apa yang anda bawa pulang sebagai pengajaran setelah menjadi pengarah SWF paling lama pernah dilantik selama lima tahun?


Cik Pooja: Ia adalah tempoh yang menarik. Saya banyak belajar mengatasi apa sahaja kesulitan. SWF adalah pesta berskala besar. Saya perlu cepat dan tangkas menghadam matlamat pesta ini pada tahun pertama. Pada tahun kedua, Covid-19 melanda. Kami mengadakan SWF secara digital sepenuhnya. Apabila ia mula diperkenalkan, kami tak pasti bagaimana nak bikin pesta di Internet. Selepas itu, kami adakan program hibrid. Kadangkala saya tertanya-tanya, apakah mereka sudi datang? Dengan mengadakan pesta dengan acara yang kadangkala buat anda tidak selesa dan tercabar, ia baik sebenarnya. Saya berpeluang bekerjasama dengan sepasukan individu yang hebat belaka.


S: Apakah yang anda dapati kekurangan yang perlu diatasi?


Cik Pooja: Salah satu masalah yang dapat saya lihat adalah belia antara 13 hingga 18 tahun tidak menghadiri SWF. Saya pernah menjadi guru dan menyedari kebanyakan masa kita tidak tahu apa yang budak muda ini mahu. Kami mengusahakan kumpulan fokus. Saya nak tahu apa yang mereka baca dan bagaimana budaya membaca mereka dan apakah takrifan mereka tentang SWF. Saya tak tahu ada cabang sastera yang mereka suka iaitu ‘fanfic’, atau cerita rekaan peminat sesebuah program televisyen atau filem yang membayangkan watak-watak ini hidup di alam nyata. Saya minta mereka beri usulan program yang diinginkan. Mereka beri saya apa yang mereka rasa saya mahu seperti program tentang William Shakespeare. Saya jujur memberitahu mereka, usulkan apa sahaja yang anak muda mahu. Jangan fikirkan apa yang sasterawan suka.


S: Apa harapan anda bagi SWF akan datang?


Cik Pooja: Saya mahu SWF keluar dari konsep bilik darjah dan benar-benar pupuk minat ramai pada kesusasteraan dengan cara berbeza. Kita boleh adakan naratif permainan video, komik, penjanaan kandungan TikTok. Saya tak rasa ia bercanggah dengan keinginan kita selaku penganjur. Asalkan belia sudi datang, saya sudah rasa gembira. Pada jangka panjang, saya mahu lihat pesta ini menjadi jenama besar bukan sahaja dalam kalangan penulis dan pencinta sastera tetapi orang biasa seperti pemandu teksi. – HARYANI ISMAIL




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >