Subuh
5:36
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Pesta Malam Singapura

Lipatan sejarah 700 tahun S’pura dibuka melalui seni canggih

Penulis pentas, Zizi Azah gabung ilham bersama pelukis ilustrasi, Muhammad Izdi dan pelukis digital, Jeremie Bellot
Aug 23, 2023 | 05:30 AM



Setelah sekian lama bermastautin di Amerika Syarikat dan menebar sayap seni di rantauan, mantan pengarah artistik Teater Ekamatra, Zizi Azah Abdul Majid, teruja kembali ke Singapura bagi penglibatan sulungnya dalam Pesta Malam Singapura (SNF) yang berlangsung dari 18 Ogos hingga 26 Ogos ini.

Dalam hati Zizi, 43 tahun, berbunga-bunga cinta dapat menulis naratif sejarah dan pembangunan Singapura dalam evolusi 700 tahun bagi kerja pemetaan unjuran bertajuk 700 Years yang dipancarkan pada permukaan bangunan Muzium Negara pada waktu malam.


Beliau bekerjasama dengan pelukis ilustrasi, Muhammad Izdi dan pelukis digital, Jeremie Bellot dari agensi AV Extended (yang menggabungkan budaya, warisan dan seni teknologi) untuk membawakan kerja pemetaan sejajar dengan tema SNF tahun ini, Singapore the Great Port City (Singapura, Kota Pelabuhan Hebat).


SNF merupakan pesta anjuran Lembaga Warisan Negara (NHB) yang dipersembahkan jenama Samsung untuk membawa orang ramai meninjau evolusi dan pertumbuhan Singapura di luar peranan awalnya sebagai kota pelabuhan yang berkembang menjadi bandar metropolis moden yang dinamis.

Dalam tempoh 700 tahun Singapura dikenali sebagai kota pelabuhan yang penting, kawasan Bras Basah Bugis (BBB) dipapar dengan jelas sebagai ruang yang menggalak perdagangan dan pertukaran.

Hari ini, ia menjadi kediaman bagi pelbagai masyarakat dan tapak ibadah bersejarah.

Melalui tayangan kerja pemetaan selama enam minit pada permukaan bangunan Muzium Negara, anda dibawa ke dalam dunia abad ke-14 untuk bertemu Seri Anggerik, protagonis wanita yang mengembara masa ke zaman kontemporari Singapura.

Watak bernama Seri itu kagum dengan cahaya yang menerangi Kota Singa. Sekali gus, paparan kerja seni ini mengingatkan kita tentang bagaimana kota pelabuhan ini maju dengan pesat. Sejarah kuno sebuah kota pelabuhan akan hidup menerusi teknologi canggih ini.

Kisah ini ditayangkan dalam selang waktu 30 minit, antara 7.30 malam dengan 12 tengah malam, dalam tempoh SNF diadakan.

Ketika ditemui Berita Harian (BH) di Muzium Negara baru-baru ini, Zizi yang mengajar drama dan penulisan di Universiti Syracuse di New York, berkata:


“Awalnya, kami merancang projek berskala lebih besar dan bercita-cita tinggi dengan aksi langsung pelakon bagi SNF. Bagaimanapun, apabila projek ini beralih sebagai projek pemetaan unjuran, kami perlu fokus pada inti pati ceritanya yang disampaikan hanya dengan suara pelakon seperti Gene Sha Rudyn, Faraliza Ong, Farah Lola dan Ghazali Muzakir.”

Pemuzik, Ismahairie Putra Ishak turut terlibat sebagai penggesek biola bagi muzik latar dalam kerja seni ini.

Menurut Zizi, skrip bagi kerja seni pemetaan unjuran ini dihasilkan daripada cetusan ilham buku sejarah Singapura yang diterbitkan dua tahun lalu, 700 Years, yang menjejak sejarah Singapura seawal abad ke-13, jauh sebelum Sir Stamford Raffles datang ke Singapura pada 1819.


“Kami menggunakan watak Seri Anggerik yang menetap di Temasek sebagai yang membawa orang ramai meninjau sejarah Singapura. Seri bosan tidak dapat ikut abangnya mengembara dalam pelayaran serata Nusantara.

“Tiada apa untuk diterokanya di Temasek. Apabila dia bertemu Puteri Kayangan, Seri meluahkan rasa sedih dan bosannya. Dia kemudian diberi keris ajaib.

“Menerusi keris ajaib itulah, dia mengembara masa untuk bertemu Sang Nila Utama dalam kapal di mana ribut melanda dan dia menanggalkan mahkotanya untuk dicampak ke laut. Muncul pula sang singa. Kemudian, keris ajaib itu dilontar dan Seri bertemu dengan Shahbandar yang menyelia kutipan cukai dagangan.

“Seri juga mengembara untuk bertemu Orang Laut yang dijadikan pasukan tentera laut Shahbandar. Pertemuan dengan masyarakat Bugis juga dapat dilakukan Seri menerusi bantuan keris ajaib selepas itu dibawa dalam kembara masa melihat Raffles pula yang mengusulkan kepada Tengku Hussein untuk membina kilang di kota dagangan Singapura yang berkembang pesat,” cerita Zizi.

Baginya, apa yang dipapar pada permukaan bangunan Muzium Negara sangat menarik kerana karya beberapa pelukis terbilang Singapura yang simbolik dan menggambarkan setiap fasa sejarah Singapura dimanfaatkan untuk menunjukkan sumbangan besar mereka pada pengarkiban sejarah Singapura.

Kerja seni ini meliputi Kampung 1 oleh Latiff Mohidin; Epic Poem of Malaya dan Benjamin Sheares Bridge-The Viaduct oleh Chua Mia Tee; S’pore River-From Raffles Landing Site oleh Ong Kim Seng dan Kampung Kuchan (Lorong 3, Geylang) oleh Suri Mohyani.


Karya Singapore from the Roadstead oleh pelukis Percy Carpenter turut disertakan dalam kerja seni pemetaan unjuran ini.


Muhammad Izdi yang terlibat dalam seni pemetaan unjuran buat kali ketiga berkata dalam menghasilkan karya kali ini, sejarah Singapura moden telah dipendekkan bagi memberi tumpuan kepada evolusi negara ini sebelum kedatangan Raffles.

“Sejarah kita lebih lama dari 200 tahun. Tidak ramai yang teroka atau berbicara mengenai perkara ini. Menerusi klip penceritaan padat selama enam minit, ia adalah satu peringatan kepada masyarakat umum bahawa kita telah melalui penjajahan empayar berbeza dari Sri Vijaya, Champa dan Majapahit.

“Empayar berbeza memperkenalkan budaya, seni bina dan pelbagai aspek kehidupan yang berlainan dalam perkembangan masyarakat Singapura dari generasi ke generasi.

“Diharapkan apa yang diusahakan ini akan mencetus keinginan buat orang ramai membaca lagi dan mengambil tahu tentang sejarah Singapura dan orang Melayu yang kaya dengan khazanah peninggalannya mencecah 700 tahun lamanya.

“Saya harap apabila hadirin menyaksikan kerja seni ini, mereka bukan setakat terpegun pada kecantikan cahaya lampu atau kagum dengan teknologi digital. Sebaliknya, gali lebih dalam mengenai sejarah Singapura kerana saya harapkan SNF akan datang akan terus meneroka aspek warisan ini menerusi sajian seni agar ia tidak diabai atau dilupakan.”

Zizi pula berharap akan timbul rasa bangga dalam diri mereka yang menyaksikan seni pemetaan unjuran ini mengenai kejayaan berfasa pulau kecil Singapura selama 700 tahun.

“Sejarah Singapura tidak cetek sepertimana yang terpahat dalam ingatan sesetengah pihak. Kita harus melihat apa yang dipaparkan dalam SNF ini bukan setakat usaha mengimbau sejarah sepintas lalu bahkan lebih daripada itu kerana ia akan membuat kita kembali pada asas bagaimana kita membangun setapak demi setapak, sedikit-sedikit sehingga pencapaian kita sebagai masyarakat negara kecil boleh dibanggakan,” jelasnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >