Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesta Malam S’pura imbas sejarah 700 tahun kota pelabuhan

Kegiatan mesra keluarga diserap dalam pesta sanjung peranan Bras Basah Bugis dalam evolusi kebangkitan Singapura
Jul 19, 2023 | 5:30 AM
KEMBARA MASA: Seni pemasangan dan pemetaan unjuran pada permukaan bangunan Muzium Negara berjudul ‘700 Years’ diusahakan bersama penulis naskhah pentas, Zizi Majid, pelukis ilustrasi Muhammad Izdi dan pelukis digital Jeremie Bellot dari agensi yang menggabung teknologi, budaya dan warisan, AV Extended.
KEMBARA MASA: Seni pemasangan dan pemetaan unjuran pada permukaan bangunan Muzium Negara berjudul ‘700 Years’ diusahakan bersama penulis naskhah pentas, Zizi Majid, pelukis ilustrasi Muhammad Izdi dan pelukis digital Jeremie Bellot dari agensi yang menggabung teknologi, budaya dan warisan, AV Extended. - Foto MUHAMMAD IZDI
SENI MALAM IMBAS KISAH RAKYAT: Kerja seni pemasangan ‘A Stone’s Throw (Away)‘ akan menyinari kawasan Muzium Negara, Banyan Tree dan menggambarkan sejarah batu Singapura yang dilontar dari Bukit Fort Canning ke Sungai Singapura oleh Badang.
SENI MALAM IMBAS KISAH RAKYAT: Kerja seni pemasangan ‘A Stone’s Throw (Away)‘ akan menyinari kawasan Muzium Negara, Banyan Tree dan menggambarkan sejarah batu Singapura yang dilontar dari Bukit Fort Canning ke Sungai Singapura oleh Badang. - Foto WY-TO GROUP
HIBURAN SANTAI: The Jazz Djogets adalah antara penghibur pada acara Pesta Malam Singapura yang memberi tumpuan pada irama jaz.
HIBURAN SANTAI: The Jazz Djogets adalah antara penghibur pada acara Pesta Malam Singapura yang memberi tumpuan pada irama jaz. - Foto THE JAZZ DJOGETS
PERARAKAN BUAT SI CILIK: Perarakan watak-watak comel yang membayangkan Fort Canning Rise sebagai lautan luas akan menghiburkan ramai kanak-kanak.
PERARAKAN BUAT SI CILIK: Perarakan watak-watak comel yang membayangkan Fort Canning Rise sebagai lautan luas akan menghiburkan ramai kanak-kanak. - Foto SWEET TOOTH

Pakai sepasang sepatu roda dan kembali ‘meluncuri’ jalan kenangan Singapura dari era 1960-an dan 1970-an di sebuah gelanggang luncur tertutup yang disediakan di Teater Galeri, Muzium Negara Singapura, hasil ilham seniman berbilang disiplin, Cik Dawn Ng.

Beliau telah membayangkan suasana silam di mana warna-warni pesta dan malam muda-mudi dapat dirasakan di kawasan Bras Basah Bugis (BBB) di mana pusat disko milik Restoran Kelong dan YMCA wujud.

Kerja seni pemasangan berbentuk silinder yang diberi nama Time is A Black Circle itu bak gerbang masa disko yang memberi sanjungan pada era penuh nostalgia. Ia merupakan kerja seni yang menjadi tumpuan dalam Pesta Malam Singapura (SNF) 2023 yang bertemakan Singapore, the Great Port City (Singapura, Kota Pelabuhan Hebat), dan bakal berlangsung antara 18 hingga 26 Ogos ini.

Pesta anjuran Lembaga Warisan Negara (NHB) yang dipersembahkan jenama Samsung itu akan membawa orang ramai meninjau evolusi dan pertumbuhan Singapura di luar peranan awalnya sebagai kota pelabuhan yang berkembang menjadi bandar metropolis moden yang dinamis di mana dunia-dunia bertembung.

Dalam tempoh 700 tahun Singapura dikenali sebagai kota pelabuhan yang penting, kawasan BBB dipapar dengan jelas sebagai ruang yang menggalak perdagangan dan pertukaran. Hari ini, ia adalah kediaman bagi pelbagai masyarakat dan tapak ibadah bersejarah.

Dalam pertemuan bersama Berita Harian baru-baru ini, Pengarah Pesta ini, Encik David Chew, berkata:

“Kami menanti masa mengubah kawasan BBB menjadi satu ruang meraikan sejarah Singapura sebagai kota pelabuhan antarabangsa menerusi pengalaman yang jelas menyerlah, persembahan yang akan diingati serta kegiatan yang menyeronokkan serta bersandarkan pada kisah silam mengenai perdagangan dan pertukaran di BBB.

“Pesta ini juga meraikan BBB sebagai kediaman bagi masyarakat berbeza serta tapak ibadah bersejarah masing-masing di kawasan itu hari ini. Ramai yang mungkin tidak menyedari bahawa BBB menjadi tumpuan menerusi pengalaman 700 tahun Singapura sebagai kota pelabuhan.

“Justeru, kami berharap dapat memberi sanjungan kepada peranan penting mereka ini menerusi program Pesta Malam Singapura di samping menggalak setiap orang meneroka institusi budaya ikonik dan muzium merentasi kawasan BBB ini.

“Dalam menguar-uarkan semangat bertukar-tukar idea dan pengalaman, ini juga kali pertama kami teruja mempunyai jenama Samsung yang mempersembahkan pesta ini seiringan dengan banyak rakan kerjasama pesta dan pihak berkepentingan yang akan terus menyemarakkan pesta ini dengan sumbangan mereka yang tidak ternilai.”

Antara pembaharuan yang boleh hadirin jangkakan pada Pesta Malam Singapura adalah seni pemasangan pemetaan unjuran, atau ‘projection mapping’, yang keluar daripada sempadan kreatif. Pendekatan naratif teater digunakan dalam kerja seni pemetaan unjuran bertajuk 700 Years yang akan dipancarkan pada permukaan bangunan Muzium Negara antara 18 hingga 26 Ogos, antara 7.30 malam hingga 12 tengah malam.

Bersandarkan daya imaginasi penulis naskhah teater Singapura, Zizi Majid, dan pelukis ilustrasi Muhammad Izdi, kerja seni ini menjadi lebih menyerlah dengan sumbangan pelukis digital Jeremie Bellot dari agensi AV Extended (yang menggabungkan budaya, warisan dan seni teknologi).

Selama enam minit, anda dibawa ke dalam dunia abad ke-14 untuk bertemu Seri Anggerik, protagonis wanita yang mengembara masa ke zaman kontemporari Singapura. Seri kagum dengan pencahayaan yang menerangi Kota Singa. Sekali gus, paparan kerja seni ini mengingatkan kita tentang bagaimana kota pelabuhan ini maju dengan pesat. Sejarah kuno sebuah kota pelabuhan akan hidup menerusi teknologi canggih ini.

Zon keluarga khusus di sekitar Fort Canning Rise juga akan bersemarak dengan program sepanjang malam untuk kanak-kanak. Satu perarakan mesra kanak-kanak oleh platform mendekati umum kumpulan teater Cake, Sweet Tooth, juga akan mengubah taman Fort Canning Rise menjadi bak lautan luas dengan watak-watak yang membuka penceritaan tentang apa yang dilalui kelasi di lautan sejak 700 tahun lalu.

Kedudukan Singapura sebagai ruang selamat dalam iklim serantau yang tidak menentu dan ribut itu adalah maksud tersirat yang disisipkan dalam perarakan ini. Ia akan berlangsung 7.30 malam, 8.30 malam dan 9.30 malam pada 18, 19, 25 dan 26 Ogos.

Menurut Encik Chew juga, kumpulan seni yang berpangkalan di Waterloo Street juga akan membuat persembahan dalam program Waterloo Street Stories by #WaterlooStKakis. Kisah jalanan ini akan disampaikan menerusi siri muzik di ruang terbuka, pementasan audio, respons pergerakan dan pameran.

Beliau menambah pihaknya juga akan bekerjasama dengan Pesta Seni Universiti Pengurusan Singapura (SMU) buat julung-julung kalinya. Pesta kali ini turut menyatukan sekolah-sekolah seni seperti Maktab Seni Lasalle, Akademi Seni Halus Nanyang, Sekolah Seni Singapura dan SMU untuk memaparkan kegiatan menarik sepanjang pesta.

Dalam pada itu, tiga perkampungan pesta dengan banyak ruang untuk berhibur, beriadah dan makan minum juga akan diadakan di tiga lokasi -– SMU Campus Green dan dua ruang satelit di Armenian Street dan Chijmes.

Ternyata, malam masih muda untuk nikmati pelbagai sajian seni dalam suasana santai yang menghiburkan buat seisi keluarga.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg