PETALING JAYA: Pelakon Amelia Henderson menghargai sokongan yang diberikan oleh bekas kekasihnya, Aedy Ashraf, tatkala dirinya kini berdepan kes saman membabitkan seorang penulis skrip.
Amelia atau nama sebenar, Amelia Thripura Henderson, 29 tahun, berkata beliau tetap mempunyai rasa hormat terhadap Aedy yang sentiasa menyokongnya dalam apa juga situasi biarpun episod percintaan sudah di penghujung jalan.
“Saya hargai dan selalu menghormati Aedy. Saya selalu rasa macam masa kita sudah sampai ke penghujung. Bagaimanapun, saya ada rasa hormat terhadap Aedy.
“Saya tidak akan bercakap perkara negatif mengenai Aedy sebab saya menghormatinya dan masa yang kami pernah rapat dulu. Saya hargai Aedy kerana seorang yang matang.
“Walaupun sudah tidak rapat lagi, Aedy selalu memberi saya sokongan. Malah saya juga akan tetap memberinya sokongan.
“Aedy hebat dan sememangnya layak untuk mendapatkan yang terbaik,” katanya ditemui semasa sesi tayangan perdana dan sidang media filem terkini lakonannya, Harimau Malaya, di GSC The Starling baru-baru ini.
Amelia yang mula menjalin hubungan dengan Aedy, 31 tahun, sejak digandingkan dalam drama, Kisah Cinta Kita, di TV3 pada 2021 bagaimanapun menyifatkan fasa bergelar pasangan kekasih sudah berlalu.
“Kadang-kadang bila sudah sampai penghujung (hubungan), saya pun tak tahu macam mana hendak jawab sebab tak mahu orang salah faham atau menyimpan harapan terhadap situasi ini.
“Ini masanya untuk biarkan ia berlalu, kita tidak boleh memaksa keadaan. Dia dan saya faham perkara itu dan saya doakan selalu dalam keadaan baik,” katanya.
Mengenai kes saman yang dihadapinya, Amelia berkata beliau masih tidak dapat memberikan sebarang kenyataan sehingga segala-galanya selesai dibicarakan di mahkamah.
Terdahulu, kes saman penulis skrip drama, Sekali Lagi Cinta Kembali, Rehal Nuharis terhadap Amelia diteruskan selepas proses pengantaraan di Pusat Mediasi Mahkamah Kuala Lumpur, 6 Ogos gagal diselesaikan secara baik.
Difahamkan, kedua-dua pihak tidak mencapai kata sepakat yang membabitkan syarat penyelesaian dalam proses mediasi dijalankan.
Susulan itu, kes saman akan diteruskan dengan perbicaraan yang dijadual bermula pada 6 dan 7 Februari 2025.
Dalam perkembangan lain, Amelia membawa watak Inaya dalam filem, Harimau Malaya, arahan Datuk Afdlin Shauki yang akan menjengah pawagam tempatan mulai 15 Ogos.
Filem terbitan 4ward Pictures Sdn Bhd yang menjadikan kisah benar skuad bola sepak kebangsaan sebagai inspirasi turut membariskan pelakon seperti Meerqeen, Sophia Albarakbah, Aidil Aziz, Aiman Hakim Redza, Tony Eusoff, Zain Hamid, Vanidah Imran, Erra Fazira, Nam Ron, Bell Ngasri, Kavin Jay dan Douglas Lim.
Harimau Malaya mengisahkan kebangkitan semula skuad bola sepak kebangsaan selepas kemerosotan yang membawa kepada peletakan jawatan jurulatih, Tan Cheng Hoe, pada Januari 2022 sebelum bangkit dan berjaya layak ke Piala Asia 2023.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg