Bagi pelakon Singapura, Lydia Asyiqin, setiap watak yang dibawa dalam sesebuah naskhah drama dianggap sebagai satu amanah besar.
“Saya sangat bersyukur diberi peluang untuk membawa watak yang berat dan mencabar.
“Ia bukan sekadar melakonkan watak yang diberikan sahaja dan saya tidak mengambilnya dengan mudah.
“Setiap watak itu mencerminkan emosi dan mungkin pengalaman sebenar yang pernah dilalui sesetengah orang di luar sana,” kongsinya kepada Berita Harian (BH) dalam satu sesi wawancara Zoom.
Lydia, 29 tahun, berkata dirinya rasa sangat terharu apabila ada penonton menghantar mesej di media sosial untuk berkongsi bagaimana mereka boleh memahami kecelaruan tekanan selepas trauma (PTSD) yang dilalui watak lakonannya dalam, Mencari Marina dan Kultus.
“Ada yang sehingga menangis apabila menonton watak saya lalui gangguan trauma,” tambahnya.
Tertarik dengan sifat ‘Munah’ dalam drama bersiri Saksi, Lydia berkata ia merupakan kali pertama beliau membawa watak yang mempunyai kuasa misteri selepas terkena renjatan elektrik.
Drama itu menceritakan tentang kehidupan seorang pembantu guaman atau ‘paralegal’ yang mencari kebenaran di sebalik kematian ibu bapanya.
Ia turut dibintangi Hasnul Rahmat, Sue Tan, Rafaat Hamzah, Rizal Aiman dan Aaron Mossadeg.
Lydia berkata antara cabaran utama membawa watak itu termasuk mencari cara untuk melakonkan adegan setiap kali watak ‘Munah’ memegang sesuatu dan matanya dipejamkan kerana dapat melihat apakah yang berlaku dari masa lalu.
“Selain itu, saya juga harus mengimbangi wataknya yang tidak begitu ekspresif daripada luaran namun tetap mempunyai sisi prihatin dan penyayang bagi kucingnya, ‘Mochi’ dan kliennya,” ceritanya.
Sebagai persiapan bagi watak itu, Lydia membuat kajian mengenai tugasan harian seorang pembantu guaman dan interaksi mereka dengan peguam atau klien.
Beliau turut membaca lebih mendalam mengenai psikologi dan trauma yang dilalui semasa kanak-kanak.
“Watak ‘Munah’ kehilangan ibu bapanya semasa kecil dan terpaksa tinggal bersama datuknya di Johor.
“Ia membuat dirinya sering berkurung dan jarang berinteraksi dengan orang ramai,” tambah Lydia yang mula menceburi bidang lakonan pada 2010.
Ditanya apakah persamaan dirinya dengan ‘Munah’, Lydia berkata sifat ingin tahu yang dipaparkan watak tersebut seperti dirinya yang sebenar.
“Kawan-kawan saya sering kata saya seperti penyiasat persendirian atau detektif apabila saya ingin tahu mengenai sesuatu.
“Sifat mahu mengetahui kebenaran bagi sesuatu perkara yang ada dalam diri saya sama seperti ‘Munah’. Ibu saya juga mungkin kata saya degil seperti ‘Munah’,” katanya.
Bagi menjadikan watak itu berbeza daripada yang pernah dibawanya, Lydia telah memotong rambutnya untuk kelihatan lebih berani dan tangkas.
Beliau turut mengubah cara pertuturan, kelakuan dan gerak-gerinya.
Menurut Lydia, beliau senang bekerjasama dengan pelakon mapan yang bergandingan dengannya kerana dapat belajar sesuatu yang baru daripada mereka.
“Mereka tidak lokek berkongsi ilmu dan saya suka mendengar pengalaman mereka.
“Saya senang bekerja dengan Rafaat (Saksi); Kak Suzanah Abu Bakar (Mencari Marina); Kak Mastura Ahmad (Interns); dan Kak Era Farida (Kahwin Satu Keluarga).
“Kalau diberi peluang, saya ingin bergandingan dengan Kak Seri Wahyuni Jaes. Beliau pernah menjadi pengarah dalam cerita yang saya lakonkan, namun kita belum pernah berlakon bersama. Beliau juga sudah lama tidak berlakon,” tambah Lydia.
Mengulas mengenai watak yang ingin dibawa pada masa hadapan, Lydia melahirkan hasrat membintangi karya aksi yang memerlukannya gigih berlatih dalam kegiatan kecergasan bagi memantapkan stamina.
“Saya ingin berlakon dalam cerita aksi sebelum saya semakin berumur. Melihat Maya Karin dalam filem, Duyung, ia sangat mencabar dari segi fizikal,” kongsinya sambil berseloroh.
Lydia yang turut berbakat mengacara menambah, beliau menyukai kededua bidang, mengacara mahupun berlakon, kerana ia memberi kepuasan berbeza.
“Kalau awak tanya saya soalan ini beberapa tahun lepas, saya akan katakan lakonan tanpa rasa ragu-ragu.
“Kini, saya rasa kededuanya ada keistimewaan. Berlakon beri saya peluang membawa watak berbeza.
“Sebagai seorang pengacara pula, saya dapat berkomunikasi dengan orang ramai sambil memahami pemikiran mereka dan apa yang ingin disampaikan,” ujarnya yang pernah mengacara rancangan Manja, Projek Lagu dan Sinar Lebaran.
Kesemua episod drama ‘Saksi’ boleh ditonton di aplikasi mewatch.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg