Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Majlis kahwin pembaca berita M’sia tambah meriah di zoo

Jul 29, 2024 | 4:17 PM
Siti Khadijah Jaafar (kiri) dan suami, Otto Othman, mendirikan rumah tangga dalam suasana mesra haiwan di Zoo Negara, Hulu Klang, Selangor.
Siti Khadijah Jaafar (kiri) dan suami, Otto Othman, mendirikan rumah tangga dalam suasana mesra haiwan di Zoo Negara, Hulu Klang, Selangor. - Foto INSTAGRAM SITI KHADIJAH JAAFAR

Siapa sangka satu majlis pernikahan dan persandingan di taman haiwan mampu menarik perhatian ramai sehingga foto dan videonya menjadi tular?

Pengantin perempuan yang merupakan wartawan dan pembaca berita TV3, Siti Khadijah Jaafar, 39 tahun, menjelaskan dirinya seronok dengan pemilihan lokasi pernikahan dan persandingan di Zoo Negara, Hulu Klang, Selangor, pada 27 Julai lalu.

Siti Khadijah bernikah bersama suaminya, Otto Othman, 40 tahun, seorang penyampai berita RTM, di Zoo Negara, atas inisiatif taman haiwan itu.

Majlis tersebut bukan sahaja meraikan mempelai tetapi membuka ruang buat tetamu mendekati haiwan peliharaan dan memberi makan.

Dalam pada itu, Berita Harian Malaysia (BHM) melaporkan pasangan mempelai ini diiringi ‘dayang’ atau ‘bridesmaid’ istimewa, iaitu sekumpulan 10 ekor burung upih yang terbang memasuki ruang Dewan Kancil.

Siti Khadijah, atau mesra dipanggil Khaty, berterima kasih atas undangan pengurusan Zoo Negara untuk menganjurkan majlis di lokasi pelancongan popular itu atas dasar hobi dirinya dan suami memelihara kucing serta melakukan aktiviti alam sekitar.

Siti Khadijah juga mengakui majlis yang dimulakan dengan akad nikah pada 10 pagi itu menjadi kenangan yang sukar dilupakan.

“Apa yang berlaku suatu kebetulan. Pada awalnya, saya mahu bernikah di kampung halaman di Melaka. Namun, disebabkan lokasi dihajati ditempah hingga akhir tahun, manakala ibu yang terlantar sakit tidak mampu bergerak, beliau tidak kisah jika majlis resepsi dianjurkan di tempat lain.

“Hendak dijadikan cerita, Timbalan Presiden Zoo Negara, Datuk Rosly adalah bapa angkat saya. Kami sudah kenal hingga macam keluarga sendiri. Jadi, beliau cadang anjurkan majlis di Zoo Negara.

“Kebetulan Dewan Kancil baru siap dan Zoo Negara merancang menawarkan khidmat penyewaan dewan berkenaan.

“Apabila kami bersetuju, apatah lagi saya dan suami, masing-masing sukakan kucing, jadi pengurusan Zoo Negara merancang pelbagai aktiviti untuk menarik perhatian tetamu.

“Ini termasuk menyediakan 10 ekor burung upih yang menjadi ‘bridesmaid’ ketika saya dan suami melangkah ke Dewan Kancil,” katanya lagi.

Seramai 300 tetamu meraikan mempelai di Dewan Kancil. Tetamu berpeluang mendekati beberapa spesies haiwan seperti ular sawa albino, pelbagai jenis burung dan arnab di ruang zoo mini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg