Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hasrat pasangan kurang upaya naik pelamin tercapai selepas rezeki datang bergolek

Jun 14, 2024 | 2:02 PM
Fatimah Mohsin
Bakal pengantin Cik Roszana Ali (duduk) bersama bakal suaminya, Encik Herman Abdullah (kanan) dan Cik Fatimah Mohsin (kiri) yang bakal menaja perkahwinan mereka. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Apabila Cik Roszana Ali berkongsi impiannya untuk mendapatkan khidmat andaman Cik Fatimah Mohsin untuk hari perkahwinannya, ramai yang berkata, “Jangan berangan!”.

Ini kerana nama jurusolek dan pereka gaya khidmat perkahwinan itu bukan calang-calang dalam industri andaman.

Pengalaman beliau yang luas menyaksikan Cik Fatimah turut menjadi pilihan golongan berada yang sanggup menerbangkan beliau ke luar negara bagi mendapatkan sentuhan beliau di hari bahagia.

Namun, bagi Cik Roszana, 32 tahun, yang menghidap penyakit palsi serebrum (cerebral palsy), dengan pendapatan sekitar $400 sebulan selaku pekerja penghantar makanan, impian untuk mendapatkan khidmat Cik Fatimah memang tampak sukar untuk menjadi nyata.

Namun, beliau tetap menggagahkan diri dengan menaiki alat mobiliti peribadi (PMD) dari rumahnya di Boon Lay ke pameran perkahwinan, ‘The Wedding Affair’, anjuran MegaXpress di Singapore Expo pada 8 Jun bersama dengan tunangnya, Encik Herman Abdul, 42 tahun.

Menurut Cik Fatimah, pengasas syarikat Fatimah Mohsin The Wedding Gallery, apabila beliau mendapat tahu tentang keadaan Cik Roszana, beliau amat tersentuh kerana Cik Roszana sanggup meluangkan masa untuk berjumpa dengannya di Expo dari kediamannya di Boon Lay semata-mata kerana ingin berjumpa dengannya secara peribadi.

“Fatimah Mohsin ialah idola saya. Saya membesar melihatnya di kaca televisyen,” akui Cik Roszana sambil duduk di PMD ketika menemui wartawan di Fatimah Mohsin The Wedding Gallery yang terletak di Oxley BizHub.

Mengimbau kembali saat kali pertama berjumpa dengan pasangan itu, Cik Fatimah berkata beliau tersentuh dengan keikhlasan mereka.

Apatah lagi apabila mendapat tahu, Encik Herman juga telah melalui penyakit barah limfoma, dan pernah terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan penglihatan di mata sebelah kanannya kabur.

“Mereka bertanya sama ada bajet $2,000 mencukupi untuk mendapatkan khidmat andaman saya. Lalu saya kata, lebih daripada cukup. Saya berbesar hati kerana Ana bersungguh-sungguh inginkan perkhidmatan saya.

“Mereka tidak minta belas kasihan, atau minta ditaja, mereka ingin membayar.

“Selepas mereka berdua beredar, terus terdetik di hati saya untuk membiayai kos majlis perkahwinan mereka dan berkongsikannya di media sosial, dengan hasrat mengajak vendor-vendor lain untuk turut sama menjayakan majlis mereka.

Ini termasuk bagi dewan majlis, fotografi dan khidmat video, kek perkahwinan, khidmat berinai dan khidmat kecantikan sebelum majlis perkahwinan.

“Alhamdulillah, ramai yang tampil untuk sama-sama menghulurkan bantuan untuk menjayakan majlis itu,” kata Cik Fatimah.

Bakal pengantin, Encik Herman Abdullah (kanan) dan Cik Roszana Ali (tengah) mengunjungi pameran pengantin untuk berjumpa dengan usahawan terkemuka, Cik Fatimah Mohsin (kiri).
Bakal pengantin, Encik Herman Abdullah (kanan) dan Cik Roszana Ali (tengah) mengunjungi pameran pengantin untuk berjumpa dengan usahawan terkemuka, Cik Fatimah Mohsin (kiri). - Foto ihsan ROSZANA ALI

Pakej perkahwinan yang biasanya Cik Fatimah tawarkan bermula daripada $3,850. Ia termasuk tiga gaun dan solekan.

Untuk mendapatkan solekan dengan sentuhan Cik Fatimah, ia pertambahan $800.

Apabila mendapat tahu tentang tajaan yang diterimanya, Cik Roszana dan Encik Herman seakan tidak percaya rezeki datang bergolek dalam sekelip mata.

View post on TikTok

Perkahwinan mereka yang awalnya dirancang untuk November 2025, ada kemungkinan kini dipercepatkan kerana telah dipermudahkan dengan pertolongan ramai.

“Kami menganggarkan tarikh awalnya mengikut kemampuan kami, kalau sekarang masih belum cukup duit.

“Ditambah pula, pekerjaan saya masih belum stabil disebabkan saya kurang upaya sekarang, dan mencari kerja amat susah.

“Ana pula hanya dapat membuat lebih kurang 12 hantaran sehari mengikut kemampuannya dan berehat keesokan hari, secara bergilir,” kata Encik Herman yang bekerja dalam industri makanan dan minuman (F&B).

Cik Roszana menguruskan dirinya sendiri di flat tiga bilik, dan bapanya kini berulang-alik ke Batam tempat beliau menetap sekarang. Ibunya telah meninggal dunia pada awal 2023.

“Apabila saya di rumah, saya dapat menguruskan diri saya dengan merangkak di sekeliling rumah. Kadangkala saya dapat masak mi segera, atau saya beli saja makanan.

“Untuk mencuci baju agak sukar, kerana mesin basuh agak tinggi untuk saya, kadangkala saya minta Herman tolong apabila dia datang ke rumah,” katanya.

Cik Fatimah berkata beliau berharap perkahwinan bakal mempelai itu dapat dicepatkan kerana tidak mahu melihat Cik Roszana bersendirian.

“Saya kasihankan keadaan Ana yang hidup sendiri. Jika sudah ada jodohnya, tidak salah dipercepatkan, supaya ada yang menjaganya,” tambah Cik Fatimah.

Menyingkap detik perkenalan mereka pula, Encik Herman berkongsi beliau yang menghantar mesej ke akaun Cik Roszana kerana terkesima dengan keadaannya yang sakit tetapi kuat semangat.

“Apabila saya terbaca tentang Ana, sewaktu itu saya baru keluar dari hospital dan berasa tertekan. Tetapi apabila saya lihat Ana dalam keadaan itu, masih bersemangat dan bekerja untuk mencari rezeki, saya terus jatuh hati dengannya,” kata Encik Herman.

Sambil menguntum senyuman, Cik Roszana, dengan pertuturannya yang agak kurang jelas, ekoran cabaran kesihatan yang dihadapinya, berkata:

“Dia (Herman) seorang yang ikhlas, jujur dan berterus terang. Itu yang membuat saya jatuh hati dengannya.”

“Mereka tidak minta belas kasihan, atau minta ditaja, mereka ingin membayar. Selepas mereka berdua beredar, terus terdetik di hati saya untuk membiayai kos majlis perkahwinan mereka dan berkongsikannya di media sosial, mengajak vendor-vendor lain untuk turut sama menjayakan majlis mereka.”
Cik Fatimah Mohsin, jurusolek dan pemilik Fatimah Mohsin The Wedding Gallery.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg